Wednesday, October 28, 2009

Warna putih pilihan tema Catriona sambut kelahiran bayi

SUARANYA kedengaran ceria apabila mendapat tahu pelakon Que Haidar dan isterinya, Linda Jasmine sudah pun menimang cahaya mata, kelmarin. Mendengar berita tersebut, Catriona Ross yang mesra disapa Cat ini juga akui tidak sabar untuk melihat wajah anak sulungnya yang bakal dilahirkan pada Mac 2010 nanti.

Turut pelakon berusia 29 tahun ini, kehadiran bayi itu nanti pastinya akan menjadi pelengkap hidupnya setelah mendirikan rumahtangga dengan Shahruddin Mokhtaruddin pada 26 Jun lalu.

"Saya tidak pernah rasa segembira ini. 'This is the best part of my life'...bertemu lelaki yang tepat dan dikurniakan rezeki untuk mempunyai anak dalam tempoh yang cepat.

"Terasa diri sudah hampir lengkap. Dulu ibu saya menunggu lapan tahun untuk dapat anak pertama iaitu saya, sebab itu bila saya bunting pelamin, keluarga dan saudara-mara memang terkejut.

"Tetapi inilah rezeki yang tuhan berikan pada saya," ujar Cat yang kini sudah hamil hampir lima bulan.

Cerita Cat lagi tentang kandungannya, walaupun sudah lima bulan, dia masih belum mengetahui jantina bayi yang akan dilahirkan kelak.

"Saya sudah pergi buat imbasan, tetapi tak boleh nampak lagi jantinanya. Sejujurnya, saya tidaklah mengharap bayi lelaki atau perempuan kerana apa yang penting bagi saya ketika ini ialah untuk melihat wajah 'baby' itu nanti.

"Walaupun tidak tahu lagi jantinanya, saya tetap buat persiapan barang-barang bayi, terutamanya pakaian. Cara 'selamat' yang saya buat ialah dengan membeli baju-baju bayi berwarna putih.

"Jadi, kalau bayi lelaki atau perempuan yang akan lahir nanti, kedua-duanya boleh pakai baju tersebut," kata Cat dalam nada ceria.

Ujarnya lagi, dia juga amat bersyukur kerana pengalaman pertama hamil tidak menyebabkan banyak masalah atau alahan terhadapnya.

"Alhamdulillah, setakat ini memang tiada masalah. Risau juga pada awalnya dulu kerana ramai yang cakap keadaan mereka agak teruk ketika pertama kali mengandung.

"Setakat ini, saya hanya terasa cepat letih dan adakalanya saya jadi beremosi sikit bila menonton drama-drama sedih," kata Cat yang juga masih aktif berlakon.

Menurut Cat, ketika ini dia sedang menjalani penggambaran drama bersiri Fitrah Wanita yang akan disiarkan di RTM1.

"Saya membawakan watak sebagai hakim. Watak tersebut tidaklah terlalu 'heavy' sampai menjejaskan kesihatan.

"Malah, suami saya juga tidak keberatan membenarkan saya terus berlakon selagi saya mampu lakukan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: