LAKONAN Azizah Mahzan bagaikan magis, tidak pernah dia dihentam kerana tidak pandai berlakon sebaliknya pujian pasti diberikan lebih-lebih lagi apabila menonton teater lakonannya.
Setiap watak yang dilakonkan, baik sedih, komedi atau seram pasti ‘hidup’ kerana darah seni yang mengalir dalam dirinya memang tidak perlu disangkal lagi.
Kehebatan yang ada bukanlah dibuat-buat malah keaslian yang terpamer itu juga kadangkala menampakkan naluri dirinya yang tegas tetapi sesekali berlembut dengan keputusan yang dilakukan.
Bukan dia tidak pernah menolak beberapa tawaran lakonan yang diberikan tetapi itulah hakikatnya apabila diri-sendiri sudah berbaik dengan orang tertentu. Jadi, hendak menolak pun akan timbul rasa ralat di hati.
Bagi Azizah, pada mulanya dia enggan muncul lagi dalam drama sekuel ‘Spa Q’ untuk musim ketiga. Namun setelah puas dipujuk oleh produser dari Global Station Sdn Bhd yang dipanggil Kak Ton atau Zaiton Mohd Jiwa barulah hati tidak keruan jadinya.
Puas Azizah menyatakan keengganannya untuk melakonkan drama ‘kontroversi’ itu atas sebab tertentu.
Seperti yang diketahui, Azizah tidak akan menerima ‘bulat-bulat’ untuk berlakon cerita yang tidak ‘berwarna’. Mungkin kerana dirinya merupakan seorang pelakon berwarna pelangi.
“Apabila drama Spa Qistina kembali, saya menjadi takut sebab saya perlu warnakan karektor saya. Jadi, saya perlu melihat warna pelakon-pelakon lain juga dan ‘blend’ agar menjadi lebih sempurna.
“Kak Ton jenis baik sangat dan dia jenis nak semua orang gembira. Takkan saya nak hampakan harapan dia.
“Apa yang saya tahu, skrip melibatkan watak Marlia tidak banyak. Cuma saya perlu bermain dengan jiwa dan pergerakan mata,” kata wanita berusia 45 tahun ini.
Wajahnya kerap kali muncul menerusi teater dan drama tv. Sehebat Azizah, tidakkah dia teringin untuk berada di layar perak selepas kali terakhir muncul menerusi filem ‘Anak’?
Jelasnya, setakat ini dia tidak teruja untuk berlakon filem tambahan pula mungkin kerana karektor yang ditawarkan kurang menarik.
“Bagi saya, karektor yang saya lakonkan dalam filem ‘Anak’ memang best. Tapi, bukan saya untuk sekadar penghias skrin pawagam,” tambahnya lagi.
Menurut Azizah, dia tidak kisah sekiranya mendapat watak seperti pembantu rumah kerana dia sememangnya menantikan watak seperti itu.
Terbaru, dia berlakon sebagai anak orang kaya yang lurus bendul menerusi telefilem ‘Jantung Itu Bukan Milikku’ untuk TV3 di samping pelakon Zul Huzaimy, Azean Irdawaty dan Julia Ziegler.
“Saya suka digandingkan dengan ‘thinking cast’ seperti Zul Huzaimy dan Kak Yan (Azean Irdawaty),” katanya yang tidak sabar untuk kembali berlakon teater pada tahun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: