Friday, October 23, 2009

Tuah tarian Tualang Tiga

Festival Kesenian Politeknik Zon Utara anjuran Kementerian Pengajian Tinggi itu memberi peluang kepada para pelajar menunjukkan bakat mereka dalam bidang seni tarian dan lagu asli.


PASUKAN tarian dari Politeknik Seberang Perai (PSP) menjadi juara Festival Kesenian Tradisional Politeknik Zon Utara.


KELINCAHAN peserta tuan rumah, Politeknik Seberang Perai (PSP) mempersembahkan tarian Tualang Tiga pada Festival Kesenian Tradisional Politeknik Zon Utara baru-baru ini memang cukup memukau.

Sorak gemuruh kira-kira 1,000 penonton jelas kedengaran dari Dewan Seri Mutiara PSP Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang terpesona dengan persembahan menghiburkan itu.

Tidak hairanlah lenggok gemalai para penari PSP yang persis penari profesional berjaya memikat hati juri apabila mereka dinobatkan sebagai juara tarian pada festival kesenian yang disertai empat buah politeknik lain dari zon utara anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM).


KELUNAKAN suara Sauziatul Hakimah melayakkan beliau menerima RM500 dan piala iringan untuk tempat pertama nyanyian solo asli.


Bergelar juara, pasukan itu membawa pulang wang tunai RM1,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Kumpulan penari dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Kangar, Perlis dinobatkan naib johan setelah membuat persembahan tarian Ala Donde Gamelan manakala tempat ketiga dimiliki oleh Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) Jitra dengan tarian zapin Na'am Sidi Harmoni.

Kedua-dua pasukan menerima hadiah tunai RM750 dan RM500 berserta sijil penyertaan.

Sebanyak lima politeknik dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mengambil bahagian pada festival kesenian tahunan ini bagi mencari juara mewakili zon utara ke pertandingan peringkat kebangsaan Malam Gala Kesenian Tradisional Politeknik di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra, pada November ini.

Antaranya Politeknik Seberang Perai (PSP), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Kangar, Perlis, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) Kulim dan Politeknik Balik Pulau (PBP) Pulau Pinang.

Bagi kategori nyanyian asli solo pula, keputusan para juri memihak kepada Sauziatul Hakimah Hishamuddin dari Polimas, Jitra. Kelunakan suara pelajar berusia 21 tahun itu mendendangkan lagu Sri Mersing melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai RM500 dan piala iringan.

Tempat kedua pula milik Norliza Mohd. Yusof dari PTSB Kulim setelah menyampaikan lagu Patah Hati dan tempat ketiga, Fatin Norshafiqah Maarif dari PSP Bukit Mertajam yang membawa lagu Sri Mersing, masing-masing menerima wang tunai RM300 dan RM200.

Timbalan Pengarah Akademik PSP, Mohd. Najib Yaacob yang hadir menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Sementara itu, menurut Pengarah festival tersebut, Khairul Bariyah Othman, festival tersebut salah satu pendekatan KPTM bagi mendekatkan para pelajarnya terhadap kesenian warisan termasuk warisan asli.

Melalui program seumpama itu katanya, pelajar dapat menunjukkan bakat dalam tarian dan nyanyian masing-masing.

"Nampaknya persembahan tarian dan nyanyian lagu asli berjaya dihidupkan kembali oleh pelajar-pelajar politeknik ini yang walaupun berlainan bidang pengajian tetapi terserlah bakat seninya.

"Bagi warga pelajar, kami menyambut baik serta mengalu-alukan langkah yang diambil oleh KPTM untuk menjayakan festival begini dan berharap lebih banyak aktiviti kebudayaan bercorak keseniaan diadakan untuk diisi sebagai aktiviti di kampus masing-masing," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: