Friday, October 23, 2009

Karnival Pancing Tasik Londa Naga


IBRAHIM HASSAN (kiri) melepaskan tiga tan pelbagai spesies ikan di Tasik Londa Naga, Sri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.


SATU karnival kaki pancing akan diadakan di Tasik Londa Naga di Sri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 31 Oktober ini. Karnival itu diadakan bagi memeriahkan acara sempena Majlis Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11.

Lebih daripada 40 acara disediakan. Pihak penganjur menjangka karnival itu bakal menarik kira-kira 30,000 pengunjung.

Penganjur karnival itu adalah Kerajaan Negeri Sembilan dan diadakan dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Pilah dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Pilah.

Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah, Kuala Pilah, Ibrahim Hassan selaku pengerusi pertandingan itu berkata, karnival yang diadakan setiap tahun itu menyaksikan pertandingan memancing muncul sebagai acara kemuncak hari pertabalan.

"Pastinya pertandingan ini dinanti-nantikan oleh kaki pancing dari seluruh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Kosmo!.

Dengan keluasan sekitar tasik yang boleh menampung 700 peserta dalam satu masa, pertandingan itu bakal memberikan kepuasan berganda kepada para peserta. Lebih-lebih lagi, kawasan tasik yang tenang di sekitarnya menjanjikan pengalaman memancing yang menyeronokkan.

Sebagai persediaan pertandingan itu, pihak penganjur baru-baru ini melepaskan pelbagai spesies ikan antaranya patin, pacu dan keli dengan berat keseluruhan tiga tan. Ikan-ikan yang dilepaskan itu berukuran antara dua hingga tujuh kilogram.

Pertandingan akan bermula pada pukul 2 petang hingga 6 petang. Yuran penyertaan sebanyak RM30 dikenakan untuk satu joran dua mata.

Selain itu, sebanyak 300 penyertaan terawal akan menerima sehelai baju-T. Cabutan bertuah turut disediakan kepada para peserta.

Mengenai hadiah pula, hadiah wang tunai lebih daripada RM5,000 akan menjadi rebutan kaki pancing dari seluruh Malaysia. Hadiah-hadiah disediakan untuk tempat pertama sehingga tempat ke-30.

Juara akan membawa wang tunai sebanyak RM2,500, kedua RM1,000 dan ketiga RM500, selain hadiah iringan.

Hanya kategori ikan terberat sahaja dipertandingkan.

1 comment:

  1. alhamdulillah...

    saya dapat tempat ke 4 dalam pertandingan memancing kat tasik nie tempoh hari...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: