Thursday, October 15, 2009

Telefon lut sinar pertama dunia

Menampilkan Crystal Touchpad gelongsor ke bawah yang lut sinar. Ia bersinar lembut apabila diaktifkan.










Terkenal dengan rekaan penuh inovatif dan bergaya, LG Electronics sekali lagi merintis jalan dalam penghasilan telefon bimbit yang lari daripada kebiasaan. Ternyata aspek itulah yang sering membezakan LG daripada para pesaingnya.

Tampil dengan telefon bimbit skrin sentuh terbaru, LG-GD900 Crystal, ia cukup unik kerana disifatkan sebagai telefon bimbit lut sinar pertama di dunia. Merupakan telefon bimbit berbukaan gelongsor, LG-GD900 Crystal memiliki skrin lebar tiga inci.

Telefon LG-GD900 Crystal diperbuat daripada kaca yang amat kukuh. Walaupun ia kelihatan mudah pecah seperti kristal yang mahal, ia dibingkaikan dan diperkukuhkan oleh pita Liquidmetal yang amat kuat dan mampu menyerap hentakan dan getaran.

Menampilkan Crystal Touchpad gelongsor ke bawah yang lut sinar, ia bersinar lembut apabila diaktifkan. Crystal Touch Pad berfungsi sebagai pad kekunci abjad angka dan trackpad yang mampu mengecam tulisan tangan dan memberi respons kepada arahan sentuh. Itulah sistem yang dinamakan Gesture Command yang merupakan satu lagi ciri unik yang ada pada telefon bimbit itu. Ini kerana, ia didakwa sebagai telefon pertama menampilkan teknologi Gesture Command, teknologi sentuh generasi depan.

Ciri pengemudi mudah itu membolehkan capaian mudah kepada aplikasi dan pelbagai kerja. Contohnya, pengguna boleh mengaktifkan pemain MP3 ketika menaip e-mel dengan menulis simbol yang ditugasi terlebih dahulu secara mudah bagi memainkan MP3 di atas Crystal Touch Pad.

Digandingkan dengan Antara Muka Pengguna (UI) 3D S-Class inovatif dan dinamik dari LG, telefon ini turut direka bagi mempermudahkan penggunaan telefon.

Bersaiz sederhana, ia mempunyai dimensi 105mm × 52.8mm × 13.5mm dan mempunyai berat 120 gram.

Telefon LG-GD900 Crystal juga lengkap dengan ciri-ciri multimedia termaju lain. Ia dilengkapi kamera lapan megapiksel, WiFi dan HSDPA untuk akses web lebih pantas.

Kapasiti memorinya boleh diperluaskan sehingga 32 Gigabait. Ia dijual pada harga runcit RM1,999.

Telefon bimbit itu dilancarkan bersama rangkaian telefon bimbit skrin sentuh pintar dan bergaya dari LG yang lain iaitu LG-GM730 Smartphone dan LG-GC900 Viewty Smart.

Apa yang pasti, rangkaian terbaru telefon bimbit skrin sentuh dari LG itu memberi bayangan akan trend masa depan di pasaran komunikasi mudah alih, di mana telefon bimbit kian berlandaskan teknologi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: