Thursday, October 15, 2009

Anugerah seiring zaman digital

Pengurangan angka jualan album untuk melayakkan seseorang artis menerima anugerah platinum dan emas menimbulkan pelbagai pertanyaan. Adakah ia petanda jualan album kita akan terus gerhana atau anugerah itu sudah tidak ada nilainya lagi?




SIAPA yang tidak berbangga apabila melihat kejayaan penyanyi-penyanyi tempatan meraih jualan unit album yang mencapai ratusan ribu.

Tahun 90-an dan awal zaman milenium ibarat kemuncak jualan album tanah air.

Selepas Ella menjadi artis pertama di Malaysia berjaya menjual album melebihi angka 400,000 menerusi album Ella USA, Raihan mencipta rekod yang tidak pernah dijangka oleh sesiapa pun.

Pada tahun 1998, Raihan dengan album Puji-Pujian mencetuskan fenomena dengan jualan 600,000.

Selepas itu, walaupun tidak ada artis yang berjaya menggugat angka itu, bagaimana album Datuk Siti Nurhaliza, Slam, Awie dan Mas Idayu mencecah angka ratusan ribu.

Namun, kemunculan teknologi baru seperti cetak rompak dan Internet perlahan-lahan mula melumpuhkan angka jualan album artis negara ini.


KUMPULAN Raihan terus memegang rekod menghasilkan album paling laris di Malaysia dengan angka jualan 600,000 pada tahun 1998.


Akibatnya bukan sahaja penerima anugerah cakera platinum boleh dikira dengan jari bahkan penerima anugerah emas juga tidak seramai mana.

Penjualan album berbentuk fizikal (kaset, cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) serta cakera padat digital (DVD) pernah mencecah angka RM111 juta di sekitar tahun 2004 dan penurunannya jelas ketara kepada RM56 juta tahun lalu.

Usah terkejut jika jumlah itu akan menurun lagi pada masa akan datang kepada RM40 juta sahaja.

Menyedari bilangan penerima anugerah platinum dan emas juga semakin merudum pada 1 Julai lalu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) telah menyemak semula sistem pengesahan jualan muzik yang sedia ada dengan membuat perubahan dari segi unit jualannya termasuk memperkenalkan kategori baru.


MISHA antara penyanyi yang terus bertahan di sebalik kelesuan jualan album hari ini.


Oleh itu, jualan muzik fizikal yang sedia ada diubah dengan anugerah emas akan diberikan kepada album yang mencapai jualan 7,500 unit berbanding 10,000 unit sebelumnya manakala anugerah platinum pula diubah dari 20,000 unit kepada 15,000 unit.

Memandangkan sistem digital mula mengambil alih pasaran muzik, dua kategori baru diperkenalkan iaitu jualan bergabung muzik digital dan fizikal serta jualan muzik digital.

Bagi jualan bergabung muzik digital dan fizikal, anugerah emas diberikan seandainya jumlah jualan mencapai 15,000 unit serta anugerah platinum 30,000 unit.

Untuk jualan muzik secara digital sahaja pula, anugerah emas perlu mencapai 75,000 muat turun lagu dan anugerah platinum 150,000 muat turun.


LAGU Aizat, Hanya Kau Yang Mampu antara lagu yang paling banyak dimuat turun tahun lalu.


Melihatkan situasi ini, ternyata penghasilan album ibarat hidup segan mati tak mahu.

Apa yang pasti bila angka jualan album platinum dan emas diturunkan, penyanyi tempatan seperti mendapat jalan mudah untuk meraih anugerah tersebut.




Persoalannya adakah tindakan itu akan merendahkan lagi nilai dan kelas anugerah itu? Bahkan bukankah tindakan itu akan menyebabkan ada persepsi bahawa album anak tempatan tidak lagi berkualiti?

Bagi Naib Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim, keputusan menurunkan angka jualan album untuk anugerah itu tidak harus dipertikaikan kerana ia masih lagi mempunyai kualiti dari sudut yang berbeza.

"Anugerah industri ini bertujuan meraikan kejayaan syarikat-syarikat rakaman dan para artis yang berjaya mencapai penjualan muzik tinggi. Ia hanya diberikan atas permohonan pengesahan jualan atau kelayakan dari ahli-ahli RIM selepas melalui suatu proses audit bebas.

"Melihat perkembangan industri muzik, dahulu orang beli album kerana meminati satu atau dua lagu daripada album berkenaan. Tetapi sekarang ini dah ada perubahan. Orang yang mahukan satu atau dua lagu sudah tidak perlu mendapatkan sebuah album.

"Jadi bila berbicara mengenai kualiti anugerah emas dan platinum, ia tidak terjejas langsung, sebaliknya ia meningkatkan lagi kualiti karya anak tempatan dari satu sudut yang berlainan.

"Contohnya, bila seorang artis berjaya mendapat anugerah tersebut, dia akan mempunyai sumber kewangan untuk dilaburkan dalam kerjayanya sendiri termasuk pemasaran diri. Semua itu memainkan peranan dalam satu pakej.

"Bila nama dikenali dan jadual makin padat, hasil sumber kewangan yang diperoleh boleh digunakan untuk lagu terbaru serta klip video yang lebih berkualiti," katanya.


SLAM meraih jualan album 200,000 unit sewaktu zaman kegemilangan mereka.


Tambah Norman, bagi penyanyi yang mendapat peluang menghasilkan album, mereka bernasib baik kerana syarikat rakaman masih lagi mempercayai bakat mereka dan pada masa yang sama mereka mempunyai produk jenis fizikal untuk tujuan promosi.

Dalam pada itu, dengan penjualan digital yang hampir mencecah 50 peratus daripada jualan fizikal, Norman juga tidak terkejut jika pada masa akan datang perolehan digital akan mengatasi fizikal dan mungkin suatu hari nanti sistem pengesahan jualan diubah.

Penyuntik semangat penyanyi

Sementara itu, bagi Pengurus Artis dan Repertoir serta Ketua Bahagian Domestik syarikat rakaman Warner Music, Ahmad Mokhtazar atau Che Mok, soal kualiti anugerah emas dan platinum bukanlah satu isu yang besar.

Baginya, kewujudan anugerah berkenaan oleh RIM adalah kerana mahu menampakkan kewujudan industri muzik tempatan masih lagi bergerak.

Namun, strategi juga perlu diubah memandangkan jualan album sukar diraih sejak dua tahun kebelakangan ini.


JAMAL ABDILLAH menerima anugerah platinum berkembar untuk albumnya, Aku Penghibur.


"Sebenarnya, dalam diam, penerimaan anugerah adalah untuk dijadikan sebagai perangsang atau motivasi kepada penyanyi serta produksi untuk bekerja keras lagi dalam penghasilan album akan datang.

"Sekurang-kurangnya, mereka berbangga dengan pencapaian yang dihasilkan. Tetapi bila penjualan album dah tak laku dan penjualan dari segi digital pula menjadi perhatian, sudah pasti cara sistem pengesahan jualan muzik untuk mendapatkan anugerah tersebut diubah.

"Perlu diingat, setiap anugerah yang diterima seseorang penyanyi itu adalah profil mereka yang akan dirujuk pada masa akan datang kerana kehebatan seorang penyanyi dipandang melalui pencapaian, bukannya berapa banyak persembahan yang diterimanya.

"Tak adalah muzik tempatan terasa seperti suram. Jadi, tidak ada salahnya jika penurunan unit jualan dalam meraih anugerah itu diturunkan kerana kerana ia bergerak berdasarkan empayar industri muzik kita.

"Mengenai kualiti anugerah juga tidak perlu dipersoalkan. Cuba lihat, dengan teknologi yang kita ada, muzik kita tidak pernah jatuh kualitinya. Sebab produk kita semakin hebat," katanya.

Tambah Che Mok, bagi pihak syarikat rakaman pula, penurunan unit jualan fizikal disambut dengan baik kerana anugerah emas dan platinum adalah sebuah anugerah yang mencerminkan suatu kelainan berbanding anugerah-anugerah lain di stesen-stesen televisyen.

Walau seteruk mana sekalipun penjualan album tempatan, album tidak mungkin dihentikan kerana masyarakat masih lagi mencari sebuah album untuk dimiliki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: