Datuk Siti Nurhaliza |
Datuk Siti Nurhaliza berharap penyanyi bermata galak itu yang juga sahabatnya tabah menerima ketentuan Ilahi
MEREKA tiada pertalian darah namun jalinan persahabatan yang melingkari antara mereka berdua amat kukuh seperti darah daging sendiri. Ibarat isi dan kuku, begitulah eratnya hubungan penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi dari Indonesia, Kris Dayanti (KD). Bukan saja berkongsi gelaran diva tetapi mereka juga berkongsi kisah suka duka, pahit manis dalam kehidupan peribadi.
Di saat Siti berdepan dengan pelbagai kontroversi sama ada karier ataupun peribadi, Kris adalah antara teman rapat yang menjadi tempat untuknya meluahkan perasaan. Malah di hari bahagia Siti, Kris menghadiahkan pasangan itu lagu romantis, Mencintaimu. Begitu juga apabila penyanyi bermata galak itu dilanda musibah keretakan rumah tangga, Siti turut menjadi pendengar setia. Itulah sahabat sejati, hadir bukan setakat waktu gembira.
“Memang kami ada berhubungan menerusi telefon dan dia ada menceritakan kesedihannya itu. Sebagai kawan saya hanya menasihatinya supaya bersabar dan tabahkan hati untuk menerima semua ketentuan Tuhan. Sedih juga apabila mendengar cerita dia yang dipinggirkan kawan-kawan artis hanya kerana isu itu. Bukan niat untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka tetapi bagi Siti adalah tidak adil untuk Siti bersikap prejudis kerana di saat Siti berdepan dengan kontroversi dulu, dia adalah antara kawan yang tetap bersama Siti.
“Mendengar suaranya menerusi corong telefon, Siti dapat rasakan kesedihan yang dia alami. Memang simpati dan adalah tidak adil untuk Siti bersikap prejudis terhadapnya tanpa mengetahui cerita sebenar,” ujar penyanyi jelita ini ketika diminta mengulas apakah projek khas yang akan menyaksikan dirinya dan Krisdayanti berduet akan menjadi kenyataan memandangkan penyanyi itu ditimpa masalah rumah tangga baru-baru ini
Jelas Siti lagi, walau apapun terjadi, projek merakamkan album duet itu akan tetap dihasilkan dan buat masa ini mereka masih lagi dalam peringkat pra produksi.
DARI kiri, Saida, Tan, Siti, Faimi (Coda) dan Ijam (Coda) pada sidang media Konsert Seribu Warna, baru-baru ini. |
“Kami ada berjumpa dengan Audi Mok untuk mendapatkan key suara KD. Setakat ini kami sudah dapat beberapa buah lagu dan menunggu masa untuk merakamkannya. KD juga akan merakamkan lagu di studio di sini sebab baginya itu lebih selesa,” cerita Siti sambil memberitahu berkemungkinan album itu akan berada di pasaran penghujung tahun ini.
Hadiah untuk arwah ayah
SUDAH hampir sembilan bulan bapa Siti, Allahyarham Tarudin Ismail pergi menyahut seruan Ilahi. Namun sehingga kini ingatan Siti dan juga adik beradiknya terhadap arwah abah masih terus segar dalam memori.
Justeru, bagi mengenang insan yang banyak menyokong kerjaya seninya serta sebagai menunjukkan kasih sayang seorang anak terhadap bapanya, Siti serta adik beradiknya yang lain iaitu Saida, Saerah, Ayie dan Ali merakamkan sebuah lagu khas berjudul Kini Kau Jauh.
“Lagu ini bakal dimuatkan dalam duet Saida dan Saerah dan ia adalah hasil ciptaan Aidit Alfian dan Ad Samad. Sejak kematian ayah, saya tak nafikan yang kami amat merinduinya. Justeru apabila ibu saya, Siti Salmah Bachik meminta kami merakamkan sebuah lagu istimewa untuk arwah, kami terus bersetuju.
“Bayangkan, sebagai tanda sokongannya terhadap usaha kami, dia sanggup meluangkan masa datang ke studio semata-mata untuk melihat sendiri anak-anaknya merakamkan lagu itu. Kami tidak merakamkan lagu itu secara serentak. Jadi, jika ada anaknya merakamkan lagu pada hari-hari tertentu, dia tetap akan datang untuk menyatakan sokongan,” cerita Siti lagi.
Diminta bercerita pengalaman merakamkan lagu bersama adik beradik yang lain, Siti menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang menarik buat mereka.
“Seronok kerana peluang seperti ini bukan datang selalu. Lagipun ini adalah kali pertama kami bergabung beramai-ramai menyanyikan lagu baru. Cuma yang lucunya, apabila dua adik beradik Siti iaitu Ayie dan Ali yang berdepan dengan sedikit masalah dalam studio. Macam Ayie, dia sudah lama tak masuk studio manakala Ali pula, ini adalah pengalaman pertamanya merakamkan lagu, jadi terpaksa mengambil banyak masa iaitu lima jam sebelum lagu itu dapat disiapkan sepenuhnya. Nasib baik Saida dan Saerah sudah biasa kalau tidak mahu pening kepala Aidit,” seloroh Siti yang ditemui pada majlis sidang media ketika mengumumkan Konsert Seribu Warna di pejabatnya, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP), di Cheras, baru-baru ini. Hadir sama Pengurus Besar Hai-O Marketing Sdn Bhd Tan Kee Hock, Saida, Saerah dan kumpulan Coda.
Konsert yang akan diadakan pada 14 November di Stadium Malawati Shah Alam itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-17 syarikat Hai-O Marketing Sdn Bhd (Hai-O) yang juga penganjur utama konsert itu.
Sebaik saja sidang media selesai, Siti sempat juga menunjukkan studio rakaman miliknya yang sedang dalam pembinaan. Kata Siti, studio yang terletak di tingkat bawah pejabatnya itu adalah hadiah dari arwah bapanya.
“Memang dia sengaja mahu rahsiakan pembinaan studio ini. Jadi setiap kali dia datang ke Kuala Lumpur, dia akan melihat proses pembinaan studio terbabit. Yang lucunya, dia akan bertanyakan kepada setiap orang sama ada saya perasan atau tidak kewujudan studio terbabit. Malah, dia juga siap berpesan supaya tidak membenarkan saya menjenguk tingkat bawah pejabat itu bimbang rahsia terbongkar,” imbas Siti.
4,000 tiket untuk peminat
MUNGKIN akan ada yang bertanya-tanya, apa perlunya Siti mengadakan konsert lagi selepas menjayakan Konsert Satu di Istana Budaya penghujung Ogos lalu. Dan tidakkah Siti bimbang jika ada pihak yang akan membandingkan Konsert Seribu Warna dengan Konsert Satu yang diakui cukup hebat dan berjaya meletakkan Siti pada satu tahap yang lebih tinggi. Pun begitu saat diajukan persoalan ini pada empunya diri, Siti berkata kedua-dua konsert itu mempunyai keistimewaan masing-masing.
“Siti harap janganlah membandingkan antara kedua-dua konsert ini kerana ia memang tidak sama. Konsert Satu adalah konsert yang menjadi impian Siti kerana ia membawakan konsep teaterikal manakala konsert ini lebih kepada untuk menghiburkan ahli kelab Hai-O. Sebanyak 10 ribu tiket dikeluarkan dan pihak Hai-O bermurah hati untuk memberikan empat ribu tiket kepada peminat Siti.
“Untuk konsert ini, selain beraksi secara solo, Siti juga akan menampilkan artis dari SNP yang lain seperti Saida, Saerah dan kumpulan Coda untuk acara pembukaan nanti. Siti juga akan berkolaborasi dengan mereka untuk satu, dua lagu. Dan selepas itu, barulah Siti menyanyi secara solo selama 90 minit. Siti akan bawakan pelbagai rangkaian lagu popular Siti termasuk dua buah lagu dari penyanyi lelaki yang amat Siti minati. Kira macam segmen tribute untuk mereka,” cerita Siti yang tegar berahsia siapakah dua penyanyi lelaki yang dimaksudkannya itu.
Selain mengubat kerinduan peminat yang masih ingin menyaksikan konsertnya, Siti berkata Konsert Seribu Warna juga memberi peluang kepada peminat yang tidak berpeluang menyaksikan Konsert Satu.
“Tiket konsert sudah pun mula dijual dan Siti harap peminat tidak lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini. Tiket berdasarkan siap cepat dia dapat,” kata Siti yang akan menggayakan rekaan Hatta Dolmat untuk konsertnya itu. Untuk persembahannya itu, Siti akan diiringi pemuzik profesional di bawah bimbingan Aubrey Suwito.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: