Tuesday, October 20, 2009

Rina ikut jejak kembar

Setelah kakak kembarnya, Rini, baru mencari tapak dalam bidang nyanyian setelah menjadi finalis Akademi Fantasia (AF) 7, kini tiba pula masanya untuk Zuzafrina Zulkifli, 25 atau Rina cuba mencari peluang yang sama untuk bergelar penyanyi.

Pada mulanya, Rini dan Rina telah pun menghadiri pelbagai uji bakat nyanyian yang diadakan oleh stesen-stesen televisyen tempatan seperti One In A Million dan AF untuk membuktikan bakat nyanyian masing-masing. Namun, nasib lebih menyebelahi Rini apabila dia dipilih untuk tersenarai antara 12 finalis AF musim ketujuh.

Walaupun tenaga penerbitan AF tidak memilih Rina sebagai finalis, Rina tidak perlu berasa kecewa apabila bakat terpendam yang ada dalam dirinya dihidu oleh pengarah urusan agensi pengurusan bakat, Cherry Talent and Management, Along Bakar.

“Apabila tidak terpilih sebagai finalis AF, Along datang berjumpa dengan saya dan menawarkan peluang untuk bergelar sebagai penyanyi.

“Saya gembira dengan tawaran tersebut. Setelah membuat pertimbangan, saya bersetuju untuk menyertai Cherry Talent. Kini, cita-cita bergelar penyanyi telah pun dicapai apabila single saya, Mana Satu telah pun dikeluarkan di bawah label Dream Music,” katanya yang cukup teruja dengan penghasilan single tersebut.

Menurutnya, single terbarunya itu telah pun dihantar ke stesen-stesen radio tempatan bagi tujuan promosi. Kemungkinan, November akan datang peminat akan berpeluang untuk mendengar lagu tersebut yang berkonsepkan pop rock.

Lagu Mana Satu itu dicipta oleh pasangan komposer dan penulis lirik baru, Marlin dan Mael. Berbanding Rini, Rina lebih sukakan lagu yang berentak catchy dan rancak manakala Rini lebih meminati rentak pop ballad.

Terbaru Rina akan sibuk dengan aktiviti jelajah seluruh Malaysia bersama-sama artis di bawah label Dream Music seperti Sheila Abdull, Nadia AF6, Claudia AF7, Aishah AF7, Arm dan kumpulan Revalina. Pada 24 Oktober ini, mereka akan bertandang ke Kuantan, Pahang untuk bertemu dengan peminat di sana.

Walaupun masih bertatih dalam dunia seni hiburan tanah air, Rina dan juga kembarnya, Rini telah pun dilanda khabar angin kurang enak didengar yang mengatakan mereka agak sombong tatkala berada di kalangan peminat dan artis lain.

Bagi menjawab dakwaan tersebut, Rina memberitahu masalah tersebut melanda sejak mereka di zaman persekolahan lagi.

“Mungkin raut wajah kami yang menyebabkan ramai orang salah tanggapan terhadap kami. Bukannya kami sombong cuma kami ini agak pemalu untuk memulakan perbualan jika berada dalam kelompok sekumpulan orang.

“Tetapi, lama kelamaan kami akan serasi dan akan rancak berbual bersama dengan mereka. Rini lebih cepat mesra dengan orang yang baru dikenali berbanding saya yang agak lambat untuk ‘panaskan enjin’. Orang kata, ‘tak kenal, maka tak cinta’,” jelasnya berseloroh menjawab khabar angin tersebut.

Di samping karier nyanyian, Rina turut melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Kini Rina mempunyai sebuah syarikat jualan pakaian yang dinamakan Ever Gorgeous Resources. Perniagaan yang berkonsepkan flea market itu menjual pakaian-pakaian wanita muslimah yang trendy.

“Saya cukup meminati pakaian yang digayakan remaja perempuan dan wanita Arab. Walaupun bertudung, mereka juga tidak mahu ketinggalan dalam berfesyen. Rini juga ada buat bisnes tetapi secara online. Selalunya, bisnes saya akan bertumpu di institusi-institusi pengajian tinggi di sekitar Lembah Klang,” kata Rina lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: