Tuesday, October 20, 2009

Alyah nafi bercinta dengan deejay radio



Penyanyi solo yang dicungkil bakatnya melalui Bintang HMI 2000, Alyah agak terkejut apabila ada peminat yang bertanya mengenai sejauh mana sahihnya hubungan beliau dengan salah seorang deejay radio popular tanah air.

Peminat tersebut bertanyakan hal tersebut melalui laman sosial Facebooknya baru-baru ini apabila ada individu yang melihat keakraban Alyah dan deejay tersebut di sebuah pusat membeli belah.

“Semua itu hanya salah faham. Saya dan deejay tersebut tak keluar bersama tetapi secara kebetulan terserempak di sebuah pusat membeli belah di KL. Mungkin ada peminat yang nampak bila kami saling bertegur.

“Semua itu bukanlah dirancang tetapi hanya kebetulan terjumpa. Jadi, tidak salah sekiranya dia atau saya ingin menegur sapa satu sama lain. Nanti orang kata saya sombong pula. Lagi pun, saya keluar bersama emak saya,” jelas Alyah menjawab isu tersebut.

Seiring dengan itu, Alyah turut diajukan soalan mengenai kehidupan peribadinya. Bilakah masanya beliau ingin mendirikan rumah tangga memandangkan kini beliau sudah pun mempunyai dua orang anak angkat berusia tiga tahun, Muhammad Alif dan seorang bayi berusia sepuluh bulan, Naziatul Afiqah.

“Buat masa ini saya belum bersedia lagi untuk berkahwin. Karier saya baru sahaja ingin bermula setelah hampir sepuluh tahun saya mula melibatkan diri dalam bidang ini.

“Kini saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak saya dan juga mengukuhkan dahulu karier saya. Selepas itu barulah boleh fikir pasal kahwin,” kata penyanyi yang berusia 28 tahun itu.

Menurut Alyah, kehadiran dua anak comel dalam hidupnya memberi keceriaan kepadanya. Baginya, anak-anak itu tidak langsung mengganggu karier nyanyiannya bahkan memberi rezeki yang melimpah ruah.

“Sekiranya saya sibuk dengan aktiviti nyanyian, emak dan pembantu saya akan menjaga mereka. Emak tinggal dengan saya, jadi tiada masalah untuk meninggalkan mereka jika saya ada persembahan di luar KL,” ujar gadis yang pernah menganggotai kumpulan The Fabulous Cat dan One Nation Emcees itu.

Penyanyi yang popular dengan single pertamanya, Tak Mungkin Kerana Sayang dan kini sedang hit dengan single kedua, Ku Pinjam Satu Bintang, lagu duet bersama bintang Akademi Fantasia 6, Riz itu kini dalam proses ingin mengetengahkan single ketiganya, Realiti Dewi, yang dipetik daripada album sulungnya berjudul Alyah.

Lagu Realiti Dewi tersebut diilhamkan oleh komposer Omar K yang sebelum ini pernah menyumbangkan lagunya kepada beberapa orang penyanyi popular seperti Dayang Nurfaizah dan Misha Omar. Sementara liriknya pula ditulis oleh pendatang baru dalam bidang penulisan lirik, Zell Firdaus.

Lagu tersebut masih lagi mengekalkan konsep indo pop yang mana mempunyai sedikit persamaan dengan lagu-lagu artis dari seberang yang kini popular di Malaysia.

“Walaupun menggunakan konsep indo pop, dari aspek nyanyian, saya masih mempunyai cara nyanyian yang tersendiri. Saya bukan ingin mengambil kesempatan hasil kreativiti penyanyi Indonesia tetapi cuma ingin menggunakan peluang yang ada. Saya rasa cara itu tidak salah,” kata penyanyi yang menggunakan khidmat syarikat rakaman Wake A Baby untuk menerbitkan albumnya itu dan Warner Music sebagai pengedar.

Sehingga kini, Alyah yang berasal dari Gelang Patah, Johor itu cukup berpuas hati dengan perkembangan karier nyanyiannya. Beliau juga selesa bergerak solo berbanding bergerak secara berkumpulan. Tambahnya lagi, awal tahun hadapan, kemungkinan beliau akan muncul dengan album keduanya.

“Tetapi, sebelum keluar dengan album baru, saya akan perkenalkan dahulu satu atau dua single yang terdapat dalam album tersebut. Itu adalah salah satu strategi yang diguna pakai masa kini untuk melariskan album selain menceburi muzik digital,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: