Tuesday, October 27, 2009

Memartabatkan berlian di Ar-Rahnu


para pegawai dan kakitangan Yapeim mempelajari kursus asas pengenalan berlian dan bagaimana cara-cara menggunakan alat penilaian berlian yang akan digunakan di Ar-Rahnu tidak lama lagi.


HANYA Jauhari mengenal manikam..." Semua daripada kita pernah mendengar pepatah Melayu tersebut yang bermaksud hanya mereka yang pakar sahaja mampu membezakan antara batu permata atau berlian yang asli.

Sememangnya kerja-kerja mengenali barangan kemas tersebut bukanlah mudah kerana galian yang berasal dari perut bumi tersebut juga mempunyai versi tiruan yang sekali lihat seakan-akan sama bentuknya.

Sehubungan itu, apabila Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) ingin memberi peluang kepada masyarakat untuk menggadaikan berlian mereka kepada pajak gadai Ar-Rahnu miliknya, cabaran utamanya ialah melahirkan pakar menilai berlian.

Ketua Pengarah Yapeim, Dr. Abd. Malek Awang Kechil berkata, pengenalan perkhidmatan gadaian berlian yang ditawarkan oleh Yapeim itu menjadikan Ar-Rahnu sebagai pajak gadai pertama di negara ini menerima berlian sebagai barang gadaian.

Katanya, berlian adalah permata yang unik dan kebanyakan barang kemas diikat dengan batu tersebut tetapi apabila digadaikan, nilai yang dikira hanyalah emasnya sahaja.

"Sehubungan itu, kita mahu memberi lebih nilai kepada pelanggan dengan pengenalan perkhidmatan gadaian emas dan berlian secara bersama," kata Abd. Malek.

Katanya, bagaimanapun, kakitangan Ar-Rahnu perlu mempunyai kepakaran dalam menilai berlian terlebih dahulu sebelum perkhidmatan tersebut boleh ditawarkan kepada orang ramai di kesemua pajak gadainya.

Sehubungan itu, Yapeim telah mengadakan kerjasama latihan bersama Institut Gemologi Paramita di Jakarta yang mempunyai makmal batu permata dan kepakaran dalam bidang latihan mengenali berlian dan lain-lain permata.

Untuk latihan di Paramita, seramai 70 kakitangan Yapeim akan menghadiri kursus tersebut yang dibahagikan kepada peringkat eksekutif dan kakitangan penilai barang gadaian, yang mana pihak pengurusan kanan sendiri perlu menghadiri kursus tersebut.

"Bagaimanapun, latihan berlian ini diwajibkan ke atas kakitangan eksekutif sahaja tetapi kakitangan biasa boleh menyertainya dengan sukarela," katanya sambil menyatakan kesemua peserta-peserta akan menghadiri kursus itu sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia yang menghadiri majlis pelancaran Kursus Pengredan Berlian oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail serentak dengan pelancaran Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Padang, Sumatera Barat yang diadakan di Jakarta, baru-baru ini.

Abd. Malek bersama 10 pegawai kanan Yapeim minggu lepas mengikuti kursus selama empat hari di institut pakar yang terkenal dalam pengujian ketulenan berlian itu.

Antara bidang menjadi kursus itu ialah mengenali berlian, mempelajari cara pengujian berlian menggunakan alat penguji dan juga didedahkan mengenai risiko pengurusan berlian dan emas.

"Sebenarnya Yapeim boleh mengadakan latihan di pusat berlian terkenal dunia seperti Cape Town atau Belgium tetapi memilih Indonesia kerana negara ini mempunyai sekretariat Ar-Rahnu yang memiliki kepakaran mengenai berlian," katanya.

Menyentuh mengenai Ar-Rahnu, beliau berkata, pajak gadai berkonsep syariah itu merupakan yang pertama diperkenalkan di negara ini bagi membantu orang ramai mendapat pinjaman yang lebih baik daripada gadaian barangan mereka berbanding sistem gadaian konvensional.

"Pihak Bank Negara menetapkan pajak gadai konvensional boleh mengenakan kadar faedah sebanyak dua peratus sebulan atau 12 peratus setahun tetapi Yapeim hanya mengenakan kadar separuh daripada itu," katanya.

Beliau berkata, atas faktor tersebut Ar-Rahnu juga mendapat sambutan daripada pelanggan bukan Islam kerana mereka yakin dengan keselamatan barangan gadaian di samping dikenakan faedah yang sangat rendah.

"Setakat ini, Ar-Rahnu mempunyai 59 cawangan dan jumlah itu akan ditambah kepada 100 cawangan tidak lama lagi," kata Abd. Malek.

Ar-Rahnu telah memulakan operasinya sejak 1993 dengan kerjasama Bank Rakyat dan kini menjalankan operasinya sendiri melalui Koperasi Yapeim. Sejak penubuhannya, Ar-Rahnu telah melibatkan pembiayaan terkumpul berjumlah RM4.7 bilion dan memberi manfaat kepada 3.7 penggadai.

Kesimpulannya, inisiatif Yapeim untuk memperkenalkan perkhidmatan gadaian baru ini sememangnya sesuatu yang harus dipuji kerana ia mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi masyarakat, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

1 comment:

  1. salam.....boleh tak pelajar sesebuah ipt ingin menjalani latihan industri di Yapeim...?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: