Sunday, October 4, 2009

Mizie meneroka dunia tari




Seseorang lelaki yang memilih kerjaya sebagai penari sering disalah anggap sebagai lelaki lembut apatah lagi ada gerak tari yang memerlukan mereka beraksi dengan pergerakan sedemikian. Adakah penari lelaki sememangnya golongan seperti itu?

Penghias ruangan Kacak Bergaya minggu ini, Ahmad Tarmizie Suhaimi menafikan anggapan sedemikian. Penampilan dirinya sendiri memberi jawapan kepada persoalan itu.

Tarmizie atau lebih senang dipanggil Mizie memiliki tubuh sasa seorang lelaki serta susuknya yang tinggi lampai. Beliau juga lari daripada ciri-ciri kelembutan seorang penari.

Malah kalau orang tidak mengenalinya, pasti akan bertanya dua kali apabila mengetahui Mizie bekerja sebagai penari.

"Tidak semestinya penari lelaki itu golongan lelaki lembut. Memang ada gerak tari yang memerlukan pergerakan yang lembut, tapi ia hanya untuk persembahan tarian sahaja.

"Sebenarnya penari lelaki juga perlu nampak "jantan" untuk menghidupkan watak dalam tarian mereka," kata Mizie kepada Pancaindera.

Mizie sekarang bekerja sebagai artis budaya di Istana Budaya, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu. Sebelum ini beliau pernah bersama kumpulan kesenian di Johor dan Pahang.

"Saya memang meminati bidang tarian sejak di sekolah lagi dan terlibat dalam persembahan Citrawarna Malaysia. Sejak terlibat kali pertama, saya mula berasa minat dalam bidang tarian.

"Apabila tamat persekolahan saya terus aktif bersama kumpulan kesenian di Pahang dan ia berterusan sehingga ke hari ini. Saya seronok dengan apa yang saya lakukan sekarang.

"Pembabitan dalam tarian juga membolehkan saya sentiasa aktif. Saya juga kerap ke gimnasium untuk memastikan sentiasa berstamina dan memiliki susuk tubuh yang menarik," jelas anak muda itu lagi.

Pekerjaan dalam bidang tarian juga membawa Mizie ke luar negara apabila beberapa kali mengadakan persembahan mempromosikan Malaysia di luar negara.

"Kalau nak harapkan wang sendiri untuk ke luar negara payahlah juga. Kerjaya ini membolehkan saya melawat negara orang dan dalam masa yang sama terlibat mempromosikan negara," jelasnya lagi.

Selain kerjaya tetap sebagai artis budaya, Mizie juga turut berlakon drama dan teater. Banyak teater yang dipentaskan di Istana Budaya turut disertainya. Terbaru Mizie juga terlibat dalam pementasan Cuci The Musical.

"Watak saya dan penari lain bukanlah watak yang memerlukan dialog, sebaliknya muncul secara berkumpulan untuk memeriahkan suasana," kata Mizie.

Mizie menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang yang dikenali dalam bidang tarian dan lakonan serta bidang yang baru diceburinya, modeling. Susuh tubuh tinggi lampai membuka ruang kepadanya untuk terjun ke dunia peragaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: