Sunday, October 4, 2009

Jenayah robot dalam Surrogates


Bruce Willis mengawal pergerakan robot penggantinya menerusi kerusi khas dari rumah.


KECANGGIHAN teknologi masa depan dapat merubah seluruh rutin harian manusia apabila semua aktiviti digantikan dengan robot. Paling menyeronokkan apabila pengganti itu juga boleh diubahsuai mengikut paten persis pemiliknya - raut wajah, suara, fizikal dan tahap kepintaran. Semua aktiviti tersebut dikawal melalui gerakan minda di sebuah alat khas ciptaan pakar teknologi yang dipanggil stim chair. Pemilik yang mengawal robot itu dan boleh ekspresi pelbagai perasaan seperti suka, sedih, murung dan gementar kecuali air mata.

Semua bayangan teknologi masa depan ini boleh disaksikan melalui filem keluaran Touchstone Pictures, Surrogates. Filem fiksyen sains ini bakal ditayangkan di pawagam pada 8 Oktober ini.

Teras filem itu adalah bagaimana manusia dapat meningkatkan tahap ketamadunan agar setaraf dengan arus kemodenan teknologi dunia. Beberapa persoalan yang sengaja dilontarkan pada permulaan filem itu bertujuan menyedarkan tentang kepentingan hubungan sesama manusia pada masa depan.

Pengarah Surrogates, Jonathan Mostow menganggap filem yang menjalani penggambaran di Massachusetts, Boston itu mendidik manusia tentang keterbatasan penggunaan teknologi harian yang dibimbangi boleh menghancurkan tamadun manusia.

Teknologi memang hebat. Manusia boleh berfantasi tentang penggunaannya tanpa had, kreatif, produktif, berinovasi dan melakukan semua perkara di luar kemampuan manusia. Ia bermula dengan era komputer, e-mel, telefon bimbit kecil, Internet dan sebagainya.

penghasilanBaginya, kesemua itu bagus tetapi apabila ia menjadi satu kewajipan kepada manusia untuk memiliki dan mendapatkannya, maka banyaklah keburukan daripada kebaikannya.

Surrogates diusahakan bersama tiga penerbit iaitu David Hoberman dan Todd Lieberman dari Mandeville Film yang terkenal dengan penghasilan filem The Proposal, Traitor dan Wild Hogs bersama Max Handelman.

Mereka sengaja mencipta satu fenomena selepas banyak cerita berkaitan penggunaan teknologi masa kini yang seolah-olah mahu memujuk manusia menggunakan untuk menggunakan mesin untuk memudahkan kerja harian.

Penggunaan robot yang pada mulanya bertujuan untuk mengawal keselamatan agar terhindar dari sebarang jenayah. Bagaimanapun disalahgunakan dengan menjadikannya sebahagian uji kaji kecantikan menerusi pembedahan plastik bagi mengekalkan keremajaan berdasarkan impian masing-masing.

Teknologi bertopengkan manusia itu juga menjadikan kita lebih pentingkan diri sendiri dan mewujudkan pelbagai masalah seperti keruntuhan rumah tangga serta kehilangan pekerjaan apabila terleka dengan persona ciptaan insan.

Surrogates dibintangi oleh Bruce Willis sebagai Thomas Greer dan pelakon berasal dari Australia, Radha Mitchell (Jennifer Peters) merupakan agen FBI diarahkan menyiasat kes pembunuhan kali pertama selepas penggunaan robot gantian manusia digunakan secara meluas.

Malangnya, mangsa terlibat melibatkan anak kepada pengasas teknologi berkenaan, Dr. Lionel Canter (lakonan James Francis Ginty) yang tidak percaya anaknya terlibat dalam pembunuhan kejam itu.

Pelbagai cabaran yang dialami oleh Greer termasuk cubaan sabotaj dilakukan oleh penyelia, Andrew Stone (lakonan Boris Kodjoe) yang kemudiannya membuka petunjuk tentang siapa dalang di sebalik angkara berkenaan. Penyiasatan juga ke arah sekumpulan anti-robot yang menggunakan The Prophet (lakonan Ving Rhames) yang mengecam tindakan Canter.

Rahsia terbongkar apabila Greer - tanpa menggunakan bantuan robot pengganti - mendapat tahu Canter adalah pencipta sebuah senjata bervirus yang digunakan untuk menghentikan era robotik dan menggunakan taktik penukaran robot yang dikawal menerusi mesin khas.

Greer yang semakin meningkat usia itu akhirnya berjaya menyelamatkan dunia daripada terus bergantung kepada robot dan menyedarkan manusia agar akur kepada peredaran semasa.

Pada masa yang sama, tindakannya itu berjaya menyelamatkan krisis rumah tangga bersama isterinya, Maggie Greer (lakonan Rosamund Pike) yang semakin menjauhkan diri dengannya selepas kematian anak mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: