![]() |
| SZIYET 1566, Antun Boris Svaljek. |
NEGARA Croatia sememangnya kaya dengan pelbagai khazanah dan tinggalan sejarah yang tidak ternilai harganya. Dari makanan sehinggalah menyusuri bangunan-bangunan lama, semuanya begitu unik dan bakal membuka mata yang memandang dan merasainya.
Maka tidak hairanlah jika Croatia sering kali menjadi pilihan pelancong-pelancong dari seluruh dunia yang mahu merasai sendiri budaya penduduk Croatia yang cukup terkenal dengan seni bina yang cukup artistik.
Warisan yang dimiliki mereka sememangnya istimewa memandangkan kepelbagaian seni diwarisi turun temurun lagi.
Bidang seni tampak dan seni halus Croatia juga cukup terkenal di seluruh dunia. Maka, satu pameran lukisan sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Negara (BLSN) dengan menghimpunkan ratusan lukisan dari pelukis negara tersebut.
Ini merupakan satu pameran antarabangsa yang diadakan di BSLN yang mengisi kalendar BSLN bagi tahun ini dan tidak akan berakhir setakat itu sahaja.
Pameran yang bermula pada 10 hingga 31 Oktober ini turut akan mengembara ke Muzium dan Galeri Raja Fauziah, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 13 November hingga 11 Disember akan datang.
Apa yang menariknya mengenai pameran tersebut, ia merangkumi 140 buah lukisan daripada 70 orang pelukis Croatia yang terkenal daripada pelbagai generasi yang menjadi kebanggaan mereka.
Enam tema yang diangkat oleh 70 pelukis ini termasuklah ruang, cahaya, kedalaman, warna, struktur dan fizikal badan yang melalui pemilihan yang sangat ketat memandangkan Croatia mempunyai ramai pelukis yang hebat.
Kesemua lukisan yang dibawa masuk ke Malaysia dipilih oleh sejarawan dan tokoh akademik, Dr. Tonko Maroevic yang sangat terkenal dalam bidang seni.
Menariknya mengenai pameran ini, tiga daripada 70 orang pelukis yang terlibat pernah mempamerkan karya-karya mereka di Venice Biennale pada bulan Jun yang lalu.
Mereka terdiri daripada Makto Vekic, Nikola Koydl dan Zoltan Novak yang cukup terkenal sebagai pelukis yang hebat kerana dapat mempamerkan bakat di galeri yang cukup popular di seluruh dunia itu.
Jika diselak kembali sejarah awal pameran Contemporary Croatian Drawing ini, ia merupakan satu pameran yang sudahpun bermula sejak tahun 2005 lagi.
Dan sepanjang tempah itu, mereka telah mengembara ke beberapa buah negara termasuklah Jordan, Mesir, China, Hong Kong dan beberapa buah negara di Eropah sambil ‘menjual’ kesenian Croatia.
Pameran itu tidak hanya bertujuan sebagai satu penjelajahan semata-mata, malah ia turut sama mahu memberikan ruang dan dimensi baru kepada peminat-peminat seni terutamanya lukisan di seluruh negara mengenai Croatia.
Bagi peminat lukisan tanah air, inilah masa yang sesuai untuk anda melihat dengan lebih dekat pameran Contemporary Croatian Drawing yang sedang berlangsung di Galeri 2A BSLN.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: