![]() |
| Skrip Pisau Cukur mesti tajam bagi memastikan pengunjung yang menonton di pawagam bermula 11 november tidak mudah bosan. |
PEREMPUAN memang diasuh untuk kahwin dengan lelaki yang statusnya lebih tinggi dan bukannya rendah. Kalau ada perempuan yang kata dia kahwin untuk cinta, dia selalunya menipu. Dia mahu jodoh sekurang-kurangnya sama taraf dengan dia. Ini adalah cerita benar.
“Kisah itu sendiri disaksikan oleh adik lelaki saya mengatakan rakan perempuan sedarjah dengannya bercita-
cita untuk berkahwin dengan orang kaya. Terlopong saya bila mendengarnya. Tetapi, sebagai manusia biasa, kita janganlah terus menghukum jenis perempuan ini,” kata penulis lakon layar filem Pisau Cukur, Rafidah Abdullah.
Pemegang Sarjana Penulisan Skrip daripada Kolej Goldsmiths, Universiti London ini sengaja memilih isu universal itu untuk diutarakan kepada khalayak kerana mahu mereka memikirkan akibat daripada perbuatan itu.
Rafidah berkata, fenomena wanita mengejar lelaki kaya itu turut berlaku di kalangan wanita Melayu yang menjadikan subjek material atau aset seseorang itu sebagai pengukur pada satu ikatan perkahwinan.
Ia juga bertujuan untuk memastikan zuriat mereka mempunyai sokongan kewangan yang kukuh boleh diwarisi selepas ketiadaan ibu bapa mereka satu hari nanti.
Misalnya, seorang wanita yang berpendidikan tinggi dan mendapat pekerjaan yang bagus pasti tidak akan berkahwin dengan lelaki yang lebih rendah daripada martabatnya itu. Berkemungkinan dihalang oleh ibu bapa atau malu dijadikan bahan umpatan orang lain.
“Ibu bapa moden sekarang ini juga semakin memilih dan cerewet tentang bakal menantu mereka. Perkara utama diambil kira adalah pekerjaan, gaji, status calon lelaki itu sama ada layak atau tidak untuk menanggung hidup anak perempuan mereka,” kata Rafidah yang tidak kisah sekiranya terdapat pihak yang kurang senang dengan topik yang dipilihnya itu.
Dia juga percaya sindiran secara halus adalah cara terbaik untuk mengubah stigma masyarakat Melayu masa kini.
Katanya, khalayak juga tidak boleh terus membuat tanggapan sendiri berdasarkan judul filem tetapi perlu mengetahui tentang mesej selepas menonton filem yang menggunakan premis sama seperti dalam filem How To Marry a Millionaire yang dilakonkan Marilyn Monroe.
“Ini adalah filem yang menceritakan fenomena wanita yang mencari lelaki kaya untuk hidup dan bukannya mengajar penonton tentang cara-cara untuk menjadi pisau cukur. Kita juga tidak berniat untuk menggalakkan semua wanita menjadi pisau cukur tetapi perlu difikirkan juga mesej yang ingin disampaikan.
“Tidak semua wanita pisau cukur itu hidup bahagia dengan perjalanan hidup mereka. Ada yang menderita, menyesal dan bertaubat atas kelakuan mereka. Walaupun sebelum ini, motivasi mereka jelas (untuk mendapatkan lelaki kaya) tidak bermakna mereka tidak mempunyai moral atau tiada panduan moral,” katanya.
Rafidah yang meminati filem-filem Melayu lewat 70-an dan 80-an menegaskan, Pisau Cukur adalah kombinasi daripada cerita yang didengar, watak yang diceritakan semula dan imaginasi sendiri.
Menerusi garapan idea daripada pengarah Bernard Chauly menjadikan filem itu lebih hidup dan penuh berwarna-warni. Barisan pelakon yang terlibat juga tidak kurang hebatnya iaitu Maya Karin, Nur Fazura, Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Shahredza Minhat, Rahim Razali, Khatijah Tan, Umie Aida, Sharifah Sofia, Liyana Jasmay, Nast-T, Radhi Khalid dan Datuk Yasmin Yusuff.
Ia diserikan lagi dengan penampilan Afdlin Shauki, Nabil, Norman KRU, Rafidah Abdullah, Kartini Kamaruddin, Nabila Huda, Othman Hafsham, Bernice Chauly, Low Ngai Yuen, Elaine Pedley dan Henry Golding.
Kesemua mereka juga menghadiri bengkel latihan yang dikendalikan Janet Pillai dan Zahim AlBakri untuk memastikan mereka sebati dengan watak masing-masing.
Pisau Cukur mengisahkan dua gadis pisau cukur jelita Bella (Maya Karin) dan Intan (Nur Fazura) yang bercuti di atas kapal pelayaran Putri Duyung mencari keperluan hidup masing-masing. Setelah puas mencari bakal suami yang kaya, Bella cuba mendampingi Datuk Hisham (Eizlan Yusof) dan memujuk Faqir (Shahredza Minhat) menjadi pasangannya untuk belajar tarian ballroom agar dapat menawan hati Datuk Hisham.
Intan pula berganding bahu dengan penyiasat peribadi Ari (Aaron Aziz) untuk menyelesaikan misteri pembunuhan Datuk Zakaria (Rahim Razali). Intan dan Ari cuba membongkar rahsia suspek mereka iaitu ketiga-tiga isteri Datuk Zakaria (Khatijah Tan, Umie Aida dan Sharifah Sofia) dan anaknya (Liyana Jasmay dan Nas-T).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: