Tuesday, October 27, 2009

Menangi Harley Davidson di KLIBR


Sporter XR 1200 yang menjadi hadiah utama cabutan bertuah kali ini.


REBUT peluang untuk memenangi sebuah motosikal Harley Davidson Sporter XR 1200 berharga RM120,000 sepanjang Rali Motosikal Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBR) 2009 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 23 Oktober ini.

Perhimpunan pemilik dan peminat motosikal berkuasa tinggi di Padang Kelab Ekuestrian, Bukit Jalil itu diadakan bersempena perlumbaan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagi memeriahkan acara, Red Garage selaku penganjur turut mengundang kumpulan muzik terkemuka tanah air, Search yang akan membuat persembahan pada malam penutup Festival Muzik Ara.

Selain Search, 24 lagi kumpulan dijadualkan beraksi termasuk Republic of Brickfields, Pure Vibracion, Pesawat, Deja Voodoo Spells dan kumpulan Reggae Thailand, Job 2 Do.

Pengurus Red Garage, Mohd. Idi Iskandar Datuk Seri Abu Zahar berkata, KLIBR dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi sekaligus menjadikannya acara motosikal terbesar pernah diadakan di negara ini.

Festival motosikal peringkat antarabangsa yang masuk kali kedua itu juga bakal dihadiri oleh ahli-ahli kelab motosikal dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

"Matlamat kita adalah untuk menyatukan keseluruhan ahli kelab ahli motosikal khususnya yang ada di negara ini di dalam satu komuniti.

"Tiga acara utama yang akan berlangsung daripada pukul 2 petang hingga 12 malam itu adalah KLIBR, Festival Muzik Ara dan Festival Seni Ara," katanya.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang KLIBR adalah pertandingan ubahsuai, tarik tali, gusti lengan, persembahan fesyen Harley Davidson, pameran pembina motosikal chopper dari Indonesia dan pameran motosikal klasik.

Acara kemuncak adalah cabutan bertuah yang membolehkan pemenang membawa pulang hadiah utama berupa Harley Davidson Sporter XR 1200.

Selain penggiat sukan pemotoran, festival juga membuka ruang kepada penggiat dan peminat seni tempatan untuk mengadakan persembahan, menjual dan mempamerkan hasil karya.

Tarikan utama Festival Seni Ara yang diadakan di khemah zon seni itu termasuk wayang pacak yang akan menayangkan filem-filem indie, seni grafiti, persembahan teater, pentomin, sajak dan pertunjukan seni jalanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: