Tuesday, October 27, 2009

Aktiviti menarik di Karnival Monsoon


Persembahan tarian tradisional akan memeriahkan lagi Karnival Monsoon di Pulau Duyung pada Disember ini.


PELBAGAI aktiviti menarik menanti orang ramai yang mengunjungi Karnival Monsoon yang diadakan sempena Monsoon Cup di Pulau Duyung, Kuala Terengganu pada 2 hingga 6 Disember depan.

Buat julung kalinya, Karnival Monsoon membuka zoo mini untuk orang awam khasnya kanak-kanak selain pameran memancing dan skuba serta permainan tradisional.

Antaranya, permainan 'terang gelap', 'bola cetong', tarik tali, demonstrasi membuat dan menerbangkan wau.

Para pelancong asing pula berpeluang menghayati aneka tarian kebudayaan yang dipersembahkan pada segmen pertandingan tarian.

Penasihat Monsoon Cup, Datuk Peter Gilmour berkata, acara menarik itu akan diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa iaitu bersebelahan lokasi tempat perlumbaan Monsoon Cup dan World Match Racing Tour.

"Ini merupakan kali kelima penganjuran Monsoon Cup dan setiap tahun kami berjaya menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan luar negara menyaksikan perlumbaan selain acara-acara sampingan.

"Kami berbangga kerana Monsoon Cup berupaya menyumbang kepada transformasi Pulau Duyong di muara Sungai Terengganu dari sebuah perkampungan nelayan dan kawasan pembuatan bot menjadi sebuah pusat pelbagai aktiviti semasa musim monsun," katanya.

Tambah Gilmour, di samping menghidupkan suasana Pulau Duyung dengan berbagai-bagai aktiviti dan acara sepanjang tempoh itu Monsoon Cup juga merupakan platform strategik bagi memperkenalkan industri kecil kepada para pengunjung.

Tahun ini, pihaknya menyediakan gerai-gerai jualan makanan dan kraf tangan tradisional kepada para penonton serta juga pelayar.

Karnival Monsoon memberi peluang kepada para pelancong dalam dan luar negara menikmati beraneka masakan tempatan di samping membeli cenderahati untuk di bawa pulang ke negara asal masing-masing.

Sepanjang program selama lima hari itu juga, pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis popular tempatan menerusi Konsert Kick-Off yang di Dataran Shah Bandar.

Artis terlibat termasuk Farah Fauzana, Iqram Dinzly, Aizat, Dafi, Adam, Ramlah Ram, Jay Jay, Tomok dan Dayang Nurfaezah.

Orang ramai juga berpeluang bertemu selebriti pujaan mereka ketika sesi bertemu artis dan Konsert Mini pada 2 hingga 4 Disember di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa.

Untuk maklumat lanjut tentang Karnival Monsoon, sila kunjungi laman web www.monsooncup.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: