Sunday, October 4, 2009

Mazin idam jadi hos


MENEMPATKAN diri dalam industri hiburan tanah air bukan mudah dilakukan sesiapa. Bagi model dan pelakon ini, setiap ruang dalam industri hiburan perlu dicuba, lebih-lebih lagi sebagai penyampai radio.

“Saya berhasrat menjadi pengacara sejak menonton Channel V ketika berusia 15 tahun,” kata Mazin atau nama sebenarnya Mazin Ameen Siraj, 29, model dan pelakon.

Sebelum ini, dia pernah menyertai Bollywood Anchor Hunt anjuran saluran Bollywood, Zee TV di Astro, namun nasib tidak menyebelahi anak kelahiran Melaka.

Menurutnya, semua itu bermula daripada isterinya yang meminati filem dan lagu dari sana walaupun dia tidak berapa menggemarinya hinggalah berkahwin.

“Dalam setiap pertandingan, ada pihak yang berjaya dan sebaliknya. Justeru saya akan terus mencari jalan supaya impian saya menjadi kenyataan,” kata Mazin.

Menyentuh ‘kehilangannya’ selepas tamat rancangan Sehati Berdansa tahun lalu, anak kacukan Arab-Caucasia-Portugis ini menafikan sepi sepenuhnya daripada terbabit dalam mana-mana aktiviti hiburan.

Menurutnya, mungkin orang ramai kurang melihatnya di televisyen memandangkan kerjayanya sebagai model kurang mendapat publisiti.

Namun dia tidak menafikan banyak menolak undangan kerja selepas Sehati Berdansa tamat memandangkan keadaan isterinya yang mengandung anak pertama.

“Kini anak kami, Asyraaf Mukhtar semakin membesar dan memerlukan perhatian saya dan isteri, jadi saya membataskan pergerakan saya, khususnya jika ada undangan yang memerlukan saya berjauhan dengan keluarga.

“Sebab itu saya ingin menjadi pengacara memandangkan tugas mengacara tidak lama dan lebih mudah berbanding berlakon,” katanya.

Apabila ditanya sama ada dia pernah cuba mendapat tawaran saluran tempatan, katanya dia memang menunggu panggilan selepas uji bakat, namun tiada.

“Mungkin wajah saya tidak mencerminkan wajah tempatan, jadi kebanyakannya susah nak beri peluang, sebab itu saya cuba untuk ke saluran antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: