Sunday, October 4, 2009

Suria Cinta Lin


SEJAK Julai 2006, segmen Suria Cinta di Suria FM semakin diterima pendengarnya. Masakan tidak, pada awal penubuhan, program itu hanya ke udara seminggu sekali tetapi kini hampir setiap hari pendengar boleh berkongsi cerita cinta mereka bersama deejay bertugas.

Namun ramai tidak tahu di sebalik segmen berkenaan, Deejay Lin bertanggungjawab menghidupkan program itu. Begitupun, di kalangan media namanya lebih dikenali sebagai Pegawai Komunikasi Suria FM daripada penyampai.

Selaku tulang belakang stesen radio berkenaan, setiap rangka promosi diatur rapi olehnya. Malah, menyentuh soal penyiaran pula, kredibiliti Lin sebagai penyampai sememangnya tidak dinafikan. Mengelolakan ruangan bertemakan cinta, dia punya cara tersendiri untuk memikat pendengar.

“Segmen Suria Cinta ke udara setiap Ahad jam 8 hingga 12 malam manakala Isnin hingga Jumaat pula pada 11 malam hingga 2 pagi. Dalam Suria Cinta pelbagai segmen lain diselitkan.

“Bagaimanapun ruangan Cari Cinta lebih mendapat perhatian pendengar. Tidak kurang juga yang mencari cinta menerusi program ini. Setakat hari ini enam pasangan disatukan dan ia menjadi kebanggaan saya.

“Dalam melayan kerenah pendengar, kita perlu sabar dan bijak mengikut rentak mereka. Saya lebih suka menjadikan pendengar sebagai rakan walaupun baru pertama kali berhubung menerusi telefon. Dari situ perbualan lebih lancar, malah hubungan saya dan pendengar juga lebih akrab.

“Setidak-tidaknya pendengar akan rasa diri mereka dihargai. Saya juga tidak suka meletakkan batasan antara penyampai dengan pendengar,” katanya.

Tambah Lin, hampir empat tahun bersama pendengarnya, maklum balas diterima sangat memberangsangkan.

“Menurut kajian, pendengar segmen ini lebih ramai berbanding segmen lain. Malah, purata pendengarnya meliputi Lembah Klang dan Pantai Timur. Mungkin kerana program ini lebih ringan.

“Bagi saya, pendengar lebih terpanggil untuk mendengar lagu pilihan mereka, bukan celoteh penyampai. Pendengar juga suka mendengar lagu lama.
“Sebab itu menerusi segmen ini saya ketengahkan lagu popular era 1980-an hinggalah terkini. Bagaimanapun lagu terbaru jarang diputarkan kerana segmen lain berpuluh kali memainkannya.

“Lagipun peminat memaklumkan mereka lebih menggemari muzik lama, tangkap leleh, slow rock dan sebagainya. Jadi lagu seperti itu diperdengarkan supaya sesuai dengan tema segmen ini,” katanya.


Selain itu, Lin tidak ketinggalan berkongsi rasa bangga apabila segmen kendaliannya menjadi pilihan pendengar Suria FM.

“Mungkin kerana formula yang saya gunakan berjaya menarik perhatian dan minat pendengar. Bukan mahu bersaing dengan ahli keluarga sendiri, tapi apabila jumlah pendengar kian meningkat, ia dianggap pencapaian yang memberangsangkan.

“Perkembangan menggembirakan ini sedikit sebanyak menarik perhatian pelbagai syarikat untuk tampil sebagai penaja segmen,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: