| Maya 'Matahari' sememangnya sinonim dengan panggilan kepada penyanyi wanita yang pernah popular dengan lagu Matahari suatu ketika dulu. Tidak mahu lari jauh dari imej tersebut, Maya menjelaskan album terbaru akan melihat kesinambungan kepada konsep yang pernah dipopularkannya dulu. "Walau Maya gunakan nama lain sekalipun, orang akan kenal Maya dengan panggilan Maya Matahari. Seakan-akan sudah jadi trademark pula.
"So Maya rasakan ada baiknya Maya kekalkan nama tersebut untuk album terbaru nanti," ujar Maya atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee.
Selepas 10 tahun sepi tanpa sebarang album, Maya kini akan membuat comeback dengan lagu berjudul Mata hasil ciptaan Cat Farish. Kenapa Cat? Kenapa selepas 10 tahun?
"Maya sendiri yang minta Cat lagu tersebut kerana dia tahu apa yang Maya inginkan dan senang bekerjasama dengannya. Cat siapkan lagu tersebut dan Maya sendiri berikan judul Mata.
"Maya takut buat album dulu memandangkan ekonomi tidak stabil. Sekarang pun Maya keluarkan modal sendiri dan Metadome Sdn Bhd akan bertindak mempromosikan lagu Maya di stesen radio." ulasnya ketika Majlis Pelancaran Drama Dari Mata ke Hati.
Maya disifatkan cukup bertuah apabila lagu Mata dipilih menjadi lagu tema untuk drama Dari Mata ke Hati yang ditaja oleh InnerShine Pati Berry.
"Saya sendiri yang menawarkan lagu tersebut kepada syarikat InnerShine kerana tahu mereka sedang dalam perancangan mencari lagu untuk Pencarian InnerShine Berry Beautiful Eyes. Dan syukur lagu saya berkaitan mata," katanya.
Belum Ada Perancangan Anak
Melayari kehidupan berumahtangga sememangnya membawakan erti kehidupan di sisi lain Maya. Mengakui amat bahagia melayari bahtera suami, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz. Namun baginya belum masa untuk memikirkan soal orang baru di dalam keluarga.
"Honeymoon pun tak sempat. Macam mana kami ada masa nak fikirkan soal anak? Tanggungjawab semakin berat bila jadi seorang isteri sebab saya sibuk dengan lakonan dan show.
"Tapi suami sangat memahami. Mungkin sebab kami berdua sudah matang so tak timbul perbalahan yang tak patut. Tapi kalau shooting di luar sampai berhari-hari memang dia tak bagi," ujarnya yang akan bersanding di Batu Pahat bulan Disember ini.
Maya akan muncul dengan mini album terbaru yang dijadualkan keluar sekitar awal tahun depan di mana ia akan memuatkan lima buah lagu termasuk Matahari. Peminat boleh mendengar lagu Mata setiap Sabtu jam 4.45 petang mulai 7 November ini di TV3 atau di corong radio.
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: