Saturday, October 24, 2009

Mamat Khalid cetus fenomena baru menerusi Estet

Jika Yasmid Ahmad terkenal dengan karyanya yang melibatkan bangsa Cina, pengarah Mamat Khalid juga tidak kurang hebatnya kerana berjaya mencetuskan fenomena baru dengan mengangkat martabat bangsa Tamil di layar Perak. Dengan mempertaruhkan filem Estet, Mamat berharap filemnya itu dapat memenuhi permintaan bangsa Tamil yang mahukan sedikit ruang dalam industri seni tanah air sendiri.

Bukannya mahu mendabik dada dengan apa yang diusahakannya itu, namun bagi Mamat cukuplah sekiranya khalayak boleh menerima filemnya itu nanti. Sebagai pencetus kepada fenomena ini, Mamat mengharapkan agar lebih ramai produser dan pengarah tampil menghasilkan filem sebegini.

“Berdasarkan kajian yang saya lakukan, bangsa India di negara kita tak ada tempat untuk ketengahkan filem mereka dalam industri kita, melainkan secara independent. Sedangkan mereka juga setaraf dengan kita, ada festival filem sendiri, ada pelakon berbakat, misalnya, Shashi Taran dan Jasmine Micheal pernah menang anugerah menerusi festival mereka.

“Memandangkan ramai di kalangan mereka mengharapkan agar filem mereka diketengahkan, maka saya terpanggil untuk menghasilkan filem mainstream yang melibatkan hero dan heroin daripada bangsa India. Jika sebelum ini mereka terasa terpinggir, maka dengan adanya Estet, bolehlah mereka bersama-sama merasakan arus perdana,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran video klip dan novel Estet di Istana Budaya.

Mengambil masa yang agak lama menyiapkan filem kelapan arahannya itu, Mamat memberitahu, Estet bukanlah naskhah yang mudah disiapkan.

“Filem ni memang payah nak buat. Kalau kita tengok filem Tamil kita mesti ketawa kerana rasa tak logik, kalau heronya boleh terbang dak aksi gaduhnya dahsyat. Tapi pembikinannya sebenar sangat payah. Untuk buat video klip misalnya, sanggupkah kita shoot satu lagu di bermacam lokasi seperti mana yang dilakukan dalam filem Tamil atau Bollywood?

“Memang tak sanggup. Tapi apa yang saya cuba tonjolkan dalam filem ini adalah tentang keakraban masyarakat India dan Melayu dalam kehidupan di Estet. Saya tak perlu menyogok perpaduan di kalangan kita, kerana semua itu sebenarnya sudah ada dalam diri kita.

“Dalam masa yang sama, ramai yang tanya saya, kenapa tak libatkan pelakon Cina sekali. Apa yang boleh saya katakan, dalam Estet, realitinya orang Cina memang tak ramai. Sebab itulah dalam filem ini saya gunakan seorang sahaja pelakon Cina,” katanya yang mendapat idea untuk menghasilkan Estet setelah mengarah filem Man Laksa.

Menjelaskan tentang bahasa yang digunakan dalam filem tersebut, kata Mamat, dia tidak mahu isu tersebut menjadi persoalan kerana dalam filem itu dia lebih mengutamakan Bahasa Melayu.



Sasar penonton India

Menurut Mamat, Estet kini sedia untuk ditayangkan pada umum pada Tahun Baru Cina nanti dan akan menjadi kayu pengukur sejauh mana kejayaannya merealisasikan Estet ke layar perak. Yakin filemnya itu akan mendapat sambutan ramai, khasnya masyarakat India, Mamat dengan optimisnya meramalkan kejayaan Estet.

“Sebelum ini saya ada membuat test audience yang terdiri dari bangsa India dan hasilnya sangat memuaskan kerana mereka suka dengan filem ini. Selepas sahaja filem ini tamat, mereka bertepuk tangan gembira. Saya harap, begitulah juga dengan sambutannya nanti. Antara salah satu sebab saya buat filem ini juga adalah untuk menarik penonton India ke pawagam,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Di Festival Filem Malaysia tahun lalu menerusi filem hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.



Muncul dengan video klip, novel

Sudah namanya filem ala-ala Tamil, pastinya tak lengkap filem ini tanpa lagu dan video klip. Dengan menghasilkan dua video klip, Ayuh Kawan dan Cahaya Kemenangan, Mamat mengharapkan agar ia dapat memeriahkan dan menghangatkan lagi filem sulung terbitan produksinya itu, Naga VXS Sdn Bhd.

“Kedua-dua video klip ini pun rumit untuk dibuat kerana ia memerlukan imejan, serta harus mengikut rentak yang tepat dengan pergerakan penyanyi. Selain untuk menghangatkan lagi filem Estet, video klip ini sebenarnya merupakan satu kepuasan kepada saya kerana inilah kali pertama saya mengarah filem dan dalam masa yang sama juga mengarah video klip,” katanya yang pernah mengarah beberapa filem antaranya, Rock, Kala Malam Bulan Mengambang dan Zombie Kampung Pisang.

Lagu Ayuh Kawan yang dicipta oleh R Laurance, dan lirik oleh Iqbal Putera disampaikan menerusi dua versi. Jika menerusi filem Estet ia melibatkan Farid kamil dan Shashi Taran, tetapi untuk video klipnya ditampilkan penyanyi sebenar iaitu, Awie dan Shiva.

Sementara itu lagu Cahaya Kemenangan juga diberi sentuhan yang cukup mengasyikkan oleh R Lawrence dan seni kata oleh Iqbal Putra dan didendangkan oleh Sunganya dan Razif Rashid, bakal menyentuh perasaan dengan alunan melodi dan lirik tersendiri.

Menjelaskan tentang novel Estet pula, kata Mamat, ia bukan bertujuan mempromosikan filemnya, namun ia satu penghargaan oleh Matahari Publications yang mahu menyelami pahit getirnya menghasilkan Estet, filem khas untuk rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: