
PENGEMBARAAN ini bermula pada pukul 8.30 pagi Sabtu, 10 Oktober lalu. Cuaca agak mendung. Sebelum ini, saya pernah menjelajah bahagian barat Bukit Tabur yang terletak di Hulu Kelang, Selangor. Hari ini, saya cuba meneroka bahagian timur pula. Sebanyak 14 peserta menyertai ekspedisi ini. Setelah sebulan berpuasa dan bahang sambutan Aidilfitri masih lagi terasa, kami tidak sabar lagi untuk mendaki bersama.
Pada awalnya, kami menempuh laluan di sebelah batang paip besar sebelum masuk ke hutan yang menghijau. Kira-kira setengah jam kemudian, kami berhenti berhampiran tebing curam untuk melihat pemandangan yang begitu sinonim dengan kota raya Kuala Lumpur, kawasan perumahan yang masih dalam pembinaan dan yang telah lama dihuni.
Menjana tenaga
Selang beberapa minit, kami menyambung semula perjalanan dan kemudian berhenti lagi untuk melihat panorama sekitar. Dari sini, jelas kelihatan kawasan menceracak yang membentuk Bukit Tabur Barat. Di samping itu, Empangan Klang Gate turut mendominasi pemandangan. Persekitarannya berkabus dengan pokok subur menghijau memagari birainya yang berkelok-kelok. Semuanya indah dan mengasyikkan.
Setelah puas melihat keindahan itu, kami meneruskan perjalanan. Kini, pokok yang menjulang tinggi tidak lagi memayungi kami. Sebaliknya, pokok yang rendang persis bonsai bernilai tinggi tumbuh di sana sini sebagai ganti.
Ada ketikanya kami berhenti untuk menjana tenaga, makan dan minum sambil menikmati pemandangan. Dari poin itulah, pemandangan hijau masih boleh dinikmati oleh warga kota yang sering dibelenggu ketegangan.
Bukit Tabur yang kami jelajahi itu secara dominannya terbina daripada formasi batu kuarza yang mengunjur sepanjang 16 kilometer. Formasi yang mendominasi Kuala Lumpur itu dianggap sebagai rabung kuarza terpanjang dunia. Seharusnya, pihak berwajib menjadikan kawasan itu sebagai kawasan yang dilindungi memandangkan ia popular di kalangan pendaki.
Berhenti di puncak
Kira-kira sejam setengah selepas melewati kawasan berbatu tajam serta kiri dan kanannya jurang dengan kedalaman puluhan meter, kami berhenti di puncak bukit. Di hadapan adalah satu lagi bukit yang lebih tinggi dan berbentuk runcing. Isteri saya, Along dan seorang lagi rakan berhenti setakat itu sahaja, manakala yang lain termasuk saya, meneruskan pengembaraan.
Pendakian menggapai poin itu merupakan yang paling sukar dan paling berbahaya. Hati berbaur antara takut dan teruja, antara kebimbangan dan keseronokan. Kami mengambil masa 15 minit dari hentian terakhir untuk menggapai puncaknya yang curam. Saya difahamkan poin itu berketinggian 350 meter dari aras laut.
Berdiri di hadapan kami adalah formasi bukit yang bentuknya hampir-hampir serupa. Faktor kekangan masa, jurang yang lebih curam dan membahayakan, membuatkan kami tidak meneruskan pendakian ke sebelah situ. Berdasarkan statistik, ada beberapa kes pendaki terjatuh di kawasan Bukit Tabur. Tahun ini sahaja, dua orang doktor pakar kanak-kanak yang bertugas di hospital swasta berhampiran menemui ajal selepas terjatuh di jurang Bukit Tabur.

Menuruni tebing
Kami hanya duduk sebentar di situ sambil berbual dan merakamkan kawasan sekitar dengan lensa kamera. Kami seterusnya menuruni tebing curam yang bercerun hampir 90 darjah. Kekuatan tangan dan kaki digunakan sepenuhnya untuk turun. Hati berdebar-debar menyaksikan debu berterbangan dan batu-batu bergolek ke bawah dan hilang ditelan jurang yang dalam. Episod itu sudah cukup membayangkan betapa sukar dan bahayanya perjalanan kami.
Denai tanah tinggi yang berbatu tajam dan berpasir kembali kami jejaki untuk pulang kala mentari terik mula memancarkan cahayanya. Kawasan terdedah dan berbahang beransur-ansur kami tinggalkan, sebaik sahaja kawasan hutan yang redup menjelma. Saya berjalan berseorangan meniti denai tanah hitam manakala isteri dan rakan-rakan lain memilih trek bersebelahan yang berbatu.
Tindakan itu rupa-rupanya mengundang malang. Tanpa disangka, saya terjatuh dalam posisi kepala ke bawah dan kaki ke atas. Dalam keadaan yang cemas itulah, tubuh saya terpelanting dan beberapa kali terhempas. Sedar-sedar, saya sudah terlentang di atas tanah dengan kepala berpinar-pinar. Dada terasa begitu sesak sehingga sukar menarik nafas dan kedua-dua belah pergelangan kaki saya terasa begitu sakit.
Mat Som, Jimmy dan Abod duduk mengelilingi saya. Begitu juga isteri, Zul dan Along. Masing-masing bimbang kerana menurut mereka, saya terjatuh dari cerun setegak 90 darjah dengan ketinggian kira-kira lapan meter. Saya cuba bangkit tetapi usaha itu sia-sia. Kedua-dua kaki saya yang sebelum ini gagah melangkah kini longlai sehinggakan tidak mampu menampung berat saya yang hampir 70 kilogram.
Darah mengalir dari bibir yang bengkak dan dagu yang sakit. Dua batang gigi hadapan saya juga tidak berada di tempat yang sepatutnya.
Usung ke parkir
Enam rakan berjaya membawa saya keluar dengan pengusung yang diperbuat daripada dua batang kayu, sehelai kain pelikat dan dua helai baju-t. Usaha itu memaksa rakan-rakan bertarung untuk sampai ke kaki bukit dalam keadaan selamat. Alhamdulillah, semangat berpasukan mengatasi segala-galanya. Hamdan, Along, Hafiz, Jimmy, Abod dan Zul mengambil masa hampir setengah jam untuk mengusung saya dengan selamat ke kawasan parkir. Saya kemudiannya dikejarkan ke Hospital Serdang.
Tubuh saya dix-ray termasuk melakukan imbasan 360 darjah ke atas tulang muka dan kepala. Kakitangan hospital akhirnya menyimen kaki kiri saya yang patah selepas doktor mencabut dua batang gigi. Pakar perubatan lain turut membuat pemeriksaan untuk mengetahui tahap kecederaan saya.
Selepas beberapa jam berada di unit kecemasan dan menerima rawatan, saya dibenarkan pulang ke rumah. Pengalaman itu mungkin pahit untuk ditelan, namun saya bersyukur kerana kecederaan saya mungkin sedikit jika diukur dengan lokasi berlakunya kemalangan. Saya bernasib baik kerana mempunyai rakan-rakan pendaki yang begitu prihatin untuk memastikan saya mendapat rawatan perubatan yang pantas. Insiden itu mungkin menghalang saya daripada terus menjelajah hutan dan tanah tinggi buat sementara waktu, tetapi jika diizinkan Tuhan, saya akan kembali lagi selepas pulih nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: