![]() |
| FARID (kiri) bersama Johan (dua dari kiri), Datuk Khalid Mohd. Jiwa, Siti Nurhaliza dan Amrin pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dan Deepavali Media Prima Berhad di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini. |
AKHIR-AKHIR ini, pelbagai pihak menyuarakan pendapat masing-masing berhubung lambakan drama dari Indonesia yang seakan menjadi 'bahan' utama penyiaran di stesen-stesen televisyen tempatan.
Ramai juga yang mendesak agar stesen televisyen menghentikan penyiaran drama berkenaan atas alasan-alasan tertentu.
Malah, ruangan pojok Siti Jarum bertarikh 11 Oktober lalu pun mengenengahkan isu yang sama dan mengakui banyak drama Indonesia yang ditayangkan di televisyen seperti 'sampah'.
Menurut Siti Jarum, bukan saja drama Indonesia, drama dari mana sekali pun, stesen televisyen perlu peka dan hanya menayangkan drama-drama berkualiti sahaja.
Malah, Siti Jarum turut melontarkan persoalan berapa banyak drama Malaysia yang ditayangkan di sana?
Menjawab mengenai situasi tersebut, bagi Media Prima Berhad (MPB) yang menguasai TV3, TV9, ntv7 dan 8TV, Ketua Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan berkata, di MPB, pihaknya sentiasa memberi keutamaan kepada program-program atau karya tempatan.
Berusaha sedaya upaya untuk mengawal lambakan program luar, katanya, MPB bagaimanapun terpaksa akur dengan cita rasa penonton.
"Namun, kami masih menerajui kandungan program tempatan. Kami juga berusaha untuk mengurangkan pembelian program luar yang bukan sahaja program berbahasa Melayu tetapi juga Inggeris serta bahasa-bahasa lain.
"Oleh sebab itu, kami di MPB sentiasa menggalakkan produksi-produksi tempatan agar meningkatkan kualiti karya masing-masing.
"Mengenai drama Indonesia, semuanya dibawa ke sini dengan pakej. Dalam satu pakej, sudah tentu ada satu atau dua drama yang tidak baik. Ada juga drama yang kita tidak siarkan kerana tidak bersesuaian," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dan Deepavali MPB di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.
Hadir sama beberapa pemimpin negara, Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Datuk Johan Jaafar dan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Amrin Awaluddin.
Selain artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Norynn Aziz, Jaclyn Victor dan Erry Putra, bintang-bintang sukan negara turut diundang menghadiri majlis rumah terbuka itu.
MPB juga tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik apabila menjemput seramai 80 orang anak-anak yatim dari Institut Taufiq Islami, Banting, Selangor.
Mengulas lanjut, Farid berkata, MPB kini lebih banyak memfokus kepada kehendak penonton dengan berpandukan penyelidikan yang dijalankan oleh pihak tertentu.
"Penonton sudah pandai menilai. Berdasarkan penilaian dan pandangan penonton terhadap sesuatu karya, kami sendiri akan menyampaikan maklum balas itu kepada pihak produksi.
"Bukan sahaja penyelidikan oleh agensi bertanggungjawab, saya juga menjalankan penyelidikan sendiri untuk mengetahui maklum balas mereka terhadap apa jua penyiaran program di televisyen.
"Teguran-teguran itu akan kami nilai untuk diperbaiki pada masa depan," tegasnya.
Ujarnya, MPB amat mementingkan kualiti sesebuah karya yang jika ditayangkan di kaca televisyen, pasti mencecah rating yang cukup tinggi.
"Apabila rating tinggi, ia pasti akan menarik perhatian pengiklan. Pokok pangkalnya, isi kandungan program yang dihasilkan kena bagus dan ada kualiti," katanya.
Ditanya mengenai drama-drama Indonesia yang sering diulang tayang, Farid berkata, semuanya itu tidak dapat dielakkan kerana ia juga datang daripada permintaan penonton.
Kepada soalan tentang teguran sesetengah pihak berkenaan penyiaran drama berunsurkan seram, kata Farid, pihaknya akan meneliti teguran itu dengan sewajarnya.
"Lagipun, musim drama dengan genre seram sudah berada di penghujungnya. Ia sudah semakin suram.
"Melihatkan sambutan penonton terhadap drama seram makin suram, kami mungkin akan tarik semula slot-slot yang menyiarkan drama sedemikian," jelasnya.
TV3 semakin matang
Sementara itu, Farid berkata, sejak diminta menumpukan sepenuh perhatian kepada TV3 oleh pihak atasan MPB beberapa bulan lalu, beliau melihat TV3 semakin matang.
Bersesuaian dengan usia TV3 yang mencecah 25 tahun, jelasnya, MPB akan menyediakan satu plan strategik untuk memajukan lagi TV3 di masa akan datang.
Bukan sahaja TV3, Farid menjelaskan bahawa, TV9 juga perlu saling sokong menyokong dengan TV3 dan begitu juga TV3 terhadap TV9.
Kami melihat kejayaan kerjasama antara ntv7 dan 8TV dalam membangunkan kandungan program Inggeris dan Cina.
"Oleh yang demikian, TV3 perlu mendapat sokongan TV9 dan sebaliknya,'' katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: