Friday, October 2, 2009

Majlis tunang seperti kahwin


UMIE diapit dua orang sahabatnya, Erra Fazira dan Zahida Rafik sebelum upacara menyarung cincin. Turut kelihatan Kem Salleh di sebelah Erra.


SEMUA wanita mendambakan sesuatu yang indah daripada perkahwinan mereka. Yang pasti, pelbagai gambaran terlakar di minda tentang fantasi dan impian perkahwinan seperti mana yang dimahukan.

Seperti yang sering disebut ramai, sekali seumur hidup, jadi biarlah majlis itu diadakan dalam suasana yang cukup meriah seiring dengan kebahagiaan dan kegembiraan yang dilalui oleh setiap pasangan pengantin.

Namun, semua itu tidak pernah terlintas di fikiran aktres ternama, Umie Aida.

Dengan penuh jujur dia mengakui, tidak pernah berfantasi mahupun merancang perkahwinannya dengan penuh teliti.

Ini kerana pelakon berusia 36 tahun itu tidak pernah terfikir dia akan menamatkan zaman bujangnya kerana lebih senang hidup sendirian.

Jika terfikir untuk berkahwin sekalipun, Umie cukup selesa dengan sebuah majlis pernikahan yang ringkas yang dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat sahaja.

"Meskipun kini saya sedang menuju ke alam perkahwinan, perancangan untuk mengadakan majlis secara besar-besaran tetap tidak ada seiring dengan prinsip dan personaliti saya yang ringkas ini.

"Cukuplah sekadar sebuah majlis pernikahan yang ringkas tetapi mampu meninggalkan impak yang boleh dikenang sehingga ke akhir hayat," katanya penuh makna ketika ditemui selepas majlis pertunangannya di Mont Kiara, Kuala Lumpur, malam Selasa lalu.

Kerana itu jugalah, Umie memohon pengertian semua pihak agar dapat memahami situasi diri dan bakal suaminya, Datuk Khairuddin Abu Hassan apabila majlis penikahannya akan diadakan secara tertutup.

Masih belum menetapkan tarikh namun bakal dilangsungkan pada bulan Januari depan, Umie memberitahu, keputusan itu diambil selepas perbincangan dilakukan oleh kedua belah pihak.

Apatah lagi, ia merupakan hari yang cukup bermakna dan bersejarah bagi diri dan bakal suaminya itu.

Sudah pasti mereka mahukan sesuatu yang cukup istimewa yang dapat dikongsi dengan mereka yang rapat dalam hidup mereka sahaja.

Bukan itu sahaja, Umie turut menjelaskan, ia juga permintaan daripada bakal suaminya yang enggan menggembar-gemburkan majlis pernikahan mereka kelak.

Namun janji Umie, dia akan mengumumkan tarikh pernikahannya kelak dan juga mengedarkan gambar-gambar majlis akad nikah kepada pihak media.

"Cukuplah saya berkongsi majlis pertunangan saya dengan semua pihak. Tetapi, jangan bimbang untuk majlis resepsi kami nanti, semua pihak akan dijemput.

"Tetapi semuanya bergantung kepada keadaan juga. Kalau abang (panggilan untuk Khairuddin) tidak mahu majlis persandingan, saya kena hormat keputusannya," ujarnya yang masih lagi belum memikirkan lokasi untuk majlis pernikahan serta resepsinya itu.

Bagaimanapun, majlis pertunangan Umie dan Khairuddin yang berlangsung Selasa lalu berlangsung dalam suasana yang cukup meriah.

Bagaikan sebuah majlis perkahwinan lagaknya yang direka khusus oleh Kem Salleh dari butik Kapas, dianggarkan hampir 150 orang termasuk 50 orang ahli keluarga Khairuddin dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang serta teman rapat dan artis hadir ke majlis tersebut.

Antara artis yang kelihatan dalam majlis tersebut ialah dua sahabat baik Umie iaitu Erra Fazira dan Zahida Rafik, Nor Aliah Lee, Noryn Aziz, Lisa Surihani, Nora Danish, Nasha Aziz, Deja Moss, Linda Onn, Betty Banafe, Ako Mustapha, Chef Wan, Rebecca Nur Al-Islam, Sofia Jane, Jasmin Hamid dan Sharifah Shahora.

Bukan itu sahaja, kedua-dua anak angkat Umie, Mohd. Daniel Firdaus, 16, dan Mohd. Dzulhelmy, 15, turut hadir menyaksikan majlis bersejarah ibu mereka.

Malah, kedua-dua anak Khairuddin iaitu Mohd. Shafiq, 19, dan Mohd. Shahir, 16, juga hadir mewakili pihak keluarga lelaki.

Keanggunan Umie juga cukup menyerlah apabila mengenakan kebaya moden biru firus rekaan pereka terkenal, Bill Keith.

Pada majlis itu, Umie atau nama sebenarnya Umie Khalsum Rahmad turut menerima tiga barangan hantaran yang disatukan dalam satu dulang.

Ia termasuklah set barangan kemas jenama mewah, Chopard yang merangkumi anting-anting, rantai leher dan cincin serta coklat berjenama Patchi.

Jari manis Umie pula disarungkan cincin bertatah berlian yang dirahsiakan jumlahnya itu oleh bakal ibu mertuanya, Balkish Ahmad, 70, sambil disaksikan ibu Umie, Asmah Mohd. Ali, 61.

Sebagai balasan, Umie menghadiahkan lima barang hantaran termasuklah buah strawberi, tepak sirih, kurma jenama Bateel, bunga rampai dan biskut keluaran Harrods.

Saat ditanya kepada Umie mengapakah Khairuddin tidak hadir pada majlis penuh bermakna itu, dia memberikan jawapan ringkas.

"Dia seorang yang pemalu dan kalau ikut adat pun, bakal pengantin lelaki tidak akan hadir ke majlis pertunangannya," kata pelakon yang mula dikenali menerusi filem Memory itu tersenyum.

Mengenai wang hantaran pula, Umie menjelaskan, perkara itu masih lagi belum dibincangkan dan ia hanya akan dilakukan menerusi perbincangan yang diadakan dari semasa ke semasa.

Mengimbas kembali kisah perkenalannya dengan Khairuddin, jelas Umie semuanya bermula sekitar Mac tahun lalu di mana ketika itu, arwah ayahnya, Rahmad Ali terlantar di hospital.

Kebetulan, Khairuddin merupakan rakan kongsi kakak Umie, Erma Fatima dan ketika itu, Erma meminta bantuan Khairuddin menguruskan proses pertukaran hospital merawat bapa mereka.

Hanya memandang dari kejauhan dan bertegur secara tidak formal ketika itu, Umie tidak menyangka bahawa Khairuddin adalah lelaki yang paling tepat untuk dijadikan sebagai raja dalam hidupnya meskipun hanya berkenalan sekitar lima bulan sahaja.

Apatah lagi Umie dan Khairuddin memiliki perwatakan dan karakter yang cukup berbeza iaitu seorang aktif dan banyak cakap manakala yang lelakinya pula pendiam dan pemalu.

"Dari situlah saya mula mengenali dia. Lama-kelamaan, saya nampak kejujurannya.

"Saya sendiri sukar untuk mengatakan bilakah hati saya benar-benar terbuka untuk menerimanya dalam hidup saya.

"Semuanya berlaku begitu pantas dan saya tertawan dengan sikapnya yang baik dan jujur. Itu yang dapat saya lihat dalam diri abang," ujarnya yang dirisik keluarga Khairuddin pada 17 Mei lalu iaitu dua minggu selepas ahli perniagaan itu melamarnya.

Dalam usia 36 tahun dan sudah biasa hidup sendirian, Umie mengakui, perasaan takut dan gementar itu tetap ada dalam dirinya apabila memikirkan tentang komitmen yang harus dilaluinya selepas ini.

Tetapi kata Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem Embun ini, dia sendiri sudah memaklumkan kepada Khairuddin untuk memberinya masa menyesuaikan diri dengan alam baru kelak.

"Alhamdulillah, dia faham dengan keadaan saya tetapi apa yang penting, dia dapat menerima kehadiran anak-anak saya dengan hati terbuka.

"Keikhlasan itu jugalah membuatkan saya tidak teragak-agak untuk menerima kehadiran abang dalam hidup saya.

"Malah, saya juga tidak mempunyai masalah dengan dua orang anaknya dan hubungan kami juga baik," ujarnya yang akan meneruskan aktiviti lakonannya dan juga perniagaan biarpun sudah bergelar seorang isteri nanti.

Satu yang pasti, kata Umie dia masih lagi mahu semua pihak memanggilnya seperti mana kebiasaannya dan hanya menggunakan gelaran Datin pada majlis dan waktu yang memerlukannya sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: