Thursday, October 15, 2009

Lupa episod sugar daddy




Gigih cari peluang bisnes

ARTIS Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 ini terus tegar memperkasakan label namanya. Selepas menjuarai Akademi Fantasia musim kelima, Mila yang bakal menginjak usia 22 tahun pada 23 Disember ini masih diingati kewujudannya.

Genap tahun ketiga berada dalam seni, anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini juga tidak lepas dihimpit kontroversi yang sedikit sebanyak mencalar reputasinya. Kisah perpisahan dengan teman seperjuangannya, Ebi dan tuduhan kononnya dibela lelaki kaya antara yang singgah bertamu dalam siri perjalanan seninya.


Bagaimanapun, kisah pahit yang menjadi resam hidup dalam arena seni itu tidak sesekali melunturkan minatnya. Gadis genit ini bangkit tanpa menoleh ke belakang, malah pantas mencuri peluang yang ada di depan mata. Sebagai jaminan, selain menjadi anak seni, Mila turut menubuhkan syarikat LuvMILA Corporation.

Sebagai permulaan syarikat itu memberi tumpuan kepada penghasilan produk kosmetik. Malahan, kini syarikat miliknya itu yang dipantau ibu bapanya sudah mula cenderung ke arah pengurusan acara pula. Dengan rezeki yang dimilikinya kini, sebagai kakak sulung, Mila tak lupa menunaikan tanggungjawab kepada keluarga.

"Sesiapapun yang berada di tempat Mila akan cuba membalas jasa ibu bapa kita. Insya-Allah, rumah yang Mila belikan di Puchong untuk mak dan ayah akan diduduki hujung tahun ini. Ganjaran rumah di A Famosa, Melaka pun sudah saya terima dan boleh dijadikan sebagai rumah persinggahan keluarga.

AKIM, Noni dan Mila dalam satu adegan drama Kau dan Aku.

"Selepas ini, selain memberikan perhatian kepada kerjaya seni, Mila harus memastikan hayat syarikat Mila terus bertahan. Untuk pengurusan acara, syarikat Mila kini sudah menerima dua tiga tawaran kerja untuk dilunaskan. Dalam masa yang sama, Mila dapat menolong rakan artis untuk diundang membuat persembahan.

"Selain itu, Mila juga tengah berkira-kira untuk menghasilkan dokumentari berkonsepkan majalah TV. Ia masih dalam peringkat perancangan kerana bukan senang mencari penaja yang sudi bekerjasama. Mila juga cuba bersikap serampang dua mata untuk menarik perhatian badan tertentu bagi menguatkan apa yang ingin dihasilkan," katanya yang ditemui Hip awal Oktober lalu di Balai Berita.

Dengan dua persalinan sendiri, Mila yang molek disolek jurusolek Lyana Dee begitu rancak bercerita mengenai perkembangan barunya. Lagu Jika Kau Ubah Fikiran yang dihasilkan Edry KRU mula mencuri perhatian pendengar muzik tempatan. Lagu Siapa Tak Percaya Cinta dan Rahsia Sanubariku turut disasarkan menjadi pilihan selepas ini.

Menyambung kontrak selama tiga tahun bersama Astro Entertainment Sdn Bhd, Mila juga tidak betah duduk diam bekerjasama dengan dua syarikat, Dream Music dan Indigital Music bagi projek khas membabitkan penerbitan lagu dan pembekal kandungan untuk pasaran digital.

MILA khusyuk berlakon dengan sepupunya yang dilakonkan Ika Nabila.

"Seperti yang dilakukan kebanyakan artis dengan menghasilkan lagu single, umum tahu pasaran muzik yang tidak menentu dan kurang meyakinkan bukan alasan terbaik tampil dengan album penuh. Malah, pasaran digital menerusi muat turun nada dering lagu lebih berkesan," katanya.

Dalam pada itu, pemilik nama penuh Noorsyarmilla Jirin ini juga tidak ketinggalan berbicara lanjut mengenai drama 26 episod, Kau dan Aku yang bakal bersiaran mulai 24 Oktober ini setiap Sabtu di Astro Ria. Drama ini terhasil menerusi kerjasama produksi Malaysia (Astro) dan Indonesia.

Drama ala High School Musical diarahkan Roslan Hussin dan turut dibantu Redza Fahmi dan Achoo (Indonesia) dengan kemudahan kelengkapan daripada Double Vision di sana. Selama dua bulan, Mila dan pelakon lain seperti Aril dan Akim berkampung di Jakarta.

"Drama muzikal ini seperti mengimbas kembali kenangan Mila sewaktu berada di dalam Akademi Fantasia. Ada adegan menari, menyanyi dan berlakon yang sering dipraktikkan Mila ketika berjuang di dalam akademi. Apatah lagi berlakon pula dengan Noni, Aril, Akim dan Ika Nabila yang menyertai pertandingan realiti yang sama.

"Malah turut diwujudkan watak cikgu dan pengetua yang dilakonkan Azizah Mahzan, Nurul Huda dan Riezman Khuzaimi. Teruja dan gementar juga berlakon di sisi mereka. Drama ini juga dilakonkan Raja Farah, Amar Anak Wayang, Sherie Merlis, Farish Aziz, Zoey dan Anita Baharom. Pelakon baru dari Indonesia turut berlakon sama.

"Drama ini diadaptasi dari telenovela Venezuela berjudul So Mos To Yo. Mila difahamkan ketika ini sudah beratus episod disiarkan di sana. Indonesia turut menyadur drama itu dan sedang disiarkan menggunakan judul You And Me," kata Mila yang menjadi teraju utama berdampingan dengan Akim.

Ungkap Mila lagi mengenai dunia lakonan, ia memerlukan kesabaran yang tinggi apatah lagi setiap babak menuntut ruang waktu yang cukup panjang. Bagaimanapun, ia tidak langsung mengikis minat Mila terhadap bidang terbabit. Namun, Mila menegaskan dunia nyanyian masih menjadi keutamaan dan lakonan sekadar mengembangkan bakat yang ada.

"Dunia nyanyian masih menjadi fokus sebenar Mila menerjah persada seni. Nyanyian menjadi keterujaan Mila sejak dulu lagi. Tapi tak salah Mila mencuba bidang lain termasuk lakonan sekalipun. Memang penat berlakon tetapi paling mengujakan ialah ketika melihat hasilnya disiarkan di TV.

"Kalau ada tawaran berlakon lagi dan kena pada masanya, Mila tak teragak-agak untuk menerimanya. Mungkin Mila boleh berlakon dua ke tiga kali dalam setahun dan itu sudah kira okey. Mila masih baru dalam bidang ini dan jauh lagi perjalanan Mila ke peringkat seterusnya," kata Mila mengakhiri bicara.

INFO: Mila

  • Pengalaman yang tak dapat dilupakan Mila ketika menjalani penggambaran drama Kau dan Aku di Jakarta ialah ketika berdepan sekali dengan gegaran kuat kesan gempa bumi.

  • Selain mempromosikan single terbarunya, Mila juga akan terbabit siri jelajah mempromosikan drama Kau dan Aku termasuk terbabit dengan konsert mini membabitkan pelakon yang ada.

  • Mila juga ingin mempraktikkan strategi turun padang ke stesen radio di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Kata Mila, alang-alang diundang membuat persembahan di sesebuah negeri, dia mahu mengambil kesempatan membuat sesi ramah mesra dan lawatan ke stesen radio tempatan. Katanya lagi, kos juga dapat dikurangkan kerana melakukan dua perkara pada satu masa.

  • Mengenai kisah peribadi, Mila mengakui belum waktu untuk bercinta. Tambahnya, dia berkawan dengan ramai orang dan tidak mahu terlalu fokus mencari cinta lagi.

  • Di usianya kini, Mila juga tidak lepas ditanya soal kahwin daripada saudara mara.

  • Berlakon membolehkan dirinya mendapat kawan baru

  • Diusik mengenai hero dramanya, Akim, Mila sambil berseloroh berkata, jika Akim tua daripadanya mungkin hatinya akan tertawan tetapi masalahnya Akim terlalu muda buatnya.

  • Laman web: www.milawazzup.com
  • Facebook: milajirin.luvmila@gmail.com
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: