
“Setiap manusia mesti hidup berpasangan dan begitu juga dengan saya. Semasa di Makkah, saya berdoa kepada Allah agar dapat jodoh yang baik. Saya tak kisah macam mana orangnya sekalipun, asalnya, ‘hatinya mulia’ dan solehah. Sehingga kini saya masih tunggu, siapakah jodoh saya dan saya berharap agar Allah SWT segera tunjukkan siapakah orangnya. Dan jika saya dah jumpa dengan calon yang sesuai, saya tak teragak-agak untuk berkahwin dengannya,” kata Ashraf dengan bersungguh-sungguh.
Menyentuh tentang Sherry, meskipun jodohnya dengan gadis yang pernah dicintainya itu tidak kesampaian, namun bagi Ashraf dia terpaksa akur dengan ketentuan takdir kerana mungkin itulah yang terbaik untuk mereka.
“Saya anggap tak ada jodoh antara kami. Baik saya, mahupun Sherry, dapat terimanya dengan baik dan hidup harus diteruskan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Jangan Pandang Belakang musim kedua di Restoran Lemon, The Mines.
Pengalaman di Mekah jadi iktibar
Di saat usianya masih muda, Ashraf, 28, dianggap cukup bertuah kerana sudah berpeluang menjejakkan kaki di rumah Allah. Dia yang sudah lama berhasrat untuk Tanah Suci Mekah, amat berbesar hati bila hajatnya itu akhirnya tercapai, apatah lagi dapat merasai pengalaman berpuasa di sana.
Menurut Ashraf, pengalaman selama tiga minggu berada di sana, banyak memberikan iktibar pada dirinya malah sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupannya sekarang.
“Apa yang boleh saya katakan, Allah SWT maha pengampun dan maha pengasih. Sebagai manusia kita tak lari dari kesilapan. Ketika di Mekah, saya tak sengajanya melewatkan solat kerana tertidur siang hari. Ketika itu, saya hanya solat di bilik. Bila saya turun untuk berbuka puasa, kurma dan air zam-zam yang diagih-agihkan pada setiap jemaah tidak sampai kepada saya. Dari situ, saya terfikir, mungkin itulah hukuman yang dikenakan pada saya kerana melewatkan solat.
“Selain itu, ada juga beberapa peristiwa yang membuatkan saya benar-benar terharu. Misalnya, saya berhajat sangat nak sembahyang depan Kaabah. Bayangkan dalam beribu-ribu jemaah, memang susah nak dapat tempat. Tapi bila dah lama tunggu, dengan Izin-Nya, saya dapat juga sembahyang di depan Kaabah.
“Satu lagi peristiwa, di mana saya teringin sangat nak makan sejenis kurma segar di sana. Bayangkan dah semua kedai saya cari tak ada. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang pada saya, tawarkan saya buah itu. Mungkin Allah dengar apa yang saya hajatkan,” katanya yang mengerjakan umrah pada 6 September hingga 20 September lalu.
Dalam pada itu, Ashraf memberitahu, pengalaman berpuasa di Tanah Suci Mekah itu lebih seronok dan meriah pernah dirasainya dan situasinya juga jauh berbeza dari negara ini.
“Kalau di Mekah, bulan puasalah yang paling meriah dan bila raya suasananya biasa sahaja. Berbeza dengan negara kita, raya yang pula lebih meriah. Apa yang membuatkan saya kagum cara mereka meraikan puasa. Bila masuk azan berbuka puasa, mereka hanya makan kurma dan air zam-zam sahaja, selepas itu solat dan beribadat,” katanya.
Sinonim dengan watak Ustaz
Mungkin kerana perwatakannya yang sopan dan tinggi pengetahuan dalam hal-hal agama, maka jejaka ini mudah mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah untuk membawa watak ustaz. Dia yang pernah menjadi ustaz dalam bersiri Jangan Pandang Belakang, yang disiarkan menerusi RTM, kembali membawa watak itu untuk musim kedua.
“Apa yang pengarah bagi, saya terima saja. Saya tak kisah bawa watak apa pun, Tapi kalau boleh saya tak naklah ‘stereotaip’. Kalau ada peluang, saya nak cuba bawa watak yang lebih mencabar ,” katanya yang juga pernah membawakan watak ustaz dalam drama Susuk, sedikit masa lalu.
Bercerita tentang wataknya dalam drama Jangan Pandang Belakang musim kedua itu, kata Ashraf, wataknya tidak jauh bezanya dengan musim pertama dulu, dan masih membantu orang kampung yang diganggu benda-benda mistik.
Selain Ashraf Muslim, Aznah Hamid, Ezany, Mas Muharni, Sharifah Sofea dan Shajiry, drama arahan Abdul Azizi Awang Ghazali ini turut menampilkan watak-watak baru yang dijayakan oleh beberapa pelakon terkenal seperti Shahizey Sam, Intan Ladyana, Ruminah Sidek, Aman Shah dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: