| Siapa sangka, bapa dan suami penyayang mampu menjadi pembunuh kejam apabila menjadi mangsa sistem perundangan yang dirasakan tidak adil. Itulah gambaran yang cuba dipaparkan dalam Law Abiding Citizen (LAC).
Filem ini perlukan penghayatan sepenuhnya kerana setiap plot berkait rapat antara satu sama lain. LAC bukanlah filem santai yang boleh membuatkan fikiran tenang selepas menontonnya, namun berjaya membuatkan kami kagum dengan gaya penceritaan pengarah, F. Gary Gray. Watak dan plot digabungkan dengan baik sekali sehingga berjaya menghasilkan sebuah filem yang bijak.
Ia dimulakan dengan kisah pembunuhan isteri dan anak Clyde Shelton (Gerald Butler), namun kes Shelton tidak mendapat perhatian yang sepatutnya daripada mahkamah kerana bukti yang tidak mencukupi. Peguam berbakat, Nick Rice (Jamie Foxx) dengan kepakaran dan keangkuhannya membuat perjanjian dengan tertuduh menyebabkan Shelton merasakan sistem perundangan mereka tidak berjalan seperti yang sepatutnya.
 Sepuluh tahun berlalu, tertuduh ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan dan Shelton mengakui perbuatannya. Ia tidak berhenti setakat itu, semakin ramai yang terlibat dengan kes tersebut menjadi mangsa pembunuhan kejam kecuali Rice. Namun yang menjadi misteri, Shelton masih berada dalam tahanan semasa satu persatu pembunuhan berlaku. Matlamat Shelton hanyalah satu, untuk mengembalikan sistem undang-undang yang adil kepada seluruh masyarakat. Namun, keegoan Rice telah menyebabkan lebih banyak yang tidak berdosa menjadi korban. Bagaimana keadilan yang korup dapat mengalahkan kejahatan yang lahir daripada sistem itu sendiri?
 Barisan pelakon hebat menyerlahkan lagi kekuatan Law Abiding Citizen, F. Gary Gray cukup bijak memanipulasi setiap objek dan watak dalam filem ini sehingga berjaya diadun menjadi produk bermutu. Peminat Gerald Butler dapat menyaksikan sisi berbeza dalam watak ini berbanding watak hero tampan yang selalu disandangnya. Saksikanlah kebijaksaan Shelton dan kehebatan Rice di pawagam bermula 22 Oktober 2009. 
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: