| KEWUJUDAN pasar lambak atau jalanan yang mengumpulkan pelbagai barangan antik serta moden di bawah satu bumbung makin menjadi perhatian masyarakat, tidak kira peringkat umur dan profesion. |
KEWUJUDAN pasar lambak atau jalanan yang mengumpulkan pelbagai barangan antik serta moden di bawah satu bumbung makin menjadi perhatian masyarakat, tidak kira peringkat umur dan profesion.
Stigma masyarakat mengenai barang terpakai dan sebagai rendah kualiti juga makin terhakis kerana pasar berkenaan mempunyai kelompok peminat tersendiri. Malah mereka sanggup datang dari luar Lembah Klang setiap minggu untuk bertukar pendapat atau menjual produk masing-masing.
Antara tempat yang menganjurkan pasar lambak ini adalah pusat beli-belah Amcorp Mall, Petaling Jaya yang sememangnya menjadi perhatian umum dengan pelbagai barangan boleh didapati pada harga munasabah.
Kebanyakan pengunjung ditemui rata-rata menunjukkan minat mendalam terhadap barangan yang dipamerkan penjual sama ada barang baru atau lama.
Menurutnya, dengan daya penarik yang sukar diperoleh di tempat lain serta lokasi strategik di tengah bandar, tidak hairanlah ramai pengumpul barangan lama dan baru berkumpul bagi menghidupkan pasar lambak itu.
"Saya sendiri amat gemar mengumpul kristal dan pada masa sama, turut menjualnya semula. Oleh itu, pasar lambak seperti ini sesuai dijadikan perantara untuk mendapatkan barangan terbabit dengan harga lebih murah.
"Boleh dikatakan saya mengunjunginya setiap minggu bagi mencari barangan terbaru kerana setiap minggu biasanya ada barangan baru dibawa penjual," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Saadah Baharudin, 28, menjelaskan tidak ramai generasi muda mengunjungi tempat itu bukan disebabkan tidak meminati koleksi sebegini, tetapi mungkin mereka kurang terdedah kepada barangan berkenaan.
"Saya sendiri pada mulanya tidak menyangka ada pasar lambak disediakan di sini tapi atas sebab rasa ingin tahu barulah saya berjinak-jinak dalam bidang pengumpulan barangan lama seperti ini.
"Paling saya minati adalah mengumpul papan tanda lama. Walaupun tidak mampu untuk membelinya kerana agak mahal, saya akan pastikan benda yang diingini diperoleh walaupun memakan masa," katanya.
Untuk menarik kunjungan lebih ramai golongan muda, katanya, pasar lambak sedemikian harus diberikan lebih promosi apatah lagi banyak barangan bersejarah serta unik turut disediakan untuk koleksi pengunjung.
Antara yang menarik adalah gerai milik peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 46, yang menjual plak gantungan dibuat daripada kayu dengan menggunakan bahan utama kertas tisu.
Sungguhpun produk berkenaan nampak biasa, ia ternyata mempunyai pelanggan setia kerana sejak tiga tahun berniaga di pasar terbabit, ramai pengguna menyukai hasil kerja tangannya.
"Hampir 40 peratus pelanggan yang mengunjungi gerai saya adalah pelanggan setia kerana mereka mengagumi kualiti serta ketelitian barangan dihasilkan dan harganya pula berpatutan," katanya.
Ahmad Shahrul Nizam Abdul Aziz, 18, yang menjual barangan aksesori wanita seperti patung khas yang dijadikan tempat letak subang pula berkata, peniaga perlu menonjolkan barangan lain daripada orang lain bagi menarik perhatian pengunjung.
Dia akui, pelanggan pasti menantikan sesuatu barangan yang tidak dapat diperoleh dengan mudah di tempat lain.
"Patung yang dijual ini diperoleh dari Korea dan ia jarang didapati kerana disertakan dengan pakaian pelbagai jenis serta berlainan antara satu dengan lain
"Walaupun masih baru di pasar lambak Amcorp Mall ini, ia memberikan pengalaman menarik kerana setiap tempat pasti mempunyai pelbagai ragam pelanggan," katanya.
Selain itu, pasar lambak berkenaan turut menyediakan pelbagai barangan antik yang unik seperti seterika arang, gerudi kayu, setem, duit lama serta pelbagai koleksi buku dan rekod lagu lama daripada pengumpul di seluruh negara.
Malah, pengunjung pasti rambang mata bagi mendapatkan koleksi menarik berkenaan kerana terdapat banyak pilihan gerai yang disediakan untuk dikunjungi.
Bagi pengumpul setem dan duit lama dari Ipoh, Perak, Govin, kewujudan pasar lambak seperti itu banyak membantunya mendapatkan koleksi setem lama serta pada masa sama, turut menjualnya kepada penggemar setem.
"Pelbagai koleksi setem, syiling dan wang kertas lama boleh diperoleh. Masing-masing mendapat manfaat kerana mereka boleh mendapatkan koleksi dikehendaki dan berinteraksi sesama sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: