![]() |
| PERNAH dikecewakan lantaran perancangan album yang tidak menjadi, Nabil tidak pernah putus asa melalui liku-liku hidup dalam dunia hiburan. |
SEKITAR tiga tahun lalu, hati pemilik diri bernama Nabil Zamanhuri, 22, atau Nabil ini pernah dikecewakan lantaran album sulungnya yang diuar-uar akan diterbitkan tidak menjadi kenyataan.
Meniti hidup di pentas seni dengan berbekalkan gelaran naib juara program realiti TV3, Mentor musim pertama, namun, di sebalik kekecewaan itu, Nabil tidak pernah berputus asa malah sentiasa berusaha untuk memajukan diri.
Dan, tanpa memilih untuk membelok ke simpang kegagalan, Nabil muncul mencipta lagu sendiri sehingga terhasil single pertamanya berjudul Hati Ini.
Meski hanyalah sebagai single dan bukannya album, tanpa disangka, Hati Ini menjadi pemacu buat Nabil untuk mengecap populariti.
Bukan sahaja di Malaysia, lagu Hati Ini ketika itu turut popular di Singapura dan Brunei apabila sering kali diputarkan di stesen-stesen radio di negara berkenaan.
Bertahun berlalu, sejurus selepas meninggalkan sebuah syarikat rakaman tempatnya bernaung, Nabil kini selesa bergerak sendiri dalam menentukan hala tuju kariernya sebagai anak seni.
Atas dasar itu, ibunya, Fatimah Abdullah, 49, sendiri menubuhkan Nabil Production khusus untuk mengendalikan aktiviti seni Nabil.
''Memang dahulu ada perancangan untuk buat album tetapi terhalang. Selepas munculnya Hati Ini, saya menerima banyak tawaran daripada syarikat rakaman untuk bernaung di bawah mereka.
''Tetapi, ada bahagian-bahagian tertentu daripada tawaran itu yang saya fikirkan tidak sesuai. Oleh yang demikian, saya gigih kumpul duit hasil daripada lakonan, persembahan dan menjadi pengacara untuk bergerak sendiri.
''Syarikat rakaman ada kalanya bersikap terlalu mengawal dan mahu menukar imej seseorang penyanyi. Bagi saya, saya lebih selesa tentukan imej sendiri,'' kata Nabil ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya Dari Jauh di Lepaq Cafe, Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Lagu Dari Jauh merupakan ciptaan Nabil bersama Lah Ahmad dan Nabil juga bertindak selaku penulis lirik bagi lagu terbabit.
Tampil dengan lagu yang menyentuh perasaan, Dari Jauh menampakkan kematangan Nabil dalam melontarkan vokal selepas bertahun 'berguru' dengan Lah Ahmad.
Menyambung bicara, Nabil berkata, bergerak secara sendiri, dirinya mengakui saingan yang dihadapinya cukup sengit khususnya dengan kemunculan saban tahun artis-artis program realiti lain.
Jelas penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Filem dan Animasi, Universiti Multimedia ini, disebabkan itu, dirinya perlu tampil berbeza dan berusaha lebih agar tidak jauh ketinggalan kebelakang.
Kata Nabil, kekuatan lain yang ada pada dirinya adalah kebolehan menari dan membuat lagu sendiri.
''Lebih banyak saingan, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperbaiki diri,'' ujar Nabil yang pernah muncul dengan single kedua, Hey Emma, dua tahun lalu.
Menyebut tentang perbezaan juga, bermula saat ini, dirinya akan menggunakan nama penuh iaitu Nabil Zamanhuri sebagai pengenalan diri di pentas seni dan bukannya Nabil Mentor lagi.
''Nabil Mentor, itu nama komersial dahulu. Sekarang saya gunakan nama penuh, Nabil Zamanhuri.
''Ia juga bagi membezakan antara nama saya dan seorang lagi Nabil iaitu Nabil Raja Lawak. Sebelum ini ada juga orang yang keliru tentang saya dan Nabil Raja Lawak,'' ujarnya.
Cerita tentang Dari Jauh
Diajak berbicara soal Dari Jauh pula, Nabil berkata, permulaan kerjasama antaranya dan Lah Ahmad bermula sejak dua tahun lalu.
Pada waktu itu, katanya, Lah Ahmad yang menjadi guru vokalnya telah menyatakan yang dia sudah mempunyai melodi untuk lagu berkenaan.
''Saya terus jatuh cinta dengan lagu itu. Untuk lirik, awalnya saya diberikan ilham menghasilkan lirik ketika dalam mimpi.
''Dalam mimpi saya hanya dapat bahagian korus sahaja. Lepas bangun tidur, semua lirik dapat dihasilkan,'' bicara Nabil penuh semangat.
Katanya, Dari Jauh mengisahkan tentang mereka yang mempunyai perasaan cinta terhadap seseorang.
''Saya mewakilkan diri saya untuk menyanyikan lagu ini bagi mereka yang punyai perasaan atau pengalaman yang sama dengan jalan cerita lagu berkenaan.
''Saya yakin lagu berentak R&B masih ada peminatnya. Muzik umpama fesyen,'' jelas Nabil.
Lagu Dari Jauh telah memasuki pencalonan untuk lagu baru dalam Muzik-Muzik di TV3 pada 5 Oktober lalu.
Tidak fikir soal teman wanita
Sementara itu, Nabil saat ditanya mengenai Dari Jauh dan kaitan dengan hidupnya memberitahu bahawa dia masih lagi single.
''Saya tidak mahu fikir soal itu (teman wanita). Cukuplah dengan pengalaman-pengalaman lalu.
''Ibu saya tidak kawal saya dalam hal tersebut. Tetapi, saya rasa bebas di samping boleh fokus kepada karier dan pelajaran,'' tambahnya yang mahu jadi seperti Afdlin Shauki atau trio adik-beradik KRU satu hari nanti.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: