Wednesday, October 28, 2009

Dengarnya... Nita, Zahid terpaksa berpisah



Zahid dan Nita.

TERKEJUT juga Cik Normah apabila mendapat tahu pasangan kekasih, Nita dan Zahid terpaksa berjauhan. Bukan ada yang nak mereka hidup berjauhan atau jauh sekali putus cinta, sebaliknya keputusan inilah yang harus diterima mereka dengan hati terbuka.

Cik Normah dapat tahu, Nita terpaksa berjauhan dengan Zahid kerana juara Akademi Fantasia musim kedua itu terpaksa meninggalkan kekasihnya selama sebulan lebih. Tak silap Cik Normah, Zahid ke beberapa tempat di Afrika Selatan seperti Johannesburg dan Capetown. Pemergiannya ke sana bukan untuk bercuti sebaliknya melunaskan kerja yang diamanahkan.

Jangan Zahid cari awek lain sudahlah ye! Cik Normah yakin Zahid setia dengan kekasihnya itu. Zahid ke sana kerana terbabit dengan penggambaran program terbitan Astro yang mempunyai kaitan dengan dunia bola sepak. Kebetulan pula negara itu akan menjadi tuan rumah Piala Dunia tahun depan.


Kawan sepejabat memberitahu, pelakon Farish Aziz juga turut ke sana. Maknanya Zahid dan Farish yang menjadi pengacara untuk program itu. Cik Normah ucapkan selamat semuanya ya. Kepada Nita, Cik Normah tahu bagaimana perasaan rindu itu kala berjauhan dengan orang tersayang. Cik Normah pun pernah merasai perihal yang sama sewaktu zaman bercinta dan belajar dulu.

Adat kalau bercinta, ada pasang surutnya. Pengalaman itu sebenarnya yang mematangkan kita. Cik Normah dan teman sepejabat yang lain harap hubungan cinta mereka akan berakhir ke jenjang pelamin. Insya-Allah. Bila nak kahwin itu jawapannya semestinya daripada Zahid. Jangan tunggu lama-lama, nanti dikebas orang, melepas pula.

Dalam dunia hiburan ini, memang sukar sebenarnya mahu memuaskan kehendak orang terutama dalam soal bercinta. Mengaku kadang-kadang jadi salah, begitulah sebaliknya kalau mahu menyembunyikan perihal itu daripada peminat dan rakan media.

Jangan jadi macam sesetengah selebriti di negara kita sudahlah, pukul canang itu dan ini, kononnya nak kahwin dengan anak orang kaya. Akhirnya semua itu dusta dan hanya mimpi kosong yang meniti bibir pelakon cantik itu. Cik Normah nak tujukan lagu Pelamin Anganku Musnah nyanyian Azie dekat penyanyi itu biar sesuai dan padan dengan mukanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: