Wednesday, October 28, 2009

Jangan mudah hukum penerbit filem seram




Penggiat seni cadang Puteri Umno bertemu dengan persatuan hiburan atau badan berkaitan

SETELAH lebih 35 tahun industri perfileman kita diperkenalkan dengan filem berunsur seram iaitu menerusi filem pertama pada tahun 1957 berjudul Pontianak, perkembangan industri perfileman negara semakin berkembang dengan pelbagai genre dihasilkan.

Biarpun genre ini mula diperkenalkan pada tahun itu, sambutannya cukup luar biasa sehingga filem arahan BN Rao ini mencapai taraf filem box-office Asia dan dicalonkan untuk menyertai Anugerah Festival Filem Asia Pasifik di Tokyo, Jepun pada tahun sama.


Selepas itu semakin banyak filem seram dihasilkan penerbit sehinggalah pada tahun 1991 filem Fantasia arahan Aziz M Osman diharamkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dengan alasan filem itu mengandungi unsur tahyul dan boleh memesongkan akidah. Namun filem ini dilepaskan untuk tayangan pada 1994.

Sejak itu, tidak banyak filem seram dihasilkan kerana ramai penerbit bimbang kemungkinan ia akan diharamkan untuk tayangan. Namun keberanian penerbit Metrowealth Movies Production Sdn Bhd (MMP), David Teo menghasilkan kembali filem seram berjudul Mistik pada tahun 2003, bagaikan membuka jalan kepada produksi lain menerbitkan kembali filem seram.

Buat masa ini, filem seram berjudul Jangan Pandang Belakang terbitan MMP mengatasi kutipan tertinggi filem sedia ada tanah air. Ini membuktikan filem seram mempunyai pengikut dan pasarannya yang sangat tinggi.

ANTARA babak menyeramkan dalam filem Santau.

Bagaimanapun usaha untuk mengharamkan filem seram timbul kembali apabila Puteri Umno pada Persidangan Umno baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Putra mengusulkan agar kerajaan mengharamkan tayangan filem seram. Sudah tentulah ia tidak mendapat reaksi positif daripada pengusaha filem tempatan.

Tindakan Puteri Umno memberi usul tanpa mendapatkan penjelasan pihak industri perfileman seperti Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), persatuan seni dan orang di dalam industri sedikit sebanyak tidak disenangi penggiat seni.

Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Ahmad Ibrahim berkata, Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 bertujuan menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta pengaruh buruk dan unsur negatif yang mungkin dipaparkan dalam sesetengah filem.

“Bagi saya adalah tidak salah untuk ditayangkan filem seram di negara ini kerana kita mempunyai LPF yang diakui mempunyai kepakaran baik dari segi agama mahupun psikologi.

“LPF mempunyai garis panduan yang sudah ditetapkan kepada penerbit berkaitan perkara yang boleh dan tidak boleh dipaparkan menerusi filem. Kita percaya dengan kredibiliti LPF menyediakan garis panduan yang peka dengan sensitiviti berkaitan agama, kaum dan budaya.

“Kita juga tidak boleh melarang penerbit yang mematuhi garis panduan untuk menghasilkan filem seram kerana makhluk halus ini adalah sebahagian daripada kepercayaan masyarakat kita.

“Filem seram yang sangat berkait rapat dengan makhluk halus dan alam ghaib ini menjadi satu budaya dalam kehidupan masyarakat tempatan yang rata-ratanya suka menonton atau mendengar cerita hantu,” katanya.

Jika menghukum penerbitan filem seram yang menjadi punca utama kerosakan akidah masyarakat khususnya remaja yang banyak terjebak dengan gejala sosial, bagaimana pula dengan filem genre lain yang diimport ke negara ini.

Persoalan ini yang turut dikemuka Ahmad Ibrahim bertujuan membuka mata kepada penafsiran yang dibuat tanpa melakukan penyelidikan.

“Saya menyarankan kepada Puteri Umno agar tidak menghukum penerbit yang menerbitkan filem berunsur seram yang dianggap boleh membawa kepada tahyul dan menyimpang daripada akidah kita.

“Jika nak sebut filem seram ini merosakkan minda penonton kita kenapa sebelum ini kita banyak mengimport filem luar seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Amerika Syarikat dan banyak lagi untuk memberi hiburan semata-mata.

“Saya juga menyarankan kepada Puteri Umno untuk berjumpa sendiri dengan persatuan kerana banyak perkara yang boleh saya sarankan sekiranya mereka begitu mahu mengambil berat berkaitan industri filem kita. Tidak adil hanya bercakap saja tetapi tidak pernah mahu mendekati orang di dalam industri ini.

“Dan sekiranya tidak mahu berjumpa dengan persatuan, mereka boleh merujuk kepada Finas atau LPF berkaitan industri perfileman kita,” katanya.

Penerbit filem yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo berkata, daripada kajian yang dijalankan, sebanyak 90 peratus penonton lebih menggemari cerita seram berbanding filem genre lain.

“Sekiranya dasar ini dipersetujui untuk diharamkan, sudah tentu rakyat akan marah. Mana perginya slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

“Sebelum ada filem seram tempatan, kita sendiri disogokkan dengan filem luar sejak industri perfileman negara mendapat ruang daripada LPF tidak lebih empat filem seram dihasilkan daripada 27 filem yang dikeluarkan setahun.

“Jumlah kecil inilah sebenarnya yang banyak membantu menarik minat penonton untuk ke pawagam. Sejak itu juga kita melihat perkembangan industri perfileman kita kembali meriah dengan pelbagai genre ditayangkan malah filem seram kita juga diterima negara luar.

“Filem seram kita juga berjaya mengatasi filem Hollywood yang ditayangkan serentak di pawagam kita,” katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.

Menurut David juga, hanya beberapa tahun inilah pengusaha filem kita mahu merasakan kemeriahan dan kembali bersemangat untuk menghasilkan filem, namun seolah-olah cuba dihalang sesetengah pihak.

“Saya rasa banyak lagi perkara yang belum diketahui oleh Puteri Umno mengenai industri perfileman. Sekiranya mereka membuat kaji selidik atau bertanyakan kepada Finas atau orang di dalam industri sebelum menghukum filem seram sebagai merosakkan minda masyarakat, mereka salah,” katanya yang akan menayangkan filem seram ketujuh berjudul Santau pada 10 Disember depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: