Monday, October 26, 2009

Beri kepada yang layak

Penggiat seni alu-alukan penubuhan dua dana dalam Bajet 2010, mahu proses permohonan lebih teliti

PENUBUHAN Dana Industri Kreatif dan Tabung Kebajikan Penggiat Seni seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu dianggap sebagai keprihatinan kerajaan kepada penggiat industri seni dan kreatif tanah air.

Ia diharap mampu meningkatkan kualiti hidup dan kerja individu serta pihak yang berkaitan dengan aktiviti penerbitan filem, drama, animasi serta kandungan program.


Menerusi Tabung Kebajikan Penggiat Seni, ia pastinya memberi faedah kepada orang di belakang tabir dan pekerja sambilan lebih terjamin kerana penggiat seni tiada caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mahupun Socso.

Bagaimanapun, pada masa sama kerajaan atau agensi berkaitan diminta supaya berhati-hati terhadap pihak yang mahu mendapatkan dana yang disediakan dengan menyelidik latar belakang, pengalaman dan kemampuannya dalam industri kreatif.

Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah sambil mengalu-alukan penubuhan Dana Industri Kreatif berkata, persatuan juga berharap proses tapisan terhadap permohonannya dilakukan dengan teliti.

“Jika boleh, biarlah wakil persatuan ini atau Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) duduk sama dalam jawatankuasa penilai.

"Penerbit yang memohon untuk mengeluarkan filem, umpamanya perlu ada pengalaman menerbitkan drama atau filem. Pengarah yang ingin menjadi penerbit pula, mestilah mereka yang benar-benar disokong profil kuat seperti pernah menang anugerah atau filem arahannya mendapat sambutan.

“Ini bagi memastikan pengeluaran dana tidak sia-sia, sebaliknya memacu industri kreatif kita ke tahap lebih tinggi," katanya.

Senada dengan pandangan Ahmad Puad ialah Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli yang menganggap penubuhan Dana Industri Kreatif secara tidak langsung membolehkan penggiat filem dan drama boleh menggunakan teknologi terkini dalam penghasilan produk kreatif untuk bersaing dengan produk dari negara lain.

“RM200 juta dalam Dana Industri Kreatif tentunya jumlah besar, yang mampu membantu industri kreatif berkembang lebih pesat di negara ini. Lebih ramai produser dengan produk lebih berkualiti dapat direalisasikan menerusi dana sebanyak ini.

"Apabila kerajaan sudah bersedia dengan dana sebesar itu, penggiat seni juga hendaklah mempersiapkan diri untuk memajukan diri. Lengkapkan dulu ilmu secukupnya sebelum menyahut cabaran dunia penerbitan dan sebagainya. Apa gunanya jika wang yang banyak diperoleh, tetapi kita tidak tahu menggunakannya dengan sebaik mungkin?" jelasnya.

Pengarah Urusan Les’Copaque yang juga penerbit siri animasi Upin & Ipin, Burhanuddin Md Radzi berkata, beliau sudah tentu mengalu-alukan sebarang bantuan yang disalurkan kerajaan dalam membantu menggalakkan perkembangan industri animasi.

“Kami sudah membuktikan industri kreatif ini mampu dijana untuk peningkatan ekonomi menerusi karakter animasi Upin & Ipin. Harapnya, industri animasi akan terus berkembang dengan wujudnya dana ini.

“Cuma yang menjadi persoalan ini diharap dana itu akan disalurkan kepada mereka yang betul-betul mahu berkarya. Diharap ada panel lain yang boleh menyokong relevan sesuatu dana itu diberikan kepada penggiat seni dan bukan hanya diuruskan pihak bank saja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof berkata, persatuan akan berusaha mengenal pasti golongan seni yang difikirkan benar-benar layak untuk menerima bantuan menerusi Tabung Kebajikan Penggiat Seni seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2010.

“Persatuan harus memainkan peranan dalam memberi maklumat kepada kementerian atau agensi berkaitan untuk menyenaraikan penerima yang layak mendapatkan bantuan menerusi Tabung Kebajikan ini. Malah pemberian kepada penerima ini juga harus selari dengan senarai penerima yang turut diberikan daripada persatuan-persatuan seni,” jelasnya.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez menyifatkan penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni melegakan persatuannya yang sebelum ini terlalu bergantung kepada projek seni untuk mendapatkan dana bagi mengisi tabung kebajikan ahlinya.

“Kami harap peruntukkan RM3 juta menerusi Tabung Kebajikan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk diagihkan kepada mereka yang berhak menerimanya, lebih-lebih lagi penerima Skim Pencen yang diperkenalkan Karyawan,” katanya.

Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid berkata, penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni dapat meringankan beban persatuan yang selama ini berusaha mencari dana membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Namun pengagihan ini harus diagihkan dengan amanah menerusi persatuan,” katanya.

Sedutan ucapan Bajet 2010 OLEH Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Jumaat lalu:

DALAM memacu negara ke kemuncak kemajuan, kreativiti dan daya pemikiran di luar kotak perlu dicambah dan dirangsangkan. Lantaran itu, industri kreatif wajar dimajukan lagi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Industri ini meliputi seni persembahan, muzik, reka bentuk, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan.

Bagi menyelaras perkembangan pelbagai segmen dalam industri ini, kerajaan akan;

Pertama: Menggubal Dasar Industri Kreatif yang komprehensif sebagai asas pembangunan industri kreatif negara;

Kedua: Menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan. Dana berbentuk pinjaman dengan kadar faedah rendah akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional. Yang mustahaknya, urusan mendapatkan pinjaman ini akan dipermudahkan supaya boleh dimanfaatkan oleh industri; dan

Ketiga: Kepada penggiat seni, mereka tidak sekali-kali diabaikan. Kerajaan akan menubuhkan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian. Dengan ini sejumlah RM3 juta akan diperuntukkan sebagai geran pelancaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: