KUALA LUMPUR - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.055 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun ini yang berakhir pada 30 September lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah keuntungan itu meningkat sebanyak 31.1 peratus berbanding RM805 juta yang dicatatkan pada tempoh sama, tahun lalu.
"Pertambahan keuntungan itu adalah hasil daripada peningkatan pendapatan pembiayaan dan pendapatan berasaskan yuran, sekali gus menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap bank itu," katanya pada sidang akhbar ketika mengumumkan perkara itu di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata, dana pemegang saham juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM5.329 bilion pada September lalu, berbanding RM4.565 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya lagi, Bank Rakyat juga mencatatkan pendapatan berasaskan yuran sebanyak RM67 juta pada bulan sama tahun ini, berbanding RM59 juta pada tahun lalu.
Ismail Sabri berkata, nisbah pembiayaan tidak berbayar bersih (NPF) mencatatkan pengurangan daripada 1.9 peratus pada tempoh tersebut tahun lalu kepada 1.2 peratus pada September tahun ini.
Katanya, pendapatan kasar yang dicatatkan Bank Rakyat adalah sebanyak RM2.894 bilion iaitu peningkatan sebanyak 19.1 peratus, berbanding RM2.429 bilion pada September 2008.
"Pendapatan bersih meningkat sebanyak RM483 juta atau 29.3 peratus kepada RM2.133 bilion bagi tempoh sama hasil daripada pertumbuhan yang kukuh bagi pembiayaan dan deposit serta penambahbaikan yang berterusan ke atas kualiti aset.
"Jumlah aset pula meningkat sebanyak RM10.2 bilion atau 26.1 peratus kepada RM49.3 bilion pada akhir September 2009, berbanding RM39.1 bilion pada tempoh sama pada 2008.
Beliau berkata, aspek pembiayaan pula menyaksikan pertumbuhan sebanyak RM7.8 bilion atau 27.9 peratus kepada RM35.9 bilion pada akhir September tahun ini, berbanding RM28.1 bilion bagi tempoh sama pada 2008.
Sementara itu, baki bersih pembiayaan konsumer Bank Rakyat meningkat sebanyak RM6.1 bilion menjadi RM33 bilion pada September tahun ini, berbanding RM26.9 bilion pada tahun lalu.
"Pembiayaan konsumer merupakan fokus utama perniagaan bank ini yang menyumbang sebanyak 91.9 peratus daripada keseluruhan pembiayaan Bank Rakyat pada akhir September 2009.
"Sementara itu, jumlah deposit daripada pelanggan bank ini juga mencatatkan peningkatan sebanyak RM9 bilion kepada RM42.6 bilion pada tahun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: