Tuesday, October 21, 2014

Watak psiko: ‘Lena’ uji kemampuan Lisa Surihani


  • Watak psiko: ‘Lena’ uji kemampuan Lisa Surihani

SELAMA ini, kita sering melihat aktres cantik, Lisa Surihani menjayakan watak-watak romantis, komedi dan juga antagonis. Namun belum sekali kita melihat Lisa berlakon dalam filem seram, apatah lagi membawakan watak sebagai wanita psiko.

Namun akhirnya, Lisa berjaya keluar dari zon selesanya dan menerima watak psiko dalam filem terbarunya, Dendam Orang Mati akan menemui penonton di pawagam pada 23 Oktober ini.

Bercerita lanjut mengenai filem tersebut, Lisa berkata, dia membawakan watak sebagai Lena yang tersedar di hospital setelah dua tahun koma dan hilang ingatan akibat kemalangan.

Katanya, pada awalnya dia enggan terlibat dengan pembikinan filem ini kerana tidak suka wataknya sebagai wanita psiko.

Namun setelah beberapa kali diyakinkan oleh suaminya, Yusry Abdul Halim, dia akhirnya bersetuju untuk terlibat dengan filem itu dengan satu syarat.

"Sejujurnya tatkala melihat naskhah filem ini, saya tidak suka dengan karakter Lena dan apatah lagi, filem ini sangat gelap jalan ceritanya dan berbeza dari karakter saya yang sebenar.

"Namun Yusry yakinkan saya untuk keluar dari zon selesa. Jadi saya terima dan minta Yusry menyediakan bengkel untuk saya mendalami watak Lena terlebih dahulu sebelum menjalankan penggambaran,” katanya yang ditemui selesai sesi tayangan filem Dendam Orang Mati di e@Curve, baru-baru ini.

Lisa berkata, dia bersyukur apabila Fauziah Nawi rela hati membantunya mendalami watak Lena, manakala Yusry pula sering menemaninya di set penggambaran.

"Saya bukan peminat cerita seram dan tidak suka berlakon dalam filem seram. Tapi saya ambil ini sebagai satu cabaran dan saya sentiasa berfikiran positif.

"Malah dek kerana terlalu mendalami watak Lena, pada penghujung penggambaran, saya sudah mula 'masuk' dengan perwatakan Lena. Tetapi mujur ibu Fauziah banyak mengingatkan saya untuk sentiasa jadi profesional dan meninggalkan watak Lena di set penggambaran setelah pulang ke rumah dan Yusry banyak membantu saya untuk tidak terus kekal sebagai Lena," katanya.

Lisa berkata, setelah melihat hasilnya dia berpuas hati dengan karya Jasong Chong dan berpendapat segala usaha dan perit-jerih mereka di lokasi, berhasil.

"Filem ini memerlukan kami berlakon ada kalanya sehingga 23 jam. Malah ada kalanya kami hanya balik ke rumah untuk mandi dan kemudian kembali ke set.

"Bukan itu sahaja, banyak masa kami habiskan di lokasi penggambaran di sebuah gudang dan kadangkala hanya makan roti di cicah air milo.

"Namun segala komitmen dan usaha kami tampak berhasil. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh krew yang terlibat, terutamanya Jason yang berjaya menghasilkan filem sebaik ini," katanya.

Kerjaya & rumah tangga

Dalam pada itu, bercerita mengenai perkembangan seninya, Lisa berkata, buat masa ini dia tidak terlibat dengan sebarang penggambaran.

“Sekarang saya sibuk dengan promosi filem Dendam Orang Mati sahaja dan kalau mengenai tawaran saya tak boleh kongsi apa-apa lagi. Senang kata, saya kosong lagi sekarang,” katanya yang kini terikat dengan Marigold Peel Fresh, The Body Shop, Oral B, Head, Shoulders dan juga Shell.

Tidak lengkap andai tidak berbual perihal kehidupannya kini, akui Lisa, usia perkahwinannya yang sudah menjangkau dua tahun setengah adalah tempih yanv masih baharu bagi mana-mana pasangan yang berkahwin.

“Apa pun, saya sangat bersyukur kerana Yusry bukan setakat suami yang mampu menjaga saya dengan baik. Dia juga kawan baik dan pendorong terbaik dalam kehidupan saya.

“Komunikasi itu penting, lebih-lebih lagi kami dalam industri yang sama. Jadi, kami boleh berborak dan sentiasa menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Jelas Lisa, Yusry juga tidak pernah menghalang dia berlakon dengan mana-mana produksi lain selain produksi milik suaminya.

“Dia tiada masalah saya nak berlakon bawah mana-mana produksi, dia bukan macam tu. Dia sentiasa beri peluang kepada saya,” katanya popular dengan program travel log, Passport Cinta yang dikendalikan bersama Yusry.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: