SETIAP malam, sebahagian penghuni Bangunan Kapsul Nakagin di Tokyo, Jepun masih boleh tidur nyenyak di lokasi yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai bangunan futuristik.
Mempunyai ruang bilik yang kecil seperti kabin sebuah keranda, kapsul itu turut menjadi hotel kepada pekerja pejabat yang tertinggal tren untuk berehat dalam tempoh beberapa jam. Bangunan yang mempunyai 140 unit kapsul itu turut menyimpan satu sejarah seni bina meskipun terdapat perancangan untuk merobohkannya.
“Kami sedang berusaha untuk mengutip derma dari seluruh dunia bagi membeli setiap satu kapsul dalam bangunan itu. Satu bilik merupakan satu undian kepada rancangan untuk merobohkan bangunan itu,” ujar pengasas projek Selamatkan Bangunan Kapsul Nakagin, Masato Abe.
Dibina oleh Kisho Kurokawa pada tahun 1972, bangunan itu pernah digunakan sebagai salah satu set penggambaran filem The Wolverine lakonan Hugh Jackman.
Rumah kedua
Kini, separuh daripada kapsul itu dijadikan rumah kedua, pejabat dan studio seni manakala sebanyak 20 unit dihuni secara tetap.
Katil, meja lipat dan bilik air dimuatkan dalam sebuah ‘kotak’ yang hanya berkeluasan 10 meter persegi. Rekaan dalamannya masih mengekalkan sentuhan era 70-an termasuk sebuah tingkap besar, jam dinding retro dan sistem audio yang turut dipasang di sekeliling bilik tersebut.
Pasangan arkitek berbangsa Portugal, Ana Luisa Soares dan Filipe Magalhães yang berkongsi bilik kapsul hampir setahun berkata, tinggal di daerah Shimbashi adalah sangat ‘menyeronokkan’ dengan bandar yang sesak dan sentiasa meriah sehingga larut malam. Namun, keadaan bangunan tersebut menjadikan kehidupan mereka semakin rumit.
“Penebat asbestos kapsul tersebut tidak boleh digunakan lagi. Apabila musim sejuk keadaan bilik menjadi sangat dingin. Begitu juga ketika musim panas,” katanya.
Batang paip berkarat, masalah air yang teruk dan masa depan yang tidak menentu menyebabkan hampir separuh kapsul telah dimusnahkan oleh pemilik. Mereka turut menyokong usaha merobohkan bangunan bagi pembinaan pangsapuri baharu.
Undian
Menurut salah seorang pemilik, Tatsuyuki Maeda, cadangan perobohan hanya boleh dilakukan jika mendapat undian melebihi 80 peratus daripada pemilik kapsul. Dia merancang untuk mengubah suai tujuh buah kapsul miliknya sebelum merancang untuk dijual.
Sewa untuk sebuah kapsul adalah sebanyak RM1,790 sebulan tetapi kadar tersebut akan naik mendadak jika pangsapuri baharu didirikan.
Cadangan perobohan hampir dilaksanakan pada tahun 2007 apabila menerima undian yang mencukupi walaupun petisyen dan perbincangan antara Kurokawa dengan syarikat hartanah Nakagin telah diubah untuk menyelamatkan bangunan tersebut.
Namun, disebabkan krisis ekonomi global menyebabkan cadangan pengubahsuaian dihentikan dan kempen Kurokawa diteruskan selepas kematiannya pada tahun 2007.
|
Hak milik
Beberapa kapsul sudah bertukar hak milik kepada penghuni baharu termasuk Maeda yang bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan bangunan itu.
“Cakap-cakap untuk merobohkan bangunan itu masih berterusan. Pihak Kurokawa juga ada membuat perbincangan untuk membuat pengubahsuaian secara besar-besaran,” ujarnya.
Namun, cadangan menemui jalan buntu apabila pihak Nakagin mengeluarkan kenyataan bahawa usaha memelihara bangunan itu adalah mustahil memandangkan kos penyelenggaraan yang tinggi tetapi cadangan perobohan juga tidak dapat dilaksanakan jika gagal mendapat persetujuan sekurang-kurangnya empat per lima pemilik.
Setakat ini, pelbagai projek dilakukan bagi menghidupkan bangunan itu. Abe yang berpindah keluar selepas sistem air panas dihentikan pada tahun 2010, telah menyewakan kapsulnya kepada tetamu pada harga RM268 semalam menerusi laman web perhotelan, Airbnb.com.
Bagi Takami Sugawara yang merupakan seorang artis, dia menukar bilik kapsulnya kepada sebuah kamera lubang jarum gergasi dengan menyekat cahaya daripada tingkap bilik. Projek itu bertujuan untuk merakamkan imej di luar bangunan secara terbalik menerusi lubang kecil tersebut.
Pensyarah Perbandaran di Universiti Tokyo, Christian Dimmer, memberitahu bangunan Kurokawa merupakan salah satu contoh seni bina pasca perang pergerakan Metabolist yang bertujuan untuk mencipta pembangunan mampan kepada para penduduk. Ia membolehkan penghuni mengeluarkan kapsul mereka jika ingin berpindah.
Ia direka secara individu supaya boleh dikeluar dan digantikan setiap 25 tahun tetapi perancangan itu tidak dapat dilakukan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: