Thursday, October 9, 2014

Cegah jenayah di taman awam



SEKILAS pandang, kelibat mereka tidak ubah seperti anggota polis yang sedang menaiki basikal sambil bersiar-siar di sekitar taman awam.
Mengenakan baju seragam berwarna biru gelap, dilitupi jaket keselamatan hijau muda dan bertopi keledar putih, kehadiran mereka pasti melahirkan rasa gerun kepada penjenayah.
Itulah gaya penampilan anggota Unit Penguat Kuasa Berbasikal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditubuhkan sejak setahun lalu.
Antara peranan utama unit tersebut ialah membuat rondaan dan pemantauan di sekitar taman-taman awam yang menjadi tumpuan orang ramai.
Namun buat permulaan, unit tersebut hanya melakukan rondaan di lima buah taman rekreasi di sekitar ibu kota iaitu Taman Botani Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Permaisuri, Taman Metropolitan Kepong dan Taman Metropolitan Batu.
“Saya rasa lebih selamat ketika beriadah di taman ini,” kata pengunjung Taman Tasik Melawati, Kuala Lumpur, Muhammad Jibril Jantan, 20.
Menurut anak kelahiran Melaka itu, kes jenayah tidak terhad di kawasan tertentu sahaja, malah ia turut berlaku di taman-taman awam yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Ini dapat memberi lebih jaminan keselamatan kepada kami ketika beriadah selain mampu mengurangkan kadar jenayah,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah pelajar kolej swasta itu, sejak kebelakangan ini, orang ramai berasa tidak selamat ketika beriadah kerana kejadian jenayah seperti kes kecurian kenderaan dan barangan berharga turut berlaku ­­di taman-taman awam.
Anak kedua daripada empat adik-beradik itu berharap agar pihak DBKL dapat memperluaskan unit berkenaan ke kawasan lain pada masa akan datang.
Dalam pada itu, menurut salah seorang anggota Unit Penguat Kuasa Berbasikal DBKL, Mohammad Syukri A.M. Rizal, 24, setiap hari dia bersama tiga rakannya akan membuat rondaan sekitar Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Dia yang berasal dari Simpang Renggam, Johor akan memulakan aktiviti rondaan menggunakan basikal di sekitar kawasan tersebut seawal pukul 7 pagi hingga 3 petang.
“Ia bagi memastikan harta benda dan keselamatan pengunjung berada dalam keadaan selamat, di samping memastikan orang ramai mengikut peraturan yang ditetapkan oleh DBKL,” katanya yang masih bujang.

DBKL membekalkan basikal jenis Patrol Bike SW1126 yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat.


Kesalahan
Tambahnya, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai ketika berkunjung ke taman awam ialah vandalisme, kecurian, berkelakuan sumbang, menjaja tanpa lesen, membawa haiwan peliharaan dan meletak kenderaan di atas garisan kuning.
Katanya, sekiranya kesalahan yang dilakukan adalah kecil, maka pihaknya akan menegur secara baik terlebih dahulu.
Namun jika ingkar, pihaknya boleh memberi notis kepada pelaku mengikut akta sedia ada yang membawa hukuman denda sehingga RM150.
Bagi kesalahan-kesalahan berat seperti kes kecurian atau bunuh akan diserahkan kepada pihak Polis.
“Kami bertanggungjawab untuk mencegah kejadian jenayah sahaja. Kami tidak ada kuasa untuk menangkap atau mendakwa pesalah. Tambahan pula, kami hanya dibekalkan senjata jenis T Beton,” katanya.
Kesihatan
Mengulas kaedah pemantauan menggunakan basikal, dia berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja menyeronokkan, malah boleh menyihatkan badan.
"Saya memang menggemari aktiviti berbasikal sejak kecil lagi. Disebabkan itu, bertugas menaiki basikal bukanlah satu masalah kepada saya. Berbasikal juga baik dari sudut kesihatan,” katanya.
Mohammad Syukri dan rakan-rakannya meronda menggunakan basikal jenis Patrol Bike SW1126 yang diimport oleh DBKL dari Amerika Syarikat.
Katanya, basikal seberat 8.5 kilogram itu direka dengan pelbagai ciri dan spesifikasi khas untuk tujuan penguatkuasaan di bandar raya.

UNIT Penguat Kuasa Berbasikal DBKL juga berperanan sebagai perantara dalam menyampaikan mesej kepada warga kota dan pelancong.


Selain menjaga keselamatan, unit berkenaan juga merupakan perantara dalam menyampaikan mesej kepada warga kota dan pelancong yang memerlukan maklumat berkaitan Kuala Lumpur. Penubuhan unit itu juga diharapkan dapat menjadi identiti baharu kepada Kuala Lumpur.
“Imej yang segak dan lebih mesra mampu meningkatkan dan memperkasakan program-program yang sedang giat dilaksanakan oleh DBKL.
“Jadi, tidak mustahil ia akan menjadi salah satu daya tarikan terbaharu, terutamanya kepada pelancong asing,” kata Inspektor Unit Rondaan Berbasikal DBKL, Nor Effendi Rosli.
Mengulas mengenai purata notis yang dikeluar setiap bulan, dia memaklumkan, pihaknya mengeluarkan kira-kira 100 notis atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan sering dilakukan oleh orang ramai di kawasan taman rekreasi ialah meletak kenderaan di atas garisan kuning.
Bantuan kecemasan
Dalam pada itu, bagi memberi lebih impak kepada unit berkenaan, pihak DBKL bercadang untuk memperluaskan peranannya.
Salah satu fungsi yang akan ditambah dalam unit tersebut ialah perkhidmatan bantuan kecemasan.
“Melalui perkhidmatan tersebut, kami berharap dapat memberikan bantuan kecemasan kepada orang ramai yang terlibat dalam kemalangan atau tercedera ketika melakukan aktiviti di sekitar taman.
“Setakat ini, beberapa orang anggota telah pun dihantar berkursus di Hospital Kuala Lumpur di bawah bimbingan Jabatan Kesihatan,” kata bekas pelumba basikal kebangsaan itu.
"Di samping itu, tidak lama lagi, jumlah anggota unit berkenaan juga akan ditambah daripada 20 kepada 40 orang," jelasnya.
Kata Effendi, pertambahan tersebut membolehkan pihaknya memperluaskan kawasan rondaan daripada lima kepada 11 kawasan ­di sekitar ibu kota.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: