|
PERNAH suatu ketika dahulu namanya hangat apabila didakwa sudah bertunang dengan seorang deejay sebuah stesen radio secara senyap. Namun, pelakon dan pelawak terkenal, Jep Sepahtu (Jep) atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Zainal Abidin, 28, tidak mudah melatah. Sebaliknya dia bijak mengawal setiap cerita itu dengan jawapan yang jujur.
Bagaimanapun, baru-baru ini sekeping gambarnya bersama seorang gadis yang dimuat naik oleh Jep dalam laman Instagram mengundang pelbagai tanggapan daripada para peminatnya. Sekeping gambar Jep bersama gadis bernama Nazeera Sardi itu mengundang reaksi teruja dalam kalangan peminatnya.
Berpeluang bertemu figura tinggi lampai yang berasal dari Kulai, Johor itu usai sidang akhbar pengumuman senarai peserta program Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM), Jep dengan terbuka bercakap tentang siapakah gerangan si gadis manis tersebut.
Kosmo!: Jep, rasanya anda pun tahu pihak media akan bertanya tentang soalan yang satu ini. Ia berkenaan sekeping gambar anda bersama seorang gadis yang dimuat naik dalam laman Instagram baru-baru ini. Boleh kongsikan siapa gadis itu?
Jep: Sejujurnya, dia merupakan wanita yang rapat dengan saya. Dia merupakan seorang model. Bermula daripada situ, saya kenal dengan dia. Kami sudah berkawan selama enam tahun. Namun dalam tempoh dua tahun kebelakangan, kami kurang berhubung kerana saya sibuk dengan kerjaya. Apa yang boleh saya katakan di sini ialah, dia merupakan satu-satunya rakan perempuan saya yang paling rapat dan paling lama saya berkawan. Sewaktu berkawan dulu, saya memang ada bawa dia berjumpa keluarga tetapi setakat itu sahaja perkembangan kami. Selebihnya saya tidak mahu cakap apa-apa kerana perkara sebegini pada saya tidaklah penting mana. Lagi pula, saya kurang gemar berkongsi perkara ini dengan mana-mana pihak kerana perkara ini tidak rasmi lagi. Buat masa sekarang saya hanya berkawan dengan dia.
Setelah dua tahun mendiamkan diri, bagaimana kalian boleh kembali berhubung?
Sememangnya saya tidak sangka dapat berhubung dan bertemu dengan dia semula seperti dulu. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Semuanya bermula pada awal tahun ini apabila kami ada berhubung semula dan berjumpa di luar. Saya yang mula menghubungi dia dahulu dan dia juga memberikan respon yang baik.
Selepas anda memuat naik gambar itu, ramai peminat yang memberi respon positif. Mereka mendoakan agar kalian cepat mendirikan rumah tangga. Apa kata Jep mengenai perkara itu?
Saya tidak kisah jika peminat mendoakan yang baik-baik untuk saya. Apa yang peminat doakan itu juga kebaikan saya juga jadi untuk apa saya marah atau tidak suka dengan semua komen itu. Cuma pada saya, soal jodoh, biarlah Allah yang tentukan. Jika dulu saya pernah letakkan sasaran untuk mendirikan rumah tangga pada usia 28 tahun, tetapi tidak kesampaian. Sebab itu sekarang, saya berpegang kepada satu. Andai ada jodoh saya, suatu hari nanti saya akan berkahwin juga. Insya-Allah.
Bagaimana dengan persiapan anda untuk menyertai MLM 2014 yang akan mula ditayangkan pada 14 November depan?
Jika tahun lepas Sepahtu bergabung dengan Rahim, tahun ini kami memilih untuk meneruskan tradisi bersama seorang rakan pelawak lain. Tahun ini kami memilih pelawak senior iaitu Ilya yang merupakan bekas anggota Senario. Kami memilih Ilya kerana pada awal program MLM berlangsung beberapa tahun lalu, banyak Ilya memberi nasihat kepada kami dan rasanya kali ini kami perlu membalas jasa beliau dengan memberi peluang beliau merasai kemeriahan berlawak dengan pelawak generasi baharu. Selain itu, kami menghormati dan memang meminati beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: