Wednesday, October 22, 2014

Burgerbyte kekal harga selepas GST


  • Selebriti Zizan Razak hadir pada pembukaan cawangan Burgerbyte Shah Alam, baru-baru ini.Selebriti Zizan Razak hadir pada pembukaan cawangan Burgerbyte Shah Alam, baru-baru ini.

BURGERBYTE Sdn Bhd (Burgerbyte) akan mengekalkan harga makanan yang ditawarkannya walau selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan April 2015.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Najib Zakaria berkata, Burgerbyte akan menanggung cukai yang dikenakan sekiranya mereka berjaya memperoleh permit mengimport daging.

“Jika dapat permit tersebut, kami tidak perlu berurusan dengan orang tengah yang turut akan mengenakan GST dan sekali gus menambah kos yang kami akan tanggung.

“Adalah lebih baik jika kami mendapatkan permit itu dan harga makanan kami tidak akan dinaikkan kerana kami mampu mengawal harga tersebut,” katanya ketika majlis pembukaan Burgerbyte cawangan Shah Alam, baru-baru ini.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan antara cabaran yang dihadapi Burgerbyte sebelum GST dilaksanakan dan sekiranya berjaya, mereka mampu meminimumkan kos yang ditanggung.

Ditanya mengenai cawangan Burgerbyte, Mohd Najib berkata, pembukaan di Shah Alam menjadikan jumlah keseluruhan kedai Burgerbyte kepada 12 cawangan.
“Kami juga akan buka dua cawangan Burgerbyte sehingga hujung tahun ini di Pasar Karat Johor Bahru, Johor dan Ampang, Kuala Lumpur.

“Setiap cawangan baharu yang ingin dibuka memerlukan pelaburan antara RM350,000 hingga RM450,000 dan akan meneliti lokasi, kesesuaian kedai serta beberapa aspek lagi,” katanya.

Pembukaan cawangan Burgerbyte Shah Alam menjadikan empat cawangan berada di bawah pengurusan Burgerbyte, manakala bakinya menggunakan perniagaan Licensing di bawah jenama makanan Burgerbyte.
Burgerbyte Shah Alam turut memberi diskaun 10 peratus kepada pelajar institut pengajian tinggi di sekitar Shah Alam apabila menikmati makanan di situ dengan mempamerkan kad pelajar mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: