Wednesday, October 22, 2014

Erti Deepavali dan pengorbanan Jasmine



DEEPAVALI membawa makna besar bagi empunya nama Jasmine Michael, 35. Perayaan yang bukan sekadar meraikan kemenangan cahaya ke atas kuasa kegelapan, ia juga memberi erti sebuah permuafakatan dan semangat muhibah antara pelbagai kaum.
Bagi pelakon filem Estet itu, biarpun perayaan pesta cahaya atau lebih dikenali sebagai Diwali tahun ini diraikan bersederhana sama seperti tahun-tahun terdahulu, erti sebuah Deepavali memandu kehidupannya ke arah yang lebih positif.
“Tradisi itu paling penting bagi saya, setiap tahun sambutan Deepavali diraikan bersama keluarga tercinta di Kuala Lumpur.
“Keutamaan pada hari pertama perayaan Deepavali ialah bersama keluarga dan itu perkara wajib yang kami empat beradik akan lakukan. Selepas sembahyang, kami akan berkumpul beramai-ramai di rumah dan meluangkan waktu yang jarang diperoleh pada hari lain,” kongsi Jasmine yang ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Deepavali di Hotel Park Royal Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis yang sama anjuran Bill Bora itu, Jasmine bersama beberapa selebriti lain termasuk Fathia Latiff, Miera Leyana dan Chris Tong turut memperagakan aksesori mutiara Rafflesia oleh pengeluar barangan kemas eksklusif Rafflesia Pearl Centre Kuala Lumpur.

JASMINE menggunakan kelebihannya dalam bidang tarian klasikal India dalam kerjaya lakonannya.


Payasam, Pongal, Vade
Bercerita lebih lanjut mengenai sambutan Deepavali tahun ini, kata Jasmine dia lebih tertarik pada tradisi membelikan baju raya buat keluarganya malah tahun ini dia telah menyiapkan beberapa helai sari berwarna hijau sebagai warna tema.
“Seronoknya meraikan Deepavali barangkali tidak sama seperti zaman ketika masih usia kanak-kanak. Ketika itu semua baju mestilah baharu dan berwarna-warni. Namun, apabila sudah dewasa perasaan itu semakin berkurangan walaupun sambutannya masih meriah terutama hari pertama.
“Perkara yang paling mengujakan saya adalah menyediakan hidangan bersama ibu. Pada hari pertama Deepavali selalunya kami sekeluarga akan memasak hidangan sayur-sayuran manakala tiga jenis makanan yang wajib ada ialah payasam, pongal dan vade sebagai pemanis mulut.
“Paling penting semua makanan itu wajib dimasak sendiri oleh kami sekeluarga sebagai tanda ikatan silaturahim yang tidak akan putus sampai bila-bila. Biasanya kedua-dua orang kakak saya akan menyediakan hidangan lain antaranya tose dan roti puri,” ceritanya teruja.
Tambah Jasmine, tradisi membuat kolam (lukisan menggunakan beras pelbagai warna) di hadapan rumah hanya dibuat sekiranya berkesempatan berkumpul bersama keluarga beberapa hari sebelum sambutan Deepavali.

BARISAN selebriti yang memperagakan pakaian pada majlis memperkenalkan Rafflesia Deepavali Fashion 2014 yang diadakan baru-baru ini.


Kollywood
Kesibukan dengan jadual penggambaran yang padat untuk sebuah drama bersiri Tamil berjudul Anbu hanya memberikan ruang sehari buat Jasmine meluangkan masa bersama keluarga sempena Deepavali.
Malah, Jasmine juga baru usai menjalani penggambaran sebuah drama berjudul Janini Daughter of Madhavan terbitan syarikat produksi dan penerbitan terkenal Singapura, Media Corp yang baru-baru ini.
Faktanya, keberadaan Jasmine dalam industri hiburan tempatan sebenarnya sudah memasuki usia 12 tahun. Langkah sulungnya bermula seawal tahun 2002 dan pencapaian tertinggi Jasmine apabila tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi lakonan berkesan dalam filem Estet arahan Mamat Khalid.
Sedar atau tidak, industri hiburan Tamil yang tidak seluas pasaran tempatan sekali gus tidak berupaya memperkenalkan nama Jasmine secara optimum. Hal itu tegasnya sedikit pun tidak melemahkan semangat untuk terus berkarya dengan cara tersendiri.
“Industri hiburan Tamil di negara kita memang kecil dan disebabkan itu saya tidak menerima semua tawaran berlakon. Selalunya saya akan memilih untuk berlakon dalam dua buah drama sahaja setahun begitu juga kesesuaian karakter.
“Biasanya penonton drama Tamil suka akan watak klise wanita teraniaya atau dimadukan oleh suami. Saya cuba keluar daripada zon tersebut dan memilih untuk berlakon dalam karya yang memaparkan peranan wanita yang berdikari dan tidak semata-mata objek untuk ditindas,” katanya yang bakal muncul menerusi telefilem khas sempena Deepavali berjudul Hadiah dan disiarkan di saluran TV2.
Selepas berjaya melakonkan watak Geetha penuh berkarisma dalam filem Estet sekitar empat tahun lalu, Jasmine mengakui, dia sentiasa merindui peluang untuk membintangi filem atau drama Melayu.
“Oleh kerana industri hiburan Tamil kecil maka produser juga mempunyai pilihan yang terbatas untuk mencari pelakon jadi kebanyakannya akan terus kekal berlakon dalam pasaran drama atau filem Tamil, ia bukannya soal bakat,” jelas anak bongsu daripada empat beradik itu.

JASMINE dan Farid Kamil pernah digandingkan bersama menerusi filem Estet tahun 2010.


Putus tunang
Sebelum memasuki industri hiburan, hati Jasmine terlebih dulu dimiliki seorang penyanyi dan pelakon terkenal, KK Khanna, 38. Pasangan itu bagaimanapun mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan sekitar lapan tahun lalu.
Namun, jodoh tidak menyebelahi Jasmine dan KK Khanna apabila pasangan itu telah mengambil keputusan untuk berpisah dan membawa hala tuju masing-masing beberapa empat tahun lepas.
“Walaupun sudah lama bertunang, kami tiada jodoh untuk bersama dan memilih untuk putus. Bagaimanapun kami masih lagi berkawan rapat dan saling memahami satu sama lain memandangkan dia juga orang dalam industri.
“Jadi, kalau kami mengambil pendekatan untuk berpisah dan ‘berperang’, saya fikir tindakan itu akan menyebabkan banyak perkara terjejas termasuk kerjaya kami. Buat masa sekarang saya masih solo dan belum berkenalan dengan sesiapa,” jelasnya.
KK Khanna mula menempatkan diri dalam industri hiburan pada usia 16 tahun sebagai seorang penari dan koreografer. Kariernya kemudian berkembang apabila ditawarkan menjadi penyanyi dan seterusnya berlakon malah kini bergelar seorang pengarah filem.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: