SUNGAI PETANI 18 Julai — Malaysia Building Society Berhad (MBSB), sebuah syarikat berkaitan kerajaan, sedang dalam perancangan untuk menjadi sebuah bank sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini Othman berkata langkah itu bagi memantapkan kedudukan MBSB, yang merupakan syarikat kewangan yang dikecualikan lesen, daripada segi operasi dan produk yang ditawarkan selain dapat bersaing dengan institusi kewangan lain.
"Perancangan masih pada peringkat awal. Bagaimanapun, kita harap ia boleh tercapai dalam masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen pakej “Syoknya Raya” dan penyampaian hadiah kepada pemenang Peraduan Bonus Berganda MBSB di sini semalam.
Ahmad Zaini berkata, pembiayaan peribadi MBSB mampu menarik ramai pelanggan kerana ia menawarkan kadar faedah rendah.
Katanya, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, MBSB telah mengagihkan RM1.5 bilion menerusi pembiayaan peribadi dan yakin untuk mencapai RM3 bilion bagi 2010.
Beliau berkata, pencapaian RM1.5 bilion itu cukup memberangsangkan kerana ia mengatasi RM1.1 bilion yang dicatatkan sepanjang tahun lepas.
"Tahun ini sahaja, 90 peratus pendapatan kita adalah daripada pinjaman peribadi. Kebanyakan yang membuat pinjaman ini adalah pegawai-pegawai kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Mereka mampu membuat bayaran balik,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: