Monday, October 26, 2009

Tuanku Muhriz ditabal hari ini


TUANKU MUHRIZ bersama Tuanku Aishah Rohani diarak dengan menaiki Takhta Rencana ke Panca Persada dalam Istiadat Bersiram di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah.


KUALA PILAH - Istiadat Bersiram Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selamat disempurnakan dengan penuh tradisi yang diwarisi turun-temurun di Istana Besar Seri Menanti di sini semalam.

Negeri Sembilan bakal menyaksikan pertabalan Yang Di pertuan Besar ke-11, Tuanku Muhriz yang akan berlangsung di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti pagi ini.

Istiadat pertabalan itu akan disempurnakan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak sebagai imam Undang Yang Empat.

Pada istiadat bersiram yang bermula pukul 10.35 pagi semalam, baginda yang diarak bersama Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud telah dibawa menaiki Takhta Rencana dari dalam istana ke Panca Persada tempat Istiadat Bersiram dilangsungkan.

Sebelum Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah tiba di Panca Persada, baginda berdua diarak menaiki Takhta Rencana diiringi paluan rebana tembakan meriam lapan das.

Lagu Raja Berangkat dimainkan dengan menggunakan peralatan muzik tradisional, Caklempong sejurus baginda berdua tiba Panca Persada.

Pada masa yang sama, Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung mengambil tempat di tingkat enam Panca Persada dengan kedudukan Orang Enam Istana di tingkat lima, Apit Lempang di tingkat empat, Datuk-Datuk Bentara Istana di tingkat tiga, Orang Besar Lingkung di tingkat dua dan Datuk-Datuk Besar Istana di tingkat satu.

Istiadat Bersiram berlangsung apabila Datuk Seri Amar Diraja, Ahmad Minal, Datuk Raja Diwangsa, Maulud Taha, Datuk Penghulu Dagang, Mohamad Zon Zakaria dan Datuk Akhirzaman, Razali Samad berjalan mengelilingi tempat bersemayam sebanyak tujuh kali dan menjunjung duli setiap pusingan selepas mengambil Cepu Bedak Limau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: