Sunday, October 25, 2009

Susma terkenang Flat Pekeliling


SERIUS. Pembabitan Susma dalam industri bisnes fesyen bertitik-tolak daripada pengalaman silamnya sendiri.


KISAH cintanya yang mendalam terhadap dunia fesyen tidak ubah seperti cerita cinta syahdu filem Bollywood yang penuh dengan elemen drama, lengkap dengan segala onak dan duri yang perlu dilalui sebelum berjaya menikmati cinta sejati.

Dilahir dan membesar di tengah kota metropolitan secara tidak langsung menjadi rencah kehidupan wanita berdarah Gujerati ini.

Ia secara tidak langsung menjadikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) gedung pakaian Sonali Sdn. Bhd., Susma Suresh, 41, terdidik dalam persekitaran yang menuntut dirinya agar tegar dengan cabaran.

"Sejak kecil, saya tinggal di Flat Pekeliling di Kuala Lumpur hinggalah berumur 20 tahun. Bayangkan dengan keluasan rumah yang kecil itu, kami terpaksa menyesuaikan diri termasuk suasana persekitaran yang 'hitam'," ujar wanita yang tampak manis berbaju punjabi ini.

Menurutnya lagi, pengalaman membesar di flat tersebut telah menjadi inspirasi untuknya berjaya dan melakukan sesuatu yang luar biasa dalam hidupnya.

Sehingga hari ini, Susma masih terkenang peristiwa beliau terpaksa mengangkut air menggunakan baldi ke tingkat 16 dengan mendaki tangga disebabkan lif di flat kediamannya itu acapkali rosak.

"Sampai saja di atas (rumah), baki air yang masih ada dalam baldi tak sampai separuh. Adakala habis terus," ungkapnya ketawa.

Episod cinta Susma terhadap dunia fesyen sebenarnya bermula dari zaman kecilnya. Malah sejak kanak-kanak, ibunya pasti pening kepala mencari pakaian untuk Susma terutama menjelang hari perayaan.

Cerewet pilih baju

"Saya amat cerewet dalam hal pakaian. Potongan baju tak kenalah, besar sangatlah, fabrik panaslah. Paling utama, rekaan baju tersebut saya tidak suka sebab terlalu seksi.


SUSMA bersama empat zuriatnya yang banyak mewarnai kehidupannya saat ini.


"Jalan penyelesaiannya, saya reka sendiri, cari kain sendiri kemudian upah orang. Akhirnya, bila dah pandai potong dan jahit, saya buat sendiri," katanya sambil menggeleng kepala mengenang peristiwa beliau sering dimarahi ibu kerana sikap cerewetnya itu.

Namun, paling tidak dapat dilupakan ialah insiden beliau dihalang daripada memasuki sebuah kedai pakaian oleh seorang petugas di situ.

"Sudahlah saya tidak dibenarkan masuk, lagi geram apabila petugas kedai itu cakap, di kedai tersebut tidak ada saiz pakaian yang sesuai untuk saya," katanya.

Tercabar dengan insiden tersebut, Susma nekad mereka pakaian dalam pelbagai saiz.

"Insiden itu menyedarkan saya bahawa bukan saja saya, malah ramai wanita di luar sana yang menghadapi masalah yang sama. Baju banyak dan cantik tapi tiada saiz," ujar pemegang Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaya (UM) itu.

Pada tahun 1995, hasil usaha gigihnya, Susma berjaya menghasilkan 20 rekaan yang diinspirasikan daripada pelbagai sumber terutama rekaan dari Bollywood.

"Tidak sampai dua bulan, rekaan saya itu habis dijual dan permintaan pula tidak putus-putus. Ini secara tidak langsung menunjukkan rekaan saya mendapat tempat di hati pembeli walau masih baru," katanya sambil menunjukkan katalog rekaan bajunya.

Ternyata, tangga yang didaki Susma untuk mencipta nama bukan mudah. Ujian getir pertama yang dihadapinya ialah apabila kedai pakaiannya yang baru beroperasi pada tahun 2000 dilanda banjir

"Ketika itu saya membuka kedai di Sentul. Ia kedai pertama saya. Banjir yang melanda membuatkan pakaian serta material seperti kain, manik serta kelengkapan lain musnah.

"Bayangkan, semua stok kain serta beberapa rekaan baru yang diletakkan di tingkat satu dan aras bawah tanah musnah begitu saja," kenang beliau.

Namun, bukan itu sahaja musibah yang dihadapinya. Baru sahaja mahu bertatih dan menarik nafas lega untuk kembali bangkit daripada musibah itu, sekali lagi awan hitam melatari lantai kehidupan ibu kepada empat orang anak lelaki ini.

Kedai terbakar

"Ingatkan sekali sahaja saya akan diduga cabaran tapi rupa-rupanya tidak. Dugaan paling besar bagi saya ialah apabila stok kain bernilai jutaan ringgit serta kedai saya terbakar pada tahun 2005.

"Saya benar-benar hilang arah. Hilang segalanya. Kalau musibah dulu masih dapat saya cari ruang untuk bangkit semula, tapi kini segalanya seolah gelap," rentak suaranya mula berubah. Perasaan wanita ini terusik apabila peti kenangan lalu itu dibuka semula.

Berkat semangat dan dorongan ahli keluarga, wanita ini kembali bangkit. Dan hasilnya cukup membuatkan dia mampu menarik nafas lega kembali.


WANITA tabah ini sudah diuji dengan pelbagai cabaran.


Tidak sekadar itu, pelanggan setianya juga turut memberi kekuatan kepadanya agar tidak menoktahkan perjalanan kerjayanya dalam menghasilkan rekaan pakaian India yang bermutu.

"Hingga kini, saya pegang kukuh kata-kata abang saya. Biarpun saya kehilangan stok jutaan ringgit tapi bukan pelanggan setia saya. Itu sudah cukup untuk saya bangkit semula," ucap Susma yakin.

Menyentuh mengenai kegiatan masa lapang, wanita ini begitu gemar menari di samping membaca buku terutama mengenai perniagaan dan motivasi.

"Menari membuatkan saya lupa sejenak kepada masalah serta tekanan yang ada. Tak kisah tarian apa pun, yang pasti saya akan ketawa setiap kali menari dengan anak-anak," katanya yang turut gemar membeli-belah.

Mengintai sejenak rutin harian Susma, nyata wanita ini tidak sukar membahagikan masa antara keluarga dan empayar perniagaan yang sedang dibina.

"Waktu saya bersama keluarga adalah sehingga anak-anak saya ke sekolah pada tengah hari. Pada waktu itu, segala keperluan dan kehendak ke empat-empat anak lelaki saya, akan ditunaikan dan dijalankan sehabis baik.

"Sebaik sahaja mereka ke sekolah, itulah masanya saya menumpukan sepenuh perhatian pada perjalanan perniagaan saya. Jadi, tiada masalah untuk saya sementelah anak-anak telah diajar agar berdikari sejak kecil," jelasnya.

Tidak langsung terganggu dengan kesibukan harian, ilham dalam mencorakkan rekaan terbaru untuk keluaran jenama syarikatnya sering saja datang mencurah-curah.

"Saya anggap ilham yang muncul itu sebagai cabaran untuk mencipta sesuatu yang lebih baik, sesuai dengan cita rasa masyarakat di sini dan paling penting, boleh didapati dalam pelbagai saiz," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: