![]() |
| ROSAMUND Pike sebagai Maggie dalam filem Surrogates yang kini sedang hangat ditayangkan. |
SESUATU yang cukup menarik perhatian Jonathan Mostow saat ditawarkan untuk mengarahkan filem terbarunya, Surrogates yang kini sedang hangat ditayangkan.
Kata Mostow, filem yang diadaptasi daripada novel grafik karya Robert Venditti itu mempunyai penceritaan yang mampu meninggalkan impak seandainya ia dizahirkan ke layar perak.
Apa yang mahu ditonjolkan oleh Mostow dalam filem cereka keempat arahannya itu adalah tentang perkembangan teknologi yang mampu membawa kemudaratan seandainya ia tidak digunakan sebaiknya.
"Teknologi terkini yang kita lihat hari ini sebenarnya membawa keuntungan serta kebaikan kepada kita jika kita bijak menggunakannya dan kita tidak harus menafikan kehadirannya dalam kehidupan kita.
"Malah, saya sendiri memanfaatkan teknologi itu sebaik mungkin dalam kehidupan seharian saya seperti membeli-belah di Internet dan sebagainya.
"Tetapi, jika kita menggunakannya ke arah yang tidak betul, kita sendiri yang akan terima akibatnya. Itulah apa yang saya mahu tonjolkan kepada penonton menerusi filem ini," kata Mostow dalam satu perbualan telefon bersama pihak media tempatan di ibu negara, baru-baru ini.
Malah, Mostow tidak menafikan filem Surrogates hadir tepat pada masanya dan setidak-tidaknya ia mampu memberikan satu gambaran jelas kepada masyarakat kemungkinan yang berlaku di masa depan.
Memuji
"Tetapi, apa yang membuatkan saya bangga adalah seandainya filem ini menjadi sebutan ramai dan membuatkan penonton berfikir tentang intipati jalan cerita Surrogates.
"Itu sudah membuatkan saya mampu tersenyum lebar kerana sebagai seorang pengkarya, bukan mudah untuk membuat sebuah filem yang mampu menjadi buah mulut orang untuk jangka masa yang lama," ujarnya yang memang bersedia dengan segala kritikan daripada semua pihak.
Ternyata, sambutan yang diberikan terhadap filem Surrogates cukup menggalakkan apabila berjaya menduduki tangga kedua dengan kutipan sebanyak RM53 juta sewaktu mula ditayangkan pada 25 September lalu.
Biarpun sudah tiga minggu ditayangkan, Surrogates masih lagi mampu untuk berada dalam senarai 10 buah filem terlaris di Amerika Syarikat (AS).
Keadaan yang sama turut berlaku di Malaysia apabila Surrogates berjaya menundukkan filem G-Force dengan menempatkan diri di tangga pertama selepas seminggu ditayangkan.
Surrogates menampilkan barisan pelakon mantap seperti Bruce Willis, Radha Mitchell, Rosamund Pick, James Cromwell, James Francis Ginty dan Ving Rhames.
Sekadar menyingkap profil seni pengarah berusia 47 tahun ini, Surrogates merupakan filem cereka keempatnya selepas Terminator 3: Rise of the Machines (2003), U-571 (2000) dan Breakdown (1997).
Menyambung bicara, Mostow sendiri mengakui cabaran yang perlu dipikulnya sebagai seorang pengarah cukup besar berbanding tiga filem sebelum ini.
Apa yang cukup menyukarkan proses filem ini adalah dari segi penataan seni dan juga tata rias untuk melengkapkan dan menepati perjalanan filem ini.
Kerana itu, Mostow memilih Boston, Massachusetts, AS sebagai lokasi utama filem ini apabila kebanyakan struktur bangunannya masih lagi mengekalkan ciri-ciri seperti mana yang digambarkan menerusi novel grafik itu.
"Bukan itu sahaja, solekan dan kesan khasnya juga amat mencabar kami kerana bukan mudah untuk menampilkan manusia yang sempurna sifatnya dari segala aspek.
"Tetapi, saya fikir apa yang telah kami lakukan untuk filem ini telah berjaya meninggalkan kesan yang positif dalam aspek pembikinan filem di Hollywood.
"Rasanya belum pernah ada lagi filem seperti ini diterbitkan di sana dengan kesan khas serta jalan cerita yang cukup menarik," katanya penuh optimis.
Saat ditanya tentang perbandingan yang akan timbul sementelah filem arahannya sebelum ini iaitu Terminator 3 (T3) juga dari genre sains fiksyen, Mostow memberikan jawapannya.
"Dua-dua filem ini adalah berbeza baik dari segi jalan cerita, kesan khas dan pengarahan. Biarpun kedua-duanya menceritakan tentang teknologi dan perkembangan masa depan seantero dunia," katanya.
Mengenai pemilihan Bruce Willis pula, Mostow memberitahu aktor handalan itu merupakan pilihan pertamanya sejak diberikan tanggungjawab untuk mengarahkan filem Surrogates.
Ujarnya, Willis memiliki aura dan karisma dalam membawakan watak Tom Greer dan biarpun usianya sudah menjangkau lima dekad, namun dia masih mampu berlakon dengan baik.
Melihat kepada profil seninya yang cenderung kepada filem-filem aksi dan sains fiksyen, adakah Mostow selesa dilabel sebagai seorang pengarah dari genre itu?
"Saya tidak mahu dilabelkan dan seboleh-bolehnya saya mahu mempelbagaikan corak pengarahan saya agar tidak dianggap selesa mahupun stereotaip.
"Apa yang penting adalah jalan cerita itu sendiri dan apa jua filem yang saya arahkan selepas ini, saya mahu ia meninggalkan satu kesan abadi kepada penonton," katanya yang menafikan akan mengarahkan filem fantasi, Swiss Family Robinson yang dijangka tayangannya pada tahun 2012.
Bagi mereka yang belum lagi menonton filem Surrogates, pastikan anda tidak ketinggalan menonton filem hebat ini di pawagam berhampiran anda hari ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: