Tuesday, October 27, 2009

Siapakah finalis Anugerah Juara Lagu ke-24?



Carta muzik paling popular Malaysia, Muzik-muzik (MM) telah pun masuk tahun ke-24 siarannya di TV3 dan telah banyak memberi impak khususnya kepada industri muzik tanah air.

Biarpun telah mengalami banyak perubahan, program ini terus memberi sumbangan apabila berjaya mencetuskan satu evolusi dalam industri seni muzik sekali gus mengangkat martabat pengkarya-pengkarya seni muzik melalui penganjuran berprestij Anugerah Juara Lagu setiap tahun.

Kini, carta yang menampilkan barisan lagu-lagu popular ciptaan komposer dan penulis lirik tempatan semakin hampir ke kemuncaknya apabila baru-baru ini diadakan sidang media separuh akhir Muzik-Muzik ke-24.

Berlainan dengan AJL edisi sebelum ini, format baru yang diperkenalkan 4 April lalu memperlihatkan carta baru dengan pencalonan lagu yang tidak memfokuskan kepada kategori sekali gus menyaksikan lagu-lagu dipertandingkan lebih terbuka dan tidak terbatas kepada tiga kategori sebelum ini iaitu Pop Rock, Balada dan Etnik Kreatif.

Menurut Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria berkata: “Semenjak dahulu lagi kami sentiasa terbuka dengan cadangan dan pendapat serta kehendak dalam industri muzik itu sendiri bagi meningkatkan lagi mutu program MM.

“Sebab itulah juga MM 24 tampil dengan format baru di mana pencalonan lagu lebih fleksibel dan ini bermakna lagu-lagu yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu. Tujuannya adalah untuk memberi peluang kepada penggiat-penggiat seni untuk bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori ini saja.”

Lagu-lagu yang layak dipertandingkan di Muzik-Muzik Separuh Akhir dipilih melalui markah tertinggi yang diperoleh melalui undian yang dibuat setiap minggu dan berdasarkan tempoh kedudukan lagu tersebut di dalam carta mingguan Muzik-Muzik.

Sebanyak 112 lagu yang telah dicalonkan sepanjang tahun mulai 4 April hingga 17 Oktober tetapi hanya 30 lagu sahaja terpilih ke separuh akhir. Dari situ, 14 lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu yang akan diumumkan selepas persembahan terakhir pada 20 November.

Separuh Akhir Muzik-Muzik bahagian 1 dan 2 pada 6 dan 13 November 2009 akan memperlihatkan 11lagu bakal bersaing untuk merebut tempat ke peringkat akhir manakala bahagian 3, 20 November 2009, akan menyaksikan baki 8 lagu dipertandingkan. Pemilihan dibuat berdasarkan pemarkahan oleh juri profesional berdasarkan persembahan pada malam pertandingan dan dicampurkan markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan.

Tiket-tiket percuma ke pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik boleh diperoleh di Balai Pengawal Sri Pentas Bandar Utama dan Balai Pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral mula 31 Oktober.

Untuk maklumat lanjut mengenai Separuh Akhir Muzik-Muzik 24, layari www.tv3.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: