Tuesday, October 27, 2009

Polis Israel ronda di Al-Aqsa


BEBERAPA penduduk tempatan dan pelancong berdiri di belakang anggota polis Israel semasa pertempuran berlaku antara penunjuk perasaan Palestin dengan pasukan keselamatan rejim Zionis dekat Masjid Al-Aqsa kelmarin.


BAITULMAQDIS - Beratus-ratus polis Israel meronda di sekitar Masjid Al-Aqsa semalam iaitu sehari selepas lokasi tersebut menjadi medan pertempuran sengit antara penduduk Palestin dan polis Yahudi.

Masjid berkenaan dan kawasan sekitarnya yang dituntut oleh bangsa Arab dan Yahudi kelihatan tenang semalam tetapi polis Israel berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas keganasan tercetus di lokasi itu sejak beberapa minggu lalu.

Rondaan masih diperketat di sekitar Bandar Lama yang menempatkan Masjid Al-Aqsa tetapi kebanyakan kedai kembali dibuka semalam manakala sejumlah pelancong memasuki kawasan itu manakala orang Islam dapat menunaikan solat tanpa sebarang gangguan.

Kelmarin, anggota-anggota polis bersenjatakan baton dan senjata bertempur dengan sekumpulan penduduk Palestin yang membaling batu dan kerusi di sekitar masjid itu.

Israel mengawal kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa sejak ia menduduki timur Baitulmaqdis pada 1967.

Rejim Zionis menegaskan bahawa lokasi itu akan menjadi hak mereka untuk selama-lamanya tetapi ia menyerahkan pentadbiran harian masjid itu kepada sebuah badan Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: