
![]() |
| |
THE HAGUE, Belanda - Perbicaraan bekas pemimpin Serb Bosnia berhubung dakwaan dia melakukan pembunuhan besar-besaran ditangguhkan selama sehari semalam.
Penangguhan itu dibuat selepas dia bertindak memulaukan perbicaraan tetapi Hakim Mahkamah Jenayah An tarabangsa untuk bekas Yugoslavia (ICTY), O-Gon Kwon mendakwa Karadzic sengaja cuba menghalang proses keadilan.
Peguam Karadzic kemudian berkata, anak guamnya merancang untuk meneruskan pemulauan itu dan tidak akan hadir apabila perbicaraan disambung semula tengah hari ini.
Karadzic (gambar), pemimpin Serb-Bosnia ketika perang Bosnia yang menyebabkan lebih 100,000 orang terbunuh, memberi alasan kononnya dia memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti dan melakukan persediaan bagi membela diri.
"Saya tidak fikir dia (Karadzic) dapat membaca sejuta muka surat termasuk pertuduhan dan keterangan saksi terhadapnya dalam masa yang singkat," kata peguamnya, Marco Sladojevic.
Karadzic dan peguamnya itu tidak hadir apabila Kwon memulakan perbicaraan yang berlangsung kurang 15 minit.
"Terdapat beberapa langkah yang boleh dilaksanakan sekiranya dia terus menghalang perbicaraan ini," katanya.
Antaranya kata hakim itu, dengan melantik seorang peguam secara mandatori bagi mewakili Karadzic atau meneruskan perbicaraan tanpa kehadirannya.
Karadzic, 64, berdepan 11 dakwaan penghapusan etnik, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan berhubung peranannya dalam Perang Bosnia terutamanya mengenai pembunuhan 7,000 lelaki dan kanak-kanak Islam di Srebrenica.
Dia boleh dipenjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: