Tuesday, October 27, 2009

Muzik-Muzik tanpa kategori irama




BERTUJUAN memberi peluang kepada penggiat-penggiat seni muzik untuk bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas, program hiburan popular, Muzik-Muzik kini mengamalkan polisi baru apabila tidak lagi menggunakan kategori-kategori tertentu.

Melalui format yang diperkenalkan sejak 4 April lalu, rancangan yang sinonim sebagai salah satu produk terbaik stesen televisyen TV3 itu memperlihatkan carta baru dengan pencalonan lagu yang tidak memfokuskan kepada sebarang klasifikasi.


BARISAN penyanyi yang berjaya menempatkan diri untuk separuh akhir Muzik-Muzik yang bakal diadakan mulai 6 November ini.


Maka, tidak wujudnya pembahagian irama Pop Rock, Balada dan Pop Etnik seperti yang ditampilkan pada tahun-tahun sebelumnya setelah kata sepakat diambil oleh pihak produksi Muzik-Muzik.

Bahkan konsep itu diteruskan untuk peringkat separuh akhir Muzik-Muzik nanti sekali gus Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL 24) yang bakal menemui umum 10 Januari depan juga mengenengahkan konsep yang sama.


HUJAN mengharapkan tuah lagu Aku Skandal hasil ciptaan vokalis kumpulan itu sendiri, Noh.


Bercakap tentang relevan program itu bertindak 'melupuskan' ketiga-tiga kategorinya, Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria berkata, pihaknya punya alasan munasabah untuk melaksanakan keputusan tersebut apatah lagi selepas beberapa perbincangan dijalankan.

"Sejak dahulu lagi kami sentiasa bersikap terbuka dengan cadangan, pendapat dan kehendak dalam industri muzik ini sendiri bagi meningkatkan kualiti program Muzik-Muzik.




"Oleh kerana itulah Muzik-Muzik kali ini tampil dengan format baru agar pencalonan lagu lebih fleksibel sekali gus karya-karya yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu.

"Tujuannya untuk memberikan peluang kepada karyawan-karyawan dalam bidang muzik untuk berkarya menggunakan kreativiti masing-masing tanpa batasan atau tertakluk kepada tiga kategori sama saja.

"Situasi ini juga menyebabkan lagu-lagu yang dicipta nanti lebih luas genrenya lantas berupaya mengembangkan lagi hasil seni ciptaan para pengkarya tanah air.

"Pihak kami tidak mahu komposer dan pencipta lagu yang ada ini sekadar bergantung harap kepada tiga kategori utama ini dalam menentukan muzik mereka ditambah dengan adanya pelbagai stail muzik baru di pasaran.

"Dengan wujudnya lebih banyak karya yang menarik dan memiliki variasi, saya percaya industri seni di Malaysia bakal menjadi lebih maju," katanya pada sidang pengumuman 30 buah lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.

Lagu-lagu yang layak dipertandingkan untuk separuh akhir Muzik-Muzik kali ke-24 dipilih melalui markah tertinggi yang diperolehi melalui undian yang dibuat setiap minggu.

Tidak terkecuali, lagu-lagu yang dipilih itu dicongak berdasarkan tempoh kedudukan lagu tersebut berada dalam carta mingguan program berkenaan.

Mengikut perkiraan pihak produksi Muzik-Muzik ke-24, sebanyak 112 lagu telah dicalonkan sepanjang tahun 2009 bermula 4 April hingga 17 Oktober 2009 manakala hanya 30 buah lagu tersenarai untuk dipertandingkan ke peringkat separuh akhir.

Separuh akhir bahagian satu (11 lagu) akan diadakan pada 6 November depan, bahagian dua (11 lagu) akan berlangsung pada 13 November manakala bahagian tiga (8 lagu) akan diadakan pada 20 November.

Ia bakal ditayangkan secara langsung di TV3 dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor bermula pukul 10 malam.

Sebanyak 14 buah lagu yang layak mendaki pentas AJL 24 akan diumumkan sejurus selepas separuh akhir Muzik-Muzik bahagian tiga dipertandingkan dan pemilihan akan dibuat berdasarkan pemarkahan oleh juri profesional.


YUNA mendendangkan lagu Dan Sebenarnya hasil ciptaannya sendiri.


Etnik Kreatif mengecewakan

Pada waktu sama, Fadzliniza turut mengulas tentang 112 buah lagu tercalon pada peringkat awal Muzik-Muzik ke-24. Rata-ratanya terdiri daripada karya-karya yang kedengaran berentak pop rock dan balada.


BINTANG Akademi Fantasia yang turut tidak mengecewakan.


"Etnik Kreatif hanya mempunyai 10 buah lagu. Walaupun jumlah lagu yang ada dalam genre ini sikit, kita tetap memilih yang terbaik. Apa yang boleh saya katakan, kualiti 10 buah lagu etnik kreatif ini memang amat mengecewakan.

"Bagi menjaga kredibiliti program ini, kami tidak mahu bersikap tangkap muat dengan memasukkan semua lagu ini hanya disebabkan etnik kreatif ada lagu yang sikit.


MISHA mencuba nasib untuk mengulangi kejayaan lagu Bunga-Bunga Cinta.


"Perkara ini cukup mendukacitakan sekali gus memalukan kami sebagai produksi program ini. Sewaktu pihak kami masih mewujudkan kategori ini, ada segelintir penggiat seni yang awal-awal memasang impian untuk menghasilkan lagu genre etnik kreatif semata-mata untuk masuk Muzik-Muzik.

"Sebelum ini kategori etnik kreatif pernah mendapat tempat pada AJL sewaktu era Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris. Tetapi malangnya apabila lagu-lagu yang tercalon dalam Muzik-Muzik kali ini dianggap ia tidak berkualiti lalu tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.


AIZAT paling banyak mendapat pencalonan iaitu menerusi lagu Pergi, Kau Aku dan Fikirlah.


"Lantaran itu, saya merasakan bahawa lebih baik Muzik-Muzik kali ini harus dilaksanakan secara terbuka supaya lagu-lagu berlainan genre dapat bersaing secara sama rata," ujarnya serius..

Bukan sahaja Muzik-Muzik ke-24 ketandusan lagu yang beralunkan pop etnik. Sebaliknya penyertaan lagu-lagu pada tahun ini juga menunjukkan aras penurunan sebanyak 20 peratus. Ternyata keadaan itu begitu membimbangkan produksi Muzik-Muzik.

"Penurunan ini barangkali disebabkan tidak ramai artis dan syarikat rakaman yang berani untuk melaburkan wang bagi menghasilkan album penuh kerana keadaan pasaran album tidak memberangsangkan.

"Mereka lebih suka menghasilkan single atau memfokuskan kepada aktiviti muat turun. Tidak dapat dinafikan, bukan semua 112 buah lagu yang tercalon pada tahun 2009 benar-benar bermutu dan menepati standard kami," akuinya sambil membetulkan persepsi Muzik-Muzik hanya untuk lagu berbahasa Melayu sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: