Sunday, October 25, 2009

Muzik-Muzik perlu perubahan

TIDAK dinafikan program Muzik-Muzik yang kini sudah menjadi jenama popular TV3 masih relevan dalam usahanya mengiktiraf pengkarya dan seterusnya mengangkat martabat muzik tempatan.

Namun sejak kebelakangan ini program itu seperti sudah hilang taringnya. Program mingguannya sudah tidak lagi sehebat dan segah dahulu malah semakin kurang diperkatakan pihak media mahupun penonton.

Impaknya hanya terasa pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu sedangkan program mingguannya semakin hari semakin hambar.

Tidak seperti dahulu apabila saban minggu audiens sentiasa menantikan kemunculan program ini dan mahu melihat artis mana yang menduduki carta teratas.

Mungkin benar seperti dakwaan pihak penerbit bahawa kebanjiran sebegitu banyak program hiburan di layar kaca selain konsert percuma anjuran stesen televisyen turut memberi kesan kepada program hiburan seperti Muzik-Muzik.

TV3 sendiri mempunyai dan terus menyediakan pelbagai program hiburan selain menganjurkan konsert percuma untuk penonton setianya.

Namun dalam usaha untuk terus merancakkan industri dan karya seni hiburan tempatan, seharusnya Muzik-Muzik hadir sesuai dengan usia kematangan program itu sendiri.

Justeru meraikan edisi ke-24 tahun ini program Muzik-Muzik dilihat perlu melakukan perubahan bagi meneruskan agenda menyokong industri muzik tempatan.

l Tetapkan standard

Dalam usaha mencari dan mengumpul karya terbaik tempatan, sudah tiba masanya pihak penerbitan program Muzik-Muzik mempertimbangkan untuk meletakkan satu standard kepada pilihan lagu yang dipertandingkan.

Tidak kisah kalau tidak menetapkan kategori tertentu namun pilihan lagu haruslah seiring dengan populariti di radio dan kehendak penonton.

Masalahnya ada juga lagu yang dipertandingkan yang boleh dianggap tidak memenuhi spesifikasi sebuah karya yang baik.

Ditanya apakah pihak penerbitan Muzik-Muzik tidak mahu menetapkan satu standard pada pemilihan lagu yang bertanding, mereka mempunyai alasan tersendiri.

Selain mahu bertindak adil kepada setiap lagu yang dipertandingkan, terdapat juga kekangan dalam melaksanakan pemilihan lagu.

Ini kerana senario industri muzik ketika ini tidaklah begitu memberansangkan seperti sedekad dua yang lalu.

Malah sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, penyertaan lagu-lagu untuk dipertandingkan sangat tidak menggalakkan.

Untuk tahun ini, kata Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakaria, peratusan lagu yang dipertandingkan menurun 20 peratus berbanding tahun lepas.

Bagi musim ke-24 ini, hanya 112 lagu yang dipertandingkan dan kategori etnik kreatif merupakan genre yang paling kurang dipertandingkan iaitu hanya kira-kira 10 buah lagu sahaja yang dicalonkan sepanjang tahun ini bermula 4 April hingga 17 Oktober.

l Separuh akhir

Sebanyak 30 lagu berjaya memboloskan diri ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik yang akan bermula 6 November hingga 20 November depan.

Disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor pada pukul 10 malam, program selama setengah jam itu akan berlangsung selama tiga minggu.

Menariknya bermula tahun ini, pihak penerbit memperkenalkan semula format kategori terbuka berikutan kekurangan lagu-lagu yang berkualiti yang dicalonkan.

"Memang tahun ini tidak banyak lagu yang memberansangkan. Diharap dengan format terbuka begini akan memberikan saingan kepada pengkarya untuk muncul dengan karya lebih berkualiti di masa depan," kata Fadzliniza pada sidang akhbar selepas pengumuman lagu-lagu yang berjaya ke separuh akhir prorgam itu di Sri Pentas, Bandar Utama, Khamis lalu.

Bagaimanapun kata Fadzliniza, pihaknya belum memutuskan sama ada untuk mengekalkan format terbuka begini atau kembali kepada format mengikut kategori sekiranya industri muzik kembali pulih.

Separuh akhir Muzik-Muzik terus mengekalkan gandingan Cheryl Samad, Ezlynn dan Faizal Ismail sebagai pengacara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: