Saturday, October 24, 2009

Menikmati keindahan Malaysia


BULUH digunakan dalam salah satu acara perlumbaan.


UNIKNYA program ini adalah ia melibatkan penyertaan peserta dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand. Bersandarkan pada program yang dinamakan IMT-GT Homestay FAM Trip, sebanyak 50 peserta dari tiga negara tersebut menyertai pengembaraan yang melibatkan empat buah negeri.

Menurut kenyataan pihak penganjur, para peserta memulakan pengembaraan dari Kampung Raga, Yan, Kedah pada 8 Oktober lalu dan menamatkan program di Melaka Bandaraya Bersejarah pada 14 Oktober 2009.

Sepanjang pengembaraan itu, para peserta perlu mengharungi beberapa tugasan (task) sambil menikmati keindahan yang terdapat di Malaysia. Kesemua peserta dibahagikan kepada 12 pasukan di mana setiap pasukan mempunyai empat orang. Kebanyakan peserta dari negara-negara itu adalah wakil media.

Sehari sebelum pengembaraan, para peserta luar yang tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) pada pagi 7 Oktober terus dibawa berehat di hotel Cititel Mid Valley. Pada keesokannya, para peserta berangkat ke Kampung Raga. Mereka disambut meriah oleh penduduk tempatan dengan bunga mangga, bunga telur, gendang dan silat. Selepas ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kampung Homestay Kampung Raga, Fisal Md. Thahir, para peserta diperkenalkan kepada keluarga angkat masing-masing.

Tugasan pertama mereka bermula pada sebelah petang iaitu para peserta dikehendaki melakukan tugasan seperti menarik upih, bermain boling kelapa dan menangkap itik. Pada sebelah malam pula, para peserta dihiburkan dengan persembahan kebudayaan oleh penduduk Homestay Kampung Raga.

Selain itu, peserta juga dibawa ke Sungai Sedim yang terkenal dengan aktiviti berakit arus deras, menguji keyakinan diri di dalam air (water confidence) dan berjalan di titian gantung (tree top walk).


Para peserta memakai pakaian pengantin tradisional Melayu dalam satu tugasan yang diberi.


Destinasi mereka yang berikutnya ialah negeri Perak Darul Ridzuan. Di sini, para peserta dibawa ke Sungai Klah Hot Spring Park yang terletak di Sungkai dan merupakan antara destinasi air panas terbaik di dunia. Di situ, para peserta menikmati keindahan resort sambil mandi-manda di kolam air panas dari mata air semula jadi.

Hari seterusnya menyaksikan para peserta dibawa ke Laman Bangkinang, Negeri Sembilan. Di sini, peserta tinggal bersama keluarga angkat dan melakukan aktiviti-aktiviti menarik seperti sukan tradisional dan pertandingan ratu kebaya.

Destinasi terakhir pula membawa mereka ke Melaka Bandaraya Bersejarah untuk melawat tempat-tempat menarik di negeri itu. Upacara penutup program diadakan di Melaka.

Program anjuran Tourism Malaysia dan Kembara Dunia Travel & Tours Sdn. Bhd. yang diuruskan oleh ANCM Creative Sdn. Bhd. itu berkonsepkan ekopelancongan. Para peserta ternyata berasa seronok kerana dapat mengenali budaya dan berpeluang menikmati keindahan bumi Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: