PESHAWAR - Sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan meletup di sebuah pasar yang dipenuhi orang ramai semalam menyebabkan lebih 90 orang terbunuh manakala sejumlah lagi terperangkap kerana struktur bangunan runtuh.
Letupan yang berlaku di pasar Meena yang menjadi tumpuan orang ramai itu turut menyebabkan kebakaran.
Serangan yang dipercayai tindak balas militan itu berlaku beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton tiba di Islamabad bagi menghadiri perbincangan tiga hari bersama parti-parti politik tempatan dan pemimpin tentera.
"Letupan itu sangat kuat. Asap dan habuk berterbangan. Saya melihat ramai mangsa bergelimpangan dan menjerit di tepi jalan," kata seorang saksi Mohammad Siddique.
Polis mengeluarkan mangsa-mangsa yang panik dari celah-celah runtuhan manakala anggota bomba cuba memadamkan kebakaran.
"Masih ada mangsa yang terperangkap dalam bangunan. Kami berusaha menyelamatkan mereka," kata seorang pegawai pemusnah bom, Shafqat Malik.
Berikutan ramai mangsa yang cedera parah, Hospital Lady Reading membuat pengumuman meminta orang ramai menderma darah.
Peshawar ialah pintu masuk utama ke kawasan pergunungan Afghanistan yang menjadi kawasan pelindungan kepada sejumlah anggota pergerakan Taliban.
Setakat ini tidada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: