
MENGINOVASIKAN kelainan agar tidak nampak sama dan klise dalam persembahan adalah pertaruhan Sevensoul. Grup asal Jakarta dan Bogor ini memberikan vitamin dalam makanan muzik dengan mengetengahkan empat vokalis harmoni dengan tiga instrumen, menjadikan ahli grup ini seramai tujuh orang.
Ditubuhkan pada tahun 2001, Beboy (vokalis), Oscar (vokalis), Frankly (vokalis), Sandy (vokalis), Rendy (bass), Wicak (gitar) dan Popo (drum) menyanyi di kafe-kafe hingga tahun 2006. Hanya pada tahun berikutnya mereka berhasil melancarkan album.
"Di negara kami sekarang terlalu banyak grup baru yang kebanyakannya membawakan muzik Melayu. Kami memberikan perbezaan dan tidak seperti grup yang sudah ada," ujar Beboy penuh yakin dengan kelainan yang dibawakan Sevensoul.
Memberi judul Long Journey untuk album pertama mereka, itu sudah cukup untuk menggambarkan perjalanan panjang dalam mencapai cita-cita mereka bergelar artis berkumpulan.
Hadir ke Kuala Lumpur sejak Rabu lalu, kumpulan yang membawa genre acid jazz ini sempat mengadakan persembahan sulung di kelab No Black Tie dan mendendangkan 12 buah lagu. Semestinya mereka membawakan lagu yang menaikkan nama mereka di Indonesia iaitu Bersamamu.
"Kami membuat lagu dan lirik bersama-sama melalui perbincangan. Ia dikutip menerusi pengalaman peribadi dan apa sahaja yang pernah dilalui," Sandy bersuara.

Mengagumi komposer Amerika Syarikat, Keith Martin, mereka sangat teruja dapat berkolaborasi dengan penyanyi tersebut dalam satu acara di Jakarta.
"Sekarang pula, jika diberikan peluang, mereka teringin untuk bekerjasama dengan penyanyi Malaysia, Anuar Zain yang mereka kagumi kerana vokal dan lagunya yang menarik. Mereka malah pernah menyanyikan semula lagu Bidadari milik Anuar Zain kerana gemarkan melodi dan lagu tersebut.
"Misi kami adalah untuk memperkenalkan produk kami dan kami lakukan langkah demi langkah. Dapat membuat persembahan di Kuala Lumpur adalah salah satu cara untuk kami memperkenalkan muzik dan grup kami," ungkap Frankly yang menegaskan Sevensoul berterima kasih kepada Aszuad yang membuka laluan mereka di Malaysia.
Dengan sokongan peminat setia mereka yang dinamakan Soul Addict, grup ini bakal muncul dengan album kedua tahun ini juga. Sedar dengan persepsi khalayak yang menganggap genre jazz khusus untuk golongan kelas atasan, mereka berusaha mencipta supaya lagu mereka lebih mesra pendengar dengan menjadikannya lagu runut bunyi bagi drama-drama yang disiarkan di Indonesia.
Ternyata daripada teman lepak-lepak kini mereka dapat membina kimia dan memperkembangkan bakat yang ada untuk kepuasan diri dan industri seni.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: